“Dari Ibn `Umar r.a. bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: `Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafa’at bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Perkuburan al-Baqi' (البقيع) yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi' (جنة البقيع) adalah kawasan lapang yang menempatkan tanah perkuburan bagi penduduk-penduduk Madinah. Ia terletak di sebelah kiri Masjid Nabawi.
Kawasan ini telah dijadikan sebagai tanah perkuburan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam. Ramai ahli keluarga dan para sahabat Baginda dikebumikan di kawasan perkuburan al-Baqi`. Qadhi `Iyad rahimahullah meriwayatkan bahawa Imam Malik mengatakan seramai 10,000 para sahabat yang telah meninggal dunia di Madinah telah dikebumikan di perkuburan Baqi`.
Pada hayat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, Baginda selalu keluar pada lewat malam untuk menziarahi kawasan perkuburan ini serta mendoakan keampunan buat penghuni-penghuni kubur.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam mengajarkan kepada para sahabat akan suatu ucapan untuk mereka ucapkan apabila melalui kawasan kubur, iaitu:
السلام عليكم أهلَ الدِّيارِ ، من المؤمنين والمسلمين . وإنا ، إن شاء الله ، لَلاحقون . أسأل اللهَ لنا ولكم العافيةَ
“Kesejahteraan ke atas kamu semua wahai penghuni kampung, dari kalangan orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak ALLAH akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada ALLAH untuk kami dan untuk kamu sekalian akan kesejahteraan.”
- (HR Muslim, dari Abu Musa al-Asy`ari `Abdullah bin Qis)
Kawasan perkuburan ini dibuka untuk lawatan selepas waktu solat fardhu `Asar dan Subuh. Hanya lelaki dibenarkan masuk. Selain dari waktu tersebut, pintu pagar masuk ke kawasan perkuburan Baqi` akan ditutup. Moga-moga dengan menziarahinya hati kita kuat ingat akan mati dan mengenangkan nasib kita pada Hari Akhirat.
Dan jika tuan-tuan mendapat peluang menghantar jenazah ke kuburan, rebutlah peluang tersebut. Biasanya selepas solat fardhu di Masjid Nabawi akan diadakan solat jenazah dan sejurus selepas itu terus dihantar jenazah tersebut ke perkuburan Baqi` yang terletak bersebelahannya sahaja. Besar ganjaran buat sesiapa yang dapat mensolatkan jenazah dan menghantarnya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa menghadiri jenazah sampai jenazah itu disolatkan, maka ia mendapatkan satu qirath. Dan barang siapa menghadirinya sampai jenazah itu dikuburkan, maka ia mendapatkan dua qirath.” Ada yang bertanya: “Apakah dua qirath itu?” Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sama dengan dua gunung yang besar.”- (Sahih Muslim)
Semoga kita semua mati dalam keadaan Islam dan ALLAH Ta`ala redhakan kita, amiN
-Muzirwordpress
[Petikan dari Rayhar Travels]
...................................................................................................................................................................
Foto maqam keluarga (Ahlul Bait) dan sahabat Rasulullah s.a.w. di Jannatul Baqi'.
Rujukan: http://www.sunniforum.com/forum/showthread.php?53478-Jannatul-Baqi
-(Amazing-Pictures-of-the-Graveyard-of-Madinah).
Maqam Ibrahim bin Rasulullah s.a.w.
(satu-satunya putera Nabi s.a.w. yang meninggal dunia ketika masih bayi)
Maqam sembilan isteri Nabi s.a.w. iaitu:
Aishah binti Abu Bakar
Saffiyah binti Huyuy ibn Akhtab
Umm Habibah Ramla binti Abu Sufyan
Hafsa binti Umar al-Khattab
Sauda binti Zama al-Amiria
Zaynab binti Khuzaymah
Zaynab binti Jahsh
Umm Salamah binti Abu Umama
Juwayriya binti al-Harith
Maqam Ahlul Bait
Maqam Ahlul Bait
Maqam Saiyidina Uthman bin 'Affan r.a.
Maqam tiga puteri Rasulullah s.a.w. - Zainab, Ummi Kalsum dan Ruqaiyya
Maqam Fatimah Az-Zahra binti Rasulullah s.a.w.
Teringat saya kepada bekas Pengurus di tempat saya bekerja dulu i.e. UDA Wilayah Utara, Pulau Pinang, Y.M. Tuan Haji Raja Ali bin Raja Busu yang juga telah kembali ke rahmatullah pada 31 Disember 1999 dan dikebumikan di Jannatul Baqi'. Mengikut berita di akhbar, Allahyarham beserta isteri, anak, menantu dan beberapa lagi ahli keluarga sudah berpakaian ihram sedang menaiki van atau mini bas bertolak dari Madinah ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Di tengah perjalanan, dipercayai tayar kenderaan pecah dan mengalami kemalangan serius, kesemua di dalam bas dan pemandunya dilaporkan meninggal dunia. Kesemua jenazah dikebumikan di Baqi'. Allah rahmati ruh mereka kesemuanya, amiin.
No comments:
Post a Comment