Sunday, November 3, 2013

259.0 Hukum tentang Hadith Dhaif

HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH DHAIF

Para ulama’ telah berselisih pada keharusan beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama

Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk ulasan pendapat yang pertama.

Pendapat kedua

Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.

Pendapat ketiga

Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam kitab beliau ‘Qawaid Al-Tahdis’ m/s 113: “”هذا هو المعتمد عند الأئمة Ertinya: “Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam hadith”. (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه)

Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul Al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif itu ada tiga:

1) Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan. Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.

2) Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di dalam asal (Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias) yang umum.

3) Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan”.

ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA

1) Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35: (وظيفة الحديث الضعيف.

2) Begitu juga Imam Bukhari memasukkan hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk ataupun sebagai hadith “Mutaba’ah” (hadith yang dijadikan sokongan bagi hadith-hadith sahih).

3) Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim, Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu, memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.

4) Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih beliau sebagai hadith ‘Mutaba’ah’ (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula, untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam ‘Maqalatnya’ pada kisah Khalid bin Walid r.d.h.

5) Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)

6) Setengah ulama’ menerangkan maksud sebenar perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi عارضة الأحوذي(وظيفة الحديث الضعيف: 15)

ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA

1) Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: “Hadith dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid” telah ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: “Sesungguhnya perkataan kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya dhaif hasan”. (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)

Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil, hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)

Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim di dalam kitabnya اعلام الموقعين .

ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA

1) Para ulama’ dari kalangan muhaddithin dan fuqaha’ dan selain mereka itu berkata: “Harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap sesuatu selama hadith itu bukan mauduk”. Adapun hukum-hukum seperti halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب) meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:

“من بلغه عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك”

Ertinya: “Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu”.

2) Dengan itu penerimaan hadith daif yang diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama’ seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi menukilkan daripada ulama’ bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)

3) Segelintir masyarakat mempertikaikan orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh para ulama’ hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama’ sufi pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama’ besar dalam bidang hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah pendirian yang diambil oleh ulama’ tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)...

Ustaz Nik Mohd Nazimuddin B Nik Ibrahim

Ust. Husin bn. Abdul Kadir

Ustaz Muhammad Fuad B Abdul Wahab

Ustaz Nik Mohd Shahrail B Nik Ibrahim

Wallahua'lam

Sumber: https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original/posts/606006006084117

No comments:

Post a Comment