Tuesday, March 22, 2016

329.0 Kisah Tha'labah sahabat Nabi s.a.w. satu penipuan


IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-27 : KISAH THA’LABAH TIDAK INGIN MEMBAYAR ZAKAT

Soalan : Apakah status kisah Tha’labah enggan membayar zakat ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mutakhir ini, kita mendengar banyak kisah yang masyhur sehinggakan sebahagian kisah yang didengar itu mencarik maruah individu yang digelar sebagai sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah kisah Tha’labah dan kisah ini dikatakan merupakan antara sebab turunnya salah satu ayat di dalam surah at-Taubah.

Sebelum kita melihat lebih jauh lagi, di sana juga terdapat ramai lagi para sahabat Nabi SAW yang bernama Tha’labah. Oleh itu, siapakah Tha’labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini? Al-Hafiz Ibn Hajar telah menyenaraikan nama-nama sahabat yang bernama Tha’labah di dalam karyanya, antaranya ialah :

• Tha’labah bin Aus
• Tha’labah bin Abi Balta’ah
• Tha’labah bin Thabit
• Tha’labah bin al-Harith
• Tha’labah bin Hatib bin al-Aus al-Ansari (syahid dalam peperangan Uhud)
• Tha’labah bin Harram
• Tha’labah bin al-Hakam
• Tha’labah bin Khaddam al-Ansari
• Tha’labah bin Sa’idah (wafat dalam peperangan Uhud)
• Tha’labah bin Salam
• Tha’labah bin Suwaid al-Ansari
• Tha’labah bin Abd al-Rahman al-Ansari
• Tha’labah bin Qais

Demikian adalah beberapa orang sahabat Nabi SAW yang bernama Tha’labah, tetapi yang Tha’labah yang dimaksudkan di dalam kisah ini ialah Tha’labah bin Hatib al-Ansari. Beliau telah menyertai peperangan Badar dan Uhud bersama Rasulullah SAW. Di samping itu, beliau telah wafat ketika zaman pemerintahan Umar dan ada juga berkata bahawa beliau wafat ketika zaman pemerintahan Uthman. Selain itu, beliau dikatakan telah enggan membayar zakat ketika diperintahkan oleh Nabi SAW sebagaimana yang diceritakan oleh Sa’id bin Jubair dan Abi Qatadah ketika menafsirkan ayat ke 75 di dalam surah al-Taubah. Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Sahabah (1/20)

Ringkasan kisah Tha’labah
 
Telah datang Tha’labah bin Hatib al-Ansari kepada Rasulullah SAW, beliau berkata: Wahai Rasulullah SAW, doakan aku agar Allah SWT mengurniakan aku harta, maka Rasulullah SAW menjawab: “Celakalah engkau wahai Tha’labah, sedikit membawa kepada kesyukuran kepada Allah lebih baik daripada banyak yang engkau tidak mampu”. Setelah beberapa tempoh, beliau datang lagi kepada Rasulullah SAW dan mengulang benda yang sama. Maka Rasulullah SAW mendoakan baginya agar Allah SWT memberinya harta. Setelah itu, turunnya ayat al-Qur’an :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surau al-Taubah, 9:103)

Lalu Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki dari al-Ansar dan seorang lagi daripada Bani Sulaim dan Nabi SAW memberikan catatan berkaitan zakat ini kepada mereka. Di samping itu, Nabi SAW meminta dua lelaki tersebut untuk meminta daripada Tha’labah sebahagian hartanya untuk disedekahkan. Kedua lelaki tersebut terus melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW dan mereka bertemu dengan Tha’labah lalu membaca apa yang ditulis oleh Nabi SAW di dalam catatan tersebut. Setelah dibacakan apa yang terkandung di dalam catatan tersebut, Tha’labah enggan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk dizakatkan dan mengatakan bahawa ini adalah jizyah. Kedua lelaki tersebut bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan kepada Baginda SAW berkenaan peristiwa tersebut. Maka Allah SWT menurunkan ayat :

وَمِنْهُم مَّنْ عَاهَدَ اللَّـهَ لَئِنْ آتَانَا مِن فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”.  (Surah al-Taubah, 9:75)

Apabila turunnya ayat tersebut, salah seorang daripada lelaki tersebut telah bertemu dengan Tha’labah dan memberitahu beliau bahawa: Allah SWT telah menurunkan ayat di atas keengganan engkau membayar zakat maka celakalah engkau wahai Tha’labah.

