Saturday, January 10, 2015

307.0 Kezaliman Jepun di Sandakan 1945







Saya tidak pernah tahu tentang perkara ini walaupun usia sudah hampir 60 tahun.  Kejadian dan peristiwa ini tidak mendapat publisiti meluas mungkin kerana askar-askar yang terbunuh berjumlah 2,345 orang terdiri dari rakyat Australia dan Britain yang ditempatkan di Sandakan (asalnya dari base Singapura).  Mungkin kerana ia tidak melibatkan askar kita,  maka peristiwa ini lenyap begitu sahaja di sini tetapi direkod dan disimpan dengan baik di Muzium Australia dan Britain.

Berikut sedikit penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku yang saya petik dari web:  https://www.facebook.com/BorneoOracle

Sebagai rakyat Malaysia sudah tentu kita banyak membaca tentang kekejaman Jepun sewaktu mereka mula-mula bertapak di bumi Malaysia suatu waktu dahulu. Jika di Malaya ramai yang dihantar ke sempadan Thailand dan Burma untuk dijadikan buruh paksa dan ada juga sejarahnya tentang mereka diceritakan.

Di Sarawak kebanyakan daripada tawanan perang juga menerima nasib yang sama namun mereka mungkin dijadikan buruh paksa di lombong-lombong antimony di Sarawak. Di Sabah juga tidak kurang deritanya tahanan perang ini dan untuk artikel kali ini, Borneo Oracle akan berkongsi sumber informasi sejarah tentang satu lagi tragedi yang menimpa nasib tahanan-tahanan perang di Sandakan, Sabah. Artikel kali ini diberikan tajuk Sandakan Death Marches 1945.

Ketika berlakunya Perang Dunia Kedua ramai tawanan perang daripada pihak tentera bersekutu iaitu daripada British dan Australia telah ditangkap oleh tentera Jepun setelah mereka kalah ketika pentempuran di Singapura pada Februari 1942. Tahanan perang ini telah dihantar oleh pemerintah tentera Jepun untuk menjadi tenaga buruh paksa bagi pembinaan landasan kapal terbang di Sabah. Tahanan perang ini telah menjadi banduan di Kem Tahanan Perang Sandakan Sabah.

Sekitar bulan Ogos 1943, bagi mengasingkan tahanan perang ini mengikut pangkat di dalam tentera, ramai diantara tahanan perang yang berpangkat Komander dan ke atasnya telah dipindahkan ke Sarawak dan menjadi banduan di Kem Tahanan Perang Batu Lintang, Kuching. Sarawak. Ini semua dilakukan oleh pihak pemerintah tentera Jepun agar tiada tahanan perang yang berani melawan penindasan mereka di Kem Tahanan Perang Sandakan, Sabah.

Selain daripada itu maka senanglah pihak pemerintah tentera Jepun mengawal tahanan perang di Sandakan sehingga mana-mana tahanan perang yang sakit juga dipaksa untuk menjadi buruh tanpa memperdulikan mereka akan hidup ataupun mati. Inilah antara derita-derita yang ditanggung oleh tahanan perang sewaktu berada di Sandakan, Sabah.

Sandakan Death Marches merupakan siri perarakan berjalan kaki yang terpaksa dilakukan oleh tahanan-tahanan perang daripada Kem Tahanan Perang Sandakan ke Ranau, Sabah. Terdapat 3 siri perarakan berjalan kaki ini dan ianya dinamakan Sandakan Death Marches memandangkan di dalam siri perarakan ini seramai lebih daripada 2,000 orang tahanan perang yang menemui ajalnya.

Antara penyebab kepada kematian tahanan perang ini adalah kerana ada antara mereka menghidapi penyakit tibi, lelah serta kekurangan zat ditambah lagi perjalanan yang jauh serta faktor cuaca kerana perjalanan itu adalah satu perjalanan yang penuh onak dan berduri melalui denai-denai di celah-celah pergunungan Kinabalu Sabah. Menambah derita lagi apabila mereka juga terpaksa menghadapi seksaan daripada tentera-tentera Jepun serta catuan makanan di sepanjang perjalanan tersebut.

Fasa pertama Sandakan Death Marches berlaku pada Januari hingga Mac 1945. Fasa pertama ini adalah perjalanan yang merangkumi perjalanan darat dengan melalui tanah paya yang luas serta hutan tebal di bahagian timur Gunung Kinabalu.

Tentera Jepun telah memilih kira-kira 500 orang tahanan perang dari Sandakan untuk mengangkat bagasi dan bekalan bagi tentera Jepun yang di dalam proses pemindahan ke pantai barat Sabah. Jarak perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 9 hari barulah boleh mencapai Jesselton (Kota Kinabalu) tetapi dikatakan pihak tentera Jepun hanya menyediakan bekalan makanan untuk selama 4 hari sahaja kepada tahanan perang pada masa itu.

Di dalam siri fasa pertama ini ramai yang terkorban dan apabila sampai di Ranau telah diarahkan untuk membina kem sementara. Di Ranau juga tahanan-tahanan perang ini terpaksa melalui hari-hari yang sukar sehingga pada 26 Jun 1945 hanya seramai 6 orang tahanan perang yang masih hidup. 6 orang tahanan perang ini adalah 5 daripada tahanan perang dari Australia dan 1 orang daripada Koloni British juga umpama mayat hidup atau nyawa-nyawa ikan dek kerana kekurangan zat dan segalanya.

