Monday, August 26, 2013

208.0 Alam Perkahwinan

Foto hiasan. Selamat Pengantin Baru kepada Siti Muniera Shaikh Munawar Baladram dan pasangannya Mohd Hassan Hj Misran pada 25/8/2013. Didoakan perjodohan kekal abadi dan sebuah rumahtangga yang harmoni lagi diberkati Allah.

Apabila seorang lelaki mengucapkan "aku terima nikahnya ......" bermakna ia telah berjanji dengan Allah akan mengambil pasangannya sebagai isteri yang akan dibelai dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab.

Pemikiran yang betul dan positif adalah syarat untuk kita bersikap positif. Mental attitude yang betul sangat penting dalam melayari bahtera rumahtangga. Attitude yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumahtangga yang tidak menentu.

Untuk membina dan mengekalkan kesuburan cinta, kita perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah langkah praktikal bagaimana untuk kita bina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif.

Fokus pada tanggungjawab diri, bukan sekadar menuntut hak

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan haknya semata-mata. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “Aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam beberapa situasi, kita tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan?

Fokus pada tanggungjawab diri – sebagai suami atau isteri, kita dituntut oleh syariat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Menuntut hak tidak salah, Islam menggariskan hak-hak suami yang wajib dipenuhi isteri, dan hak-hak isteri yang wajib dipenuhi suami. Namun, menunaikan hak pasangan itu lebih utama.

Tidak guna memberi hantaran cincin bertatah batu berlian tetapi melayan isteri amat buruk sekali.

Inilah prinsip asas, inilah golden rule yang harus difahami dan digenggam oleh setiap daripada kita yang bakal atau sedang melayari alam perkahwinan.

Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan. Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Padahal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup, fokus kepada apa yang kita boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab kita.

Sabda Rasulullah s.a.w. : مَنْ لا يَرْحَمْ لاَ يُرْحَمْ !

Siapa yang tidak memberi rahmah (kasih sayang), dia tidak dirahmati (dikasihi disayangi).
(Muttafaqun ‘alaih)

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Berilah hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai. (Riwayat Al Baihaqi)

Mereka yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sering mendapat haknya sebagai ganjaran. Mereka yang memberi kasih sayang, akan mendapat kasih sayang sebagai ganjaran. Kasih sayang daripada siapa? Kasih daripada Allah s.w.t Maha Pencipta, kasih daripada sesiapa yang dikehendakiNya, juga daripada makhlukNya di muka bumi, antaranya ialah pasangan hidup dan manusia.

Manusia sering merasakan bahawa dengan menerima kebaikan, hati akan gembira dan bahagia. Benar, tetapi ada satu lagi perkara yang akan membuatkan hati gembira dan bahagia, iaitu memberi kebaikan. Mungkin ramai yang tidak percaya, namun seringkali perkara inilah yang tidak dilakukan, yang menyebabkan hati manusia tidak bahagia. Ya, tidak memberi kebaikan, maka hati tidak bahagia.

Giving, it is one of our needs. The need to give. Berilah kebaikan, buatkan pasangan gembira dan bahagia, nescaya kita juga akan gembira, bahagia dan terima kebaikan.

What you give is what you get. What goes around, comes around.

Berkahwin bukan sekadar untuk menerima daripada pasangan, tetapi juga untuk memberi. Tidak sempurna erti perkahwinan dengan hanya menerima. Menjadi baik dan memberi kebaikan, adalah sebahagian daripada erti perkahwinan.

Jalan menuju gerbang perkahwinan bukan sekadar usaha mencari yang baik, tetapi juga usaha agar dirimenjadi baik, agar dapat memberi di alam perkahwinan.

Banyakkan usaha menjadi baik, dan lebih baik, warnai kehidupan seharian dengan nilai-nilai Iman dan Islam. Kemudian berusaha mencari yang baik, insyaAllah, yang terbaik akan Allah s.w.t aturkan buat kalian.