Apabila mendengar kata-kata tersebut, Tha’labah terus bertemu dengan Rasulullah SAW dan ingin membayar zakat tetapi Rasulullah enggan menerimanya kerana Allah SWT telah menghalangku daripada menerima apa-apa daripada engkau. Setelah Rasulullah SAW wafat, Tha’labah bertemu dengan Abu Bakar RA yang pada waktu sebagai khalifah tetapi Abu Bakar menolaknya.

Kemudian di zaman khilafah Umar bin al-Khattab RA, Umar RA juga menolak untuk menerima harta daripada Tha’labah, sehingga tiba zaman Uthman RA menjadi khalifah, Uthman RA juga melakukan perkara yang sama. Akhirnya, Tha’labah wafat di zaman Uthman bin Affan RA dalam keadaan tidak membayar zakat setelah mencubanya berkali-kali. Lihat Tafsir al-Thabari (no. 16987) al-Mu’jam al-Kabir Thabarani, (no. 7873) dan Asbab al-Nuzul oleh al-Wahidi hal. 252.

Pendapat ulama berkaitan kisah ini

Kisah ini adalah tidak sahih berdasarkan apa yang dinyatakan pendapatnya oleh para ulama, antaranya ialah:

• Imam al-Qurthubi berkata: “Tha’labah ialah salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan beliau juga antara orang yang telah diakui keimanannya sebagaimana yang termaktub di dalam hadith. Untuk itu, apa yang diriwayatkan ini adalah tidak sahih”.

• Imam Ibn Hazim berkata: “Tha’labah seorang ahli badar dan hal ini umum mengetahuinya, maka riwayat ini adalah bathil”.

• Imam al-Iraqi mengatakan bahawa: “Thabarani telah mengtahkrijkan hadis ini dengan menggunakan sanad yang lemah”.

• Imam al-Qurthubi menyatakan: “Apa yang diriwayatkan berkaitan Tha’labah adalah tidak benar”.

• Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan: “Aku tidak merasakan bahawa khabar ini benar”.

Tarjih

Setelah melihat kepada pendapat-pendapat yang dikemukan oleh para ulama berkaitan riwayat atau kisah ini, kami juga memilih untuk menyatakan bahawa kisah ini adalah tidak benar (sahih) dan ia tidak boleh disebarkan kepada masyarakat melainkan untuk menyatakan bahawa kisah ini tidak benar (sahih). Ini juga selari dengan pendapat ulama hadith yang muktabar.

Antara sebab-sebab kami mengatakan bahawa kisah ini tidak benar ialah:

• Tha’labah merupakan seorang sahabat nabi SAW. Kita sebagai umat Islam perlu berpegang dan percaya bahawa sahabat bersifat dengan ‘adalah (adil), dalam erti kata lain bahawa mereka tidak menipu, apatah lagi untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan rukun Islam seperti tidak membayar zakat.

• Tha’labah merupakan salah seorang sahabat yang menyertai peperangan badar. Sebagaimana kita ketahui bahawa. Ahli badar mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya Allah SWT telah bersaksi di atas keimana mereka dan Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang lalu dan akan datang. Berdasarkan hadith Nabi SAW :

 اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمُ الْجَنَّةُ

Maksudnya : “Buatlah apa yang kalian suka kerana Allah SWT telah meletakkan kalian di dalam syurga”.

Riwayat al-Bukhari (3684) dalam Kitab Peperangan, Bab Keutamaan Orang yang Menyertai Perang Badar.

• Setelah melihat kepada sebab turunnya ayat tersebut, kami mendapati bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah ayat tersebut diturunkan kepada golongan munafik kerana mereka begitu bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Tahzib al-Tahzib.

Kesimpulan

Marilah sama-sama kita menunaikan salah satu daripada rukun Islam ini iaitu mengeluarkan zakat. Ini kerana, harta kita bukanlah milik kita sepenuhnya, bahkan ia adalah milik Allah SWT dan juga milik saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik seperti kita.

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang sentiasa menyucikan hartanya iaitu berzakat dan semoga Allah SWT menerima amalan kita dan meletakkannya di neraca kebaikan kelak. Amin.

Wallahua’lam

Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/n05qgK