Monday, August 26, 2013

209.0 Zuriat

Kita pernah mendengar malah memerhatikan sendiri ada sebuah keluarga yang mempunyai 10 anak lelaki, tiada anak perempuan. Ada pula yang memiliki 5 anak perempuan, tiada anak lelaki. Ada juga yang memiliki lima anak lelaki dan lima anak perempuan (macam keluarga saya) dan yang paling sedih, kahwin bertahun-tahun, seorang anak pun tiada walaupun tinggal di rumah banglo 5 bilik dan serba mewah.  Ada pula sebuah keluarga yang ramai dengan anak tetapi tinggal di sebuah pondok buruk yang menunggu masa untuk rebah ke bumi. Demikianlah takdir Allah s.w.t. ke atas hamba-hambaNya.  Tiada siapa boleh membantah dengan pemberian Allah kerana Allah lebih mengetahui tentang hambaNya.  Jadi, bersyukurlah selalu, jangan berburuksangka dengan Allah dan sentiasa redha dengan qadha dan qadar Allah.

Junjungan kita Rasulullah s.a.w. juga pernah diherdik (diperli) oleh orang kafir Makkah kerana tidak mempunyai zuriat anak lelaki (rujuk surah Al-Kauthar). Pada zaman Arab Jahiliyah, mereka berbangga dengan memiliki anak-anak lelaki yang akan menyambung zuriat keturunan mereka (anak perempuan tidak diambilkira di dalam salasilah keluarga). Rasulullah s.a.w. telah ditakdirkan Allah, anak-anak lelaki baginda meninggal dunia ketika kecil.  Jadi mereka mengejek dengan mengatakan zuriat Rasulullah s.a.w. telah terputus (tetapi Allah mengherdik mereka dengan firmanNya: Sungguh orang-orang yang membencimu, dialah yang terputus (dari rahmat Allah) - al-Kauthar, ayat 3).  Zuriat dari junjungan Rasulullah s.a.w. atau ahlul bait, wujud sehingga ke hari ini melalui zuriat Saiyidina Ali Abi Talib dan Fatimah (puteri Rasulullah s.a.w.) yang tetap dipelihara Allah.

Jadi, bersyukurlah dengan pemberian Allah s.w.t. walaupun hati sering diganggu oleh bisikan syaitan laknatullah agar tidak mensyukuri nikmat Allah.


No comments:

Post a Comment