Antara pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah:

“Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredhaannya daripada keredhaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Kita juga perlu jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan kebaikan. Definisi baik buruk, menurut neraca apakah yang kita pegang? Bukan neraca nafsu, bukan neraca akal manusia semata-mata. Definisi baik buruk yang kita pegang adalah apa yang ditetapkan Allah s.w.t., dalam kata lain, neraca syara’, neraca Islam. Perkara baik, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai baik. Perkara buruk, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai buruk.

Menjadi dan Memberi Kebaikan Di Pentas Kehidupan

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa. (An-Nahl: 30)

Ayuh kita berusaha menjadi baik, meningkatkan amal kebaikan, memberi kebaikan kepada manusia. Jalan ke arah kebaikan itu banyak, medan amal kebaikan itu luas. Berusaha agar semakin banyak kebaikan dapat dilakukan dan diberi, nescaya semakin banyak kebaikan yang akan kita terima, di dunia, bahkan lebih lagi di akhirat. Inilah janji Allah Yang Maha Pemberi, Maha Pembuka Rahmat.

By: Ahmad Faiz
Sumber: http://www.islamituindah.my/menjadi-dan-memberi-di-alam-perkahwinan

DALAM HATI TERSIMPUL CINTA

Cinta. Ceritera biasa muda-mudi dan remaja. Fitrah manusia ingin mencintai juga dicintai. Adam perlukan Hawa, Hawa perlukan Adam.

Namun, fitrah perlu dibajai iman, hati perlu disiram zikir, agar ia tumbuh subur dan memberi pulangan ketenangan serta redha Allah yang utama. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati, tiga hati atau banyak hati. Cinta yang didamba hingga ke penghujung, hanya bertahan di pertengahan, terkulai dimamah usia cinta dosa yang dibelai.

Dalam hati tersimpul cinta,
Bagai dunia aku yang punya,
Sungguh sulit mendefinisi bahagia,
Hanya yang merasa memahaminya.

Mengayam cinta bertakhtakan iman. Cinta adalah perkataan yang indah dan suci sekiranya takwa menjadi benang dalam menyulam cinta.

Falsafah cinta menyebut: Kita tidak sempurna tetapi perkahwinan menyempurnakan kita.

Dalam menapak menaiki tangga menuju gerbang perkahwinan, perancangan dan persediaan perlu kemas disusun. Sesungguhnya, yang paling sukar adalah persediaan jiwa. Jiwa perlu bersih, kuat, jernih, suci dan cekal untuk melangkah ke alam yang baru ini.

Apabila si teruna dan dara diijabqabulkan maka terbinalah rumahtangga. Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumahtangga. Islam melihat rumahtangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem keluarga. Islam memandang rumahtangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan dan kediaman. Di bawah naungan rumahtangga, berlaku pertemuan antara hati-hati yang ditegakkan di atas tunjang kasih mesra, saling simpati, saling melindungi, saling berbudi, juga ditegakkan di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri. Di bawah lindungan rumahtangga juga lahirnya anak-anak dan dari rumahtangga memanjangnya tali hubungan kasih sayang.

Al-Quran menggambarkan rumahtangga dengan gambaran yang halus dan lembut, gambaran hubungan yang terpancar darinya rasa kasih mesra. Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)

Itulah hubungan antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang, malah dari ungkapan kata-kata Al-Quran itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: “Wahai para pemuda! Barangsiapa antara kalian berkemampuan untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih membentengi kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa (shaum), kerana puasa itu dapat membentengi dirinya”.- (Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi)

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. ‘Perasaan’ adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan ‘bekerja’ untuk kita, bukan sebaliknya.

Akan tiba masanya, sesuatu yang dilihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika hanya bergantung kepada perasaan, cinta akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggungjawab dan tanggungjawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumahtangga, tanggungjawab akan datang menyelamatkan ‘pertunjukan’ dengan peranan yang lebih berkesan.

Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga dia merasakan hangatnya cinta.

Kehangatan cinta kepada Allah, Rasulullah s.a.w, dan cinta insani semata-mata kerana Allah


By: Putera-Islam.com
Sumber: http://www.islamituindah.my/dalam-hati-tersimpul-cinta

No comments:

Post a Comment