Sayyidina wa Murabbina Al Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz
(Tarim, Hadhramaut, Yaman)
Solat-solat adalah sebagai hubungan langsung antara seorang hamba dan penciptanya. Dijadikan sejuk mata ini dengan solat. Apabila Rasulullah s.a.w. menghadapi perkara-perkara yang berat, beliau akan solat, menghadap kepada Allah s.w.t. Manusia sekarang tidak memahami apakah maksud dan faedah solat. Solat yang tidak kusyuk adalah seperti jasad tanpa ruh. Orang yang memberi hadiah kepada raja seorang hamba sahaya tanpa ruh akan dicaci dan dimaki oleh raja itu kerana perbuatan itu adalah seperti menghadiahkan bangkai semata-mata. Rasulullah s.a.w. sering mengatakan kepada Bilal Bin Rabah (r.a.), “Ya Bilal! Akim as-salah wa arihna biha“ yang bermaksud: “Hai Bilal! Dirikanlah solat dan rehatkan kami dengannya.“
Ada seorang sahabat yang buta telah berjumpa Nabi s.a.w. untuk meminta disembuhkan matanya. Nabi s.a.w. menyuruh sahabat itu supaya bersabar sahaja dan memberi perjanjian bahawa beliau akan dimasukkan ke dalam syurga. Sahabat itu berkata bahawa dia ingin dimasukkan ke dalam syurga dan juga dicelikkan matanya. Lalu Nabi s.a.w. menyuruh sahabat itu solat dua raka’at dan berdoa, bertawasul kepada Nabi s.a.w. Sahabat itu pun melakukan solat dan bertawasul kepada Nabi s.a.w. dengan mengatakan, “Ya Allah, dengan berkatnya Nabi Muhammad s.a.w., sembuhkan mataku ini.“ Lalu matanya pulih semula.
Ada para malaikat yang diciptakan Allah hanya berdiri, rukuk, sujud dsb sehingga hari kiamat. Kita, umat Nabi s.a.w. dengan hanya dua raka’at sahaja sudah diberi ganjaran yang besar. Nabi s.a.w. dipanggil langsung melalui mi’raj untuk mendapatkan solat lima waktu. Enam Syarat Untuk Mendapatkan Solat Yang Kusyuk;
1. Dengan hati yang hadir: merasa kehadiran hati ketika mengucap kalimah-kalimah dalam solat dan ketika melakukan pergerakan (perbuatan)
2. Harus memahami semua makna-makna yang dibaca di dalam solat
3. Hati mesti merasakan ta’zim kepada Allah s.w.t. iaitu penghormatan dan pengagungan terhadap Allah s.w.t.
4. Mesti rasa haibah iaitu takut terhadap Allah s.w.t. Harus digabungkan perasaan ta’zim dan haibah.
5. Raja’ iaitu harapan kepada Allah s.w.t. Bagaimana bisa diterima solat kita tanpa perasaan raja’ terhadap Allah s.w.t.?
6. Haya’ iaitu perasaan malu terhadap Allah s.w.t.
Kita mesti merasa berkekurangan di sisi Allah s.w.t. Orang yang berhati kusyuk dan bercahaya di sisi Allah s.w.t. selalu memiliki hati yang kusyuk di dalam dan di luar solatnya. Kesempurnaan kusyuk dalam solat adalah dengan tidak memikirkan yang lain melainkan kepada Allah s.w.t. Ada seorang sahabat yang was-was ketika solat oleh kerana sangat memikirkan tentang takutnya terhadap Allah s.w.t. di hari kiamat.
Para sahabat Rasulullah s.a.w. sangat hebat dalam kusyuk mereka ketika mereka solat. Dalam suatu peperangan, Saiyidina Abbas bin Bishair sedang ditugaskan untuk menjaga khemah sedangkan sahabatnya sedang tidur. Beliau lalu melakukan solat. Ketika beliau sedang solat ada seorang musuh yang tiba dan memanah beliau dan terkena kepada tubuh beliau. Beliau masih melakukan solat (kerana kusyuk). Lalu beliau dipanah beberapa kali lagi sehingga darah beliau mengalir ke lantai dan mengalir kepada sahabatnya yang sedang tidur itu. Sahabat beliau terbangun dan musuh itu melarikan diri. Sahabat beliau sangat hairan mengapa Saiyidina Abbas tidak batalkan solatnya dan bangunkannya ketika terkena panah yang pertama. Saiyidina Abbas berkata bahawa beliau sedang sangat kusyuk membaca surah Al Kahfi.
Orang yang solat dengan betul (kusyuk) boleh membuka pintu ma’rifat kepada Allah s.w.t. Hatinya akan mabuk cinta kepada Allah s.wt. Dia hanya akan menyaksikan Allah s.w.t. dan tidak melihat kepada yang lain. Dia akan memandang maksiat sebagai jijik. Saiyidina Umar Al Khatab (r.a.) berkata bahawa ada ramai orang Islam yang solat dari umur kecil hinggakan tua tetapi tidak diterima Allah s.w.t. walaupun satu solatnya. Untuk menolong kami mendapatkan solat yang kusyuk, Habib Umar Bin Hafiz nasihatkan supaya ketika masuk ke masjid membaca doa ini: A’uzubillahil Aziim Wa bi Wajhihil Kariim Wa Sultanihil Qadiim Minas syaitanir rajiim Ertinya: Aku berlindung diri kepada Allah yang Maha Agung dan dengan wajahNya yang mulia, serta kekuasaanNya yang tua daripada bahaya syaitan yang terkutuk. (Dipetik dari “Al-Adzkar“ oleh Imam Nawawi terjemahan Syed Ahmad Semait)
No comments:
Post a Comment