Fasa kedua Sandakan Death Marches berlaku pada 29 Mei 1945 iaitu kira-kira 600 orang tahanan perang yang terlibat. Ketika ini Pegawai Pemerintah Tentera Jepun yang berkuasa di Kem Sandakan iaitu Kapten Takakuwa Takui mengarahkan mereka untuk memulakan perjalanan ke Ranau Sabah. Anggaran tempoh masa perjalanan adalah selama 26 hari dan seperti fasa pertama, mereka juga tidak mempunyai bekalan makanan serta pakaian yang cukup untuk menghadapi perjalanan yang jauh ini.

Apabila catuan makanan habis, ada antara tahanan perang ini dipaksa untuk melakukan kerja-kerja memburu dengan dikawal rapi oleh tentera jepun sendiri. Kesemuanya dilakukan untuk survival tahanan perang itu sendiri. Ramai antara mereka juga mengalami nasib yang sama seperti tahanan perang fasa pertama yang menemui ajal kerana kurangnya makanan serta diseksa sehingga mati oleh tentera Jepun atau ditinggalkan dan dibiarkan mati akibat sakit sewaktu di dalam perjalanan.

Dari sejumlah besar kira-kira 600 banduan tersebut hanya kira-kira 183 orang sahaja tahanan perang yang berjaya sampai ke Ranau. Apabila mereka sampai di Ranau barulah mereka mengetahui hanya 6 orang sahaja survival daripada tahanan perang fasa pertama yang hidup.

Fasa ketiga Sandakan Death Marches merupakan perjalanan yang dilakukan pada 9 Jun 1945 iaitu seramai lebih kurang 800 orang yang masih lagi hidup di Kem Sandakan. Diceritakan pada masa itu terdapat kira-kira 75 orang lagi tahanan perang yang tidak berupaya untuk membuat apa-apa perjalanan kerana sakit tenat dan menunggu masa untuk terputus nyawa daripada badan.

Di ketika itu dikatakan bahawa tentera Jepun telah mengambil jalan mudah dengan menjalankan hukuman mati kepada tahanan-tahanan yang sakit ini samada ditembak mahupun dipancung kepalanya. Yang dikategorikan sebagai “sihat” pula terus diarahkan untuk memulakan perjalanan mereka ke Ranau.

Pada ketika itu juga pihak tentera Jepun telah membuat pembersihan di kem tahanan perang Sandakan dengan mengebom musnah kem tahanan tersebut untuk menghilangkan bukti kewujudan kem tahanan perang Sandakan di bumi Sabah pada waktu itu.

Apabila tentera Jepun menyerah kalah pada 15hb Ogos 1945, didapati hanya 38 sahaja tahanan-tahanan perang yang masih hidup di Kem Ranau berdasarkan kepada 3 siri fasa perarakan daripada Sandakan Death Marches. 38 orang tahanan ini juga diselamatkan oleh tentera bersekutu di dalam keadaan yang nyawa-nyawa ikan. Dikhabarkan ramai juga antara mereka yang telah berjaya melarikan diri sewaktu di dalam tahanan dan mereka dikatakan mendapat perlindungan daripada penduduk tempatan di Ranau yang menyembunyikan mereka sehingga perang tamat.

Yang terselamat inilah yang menjadi saksi kepada jenayah perang yang dilakukan oleh Kapten Takakuwa dan Kapten Watanabe Genzo yang telah didakwa melakukan pembunuhan besar-besaran keatas tahanan perang Australia dan British di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Kedua-dua pegawai pemerintah Jepun ini didapati bersalah di Mahkamah Dunia dan telah dihukum tembak sampai mati pada 6 April 1946 bagi Kapten Takakuwa manakala Kapten Watanabe Genzo dihukum gantung sampai mati pada 16 Mac 1946. Bagi mengenang mereka yang terkorban sewaktu Sandakan Death Marches ini juga pada tahun 1962, Kerajaan Koloni British Borneo yang memerintah Sabah pada masa itu telah membina sebuah tugu memorial di Kundasang, Sabah.

Inilah sekelumit ruang informasi sejarah mengenai satu tragedi yang menimpa tahanan-tahanan perang sewaktu pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua berlangsung. Tahanan-tahanan perang yang menjadi penghuni bagi Kem Tahanan Perang Sandakan telah menjalani satu penghidupan yang perit malah tragedi Sandakan Death Marches 1945 merupakan antara sejarah hitam yang mewarnai dunia pendudukan Jepun di Borneo.

Inilah antara sejarah yang tidak begitu diketahui oleh kita sebagai rakyat Malaysia amnya, bangsa Sabah dan bangsa Sarawak khususnya biarpun ianya terjadi di bumi kita dua negeri Malaysia di Pulau Borneo. Walaupun rata-rata mereka yang terlibat adalah tahanan perang tentera daripada angkatan tentera bersekutu iaitu Australia dan British namun lokasinya berlaku di bumi kita berpijak iaitu Pulau Borneo.

Anda boleh juga mendapat maklumat dari sumber di bawah ini:

1.   https://www.facebook.com/BorneoOracle

2.   http://www.panoramio.com/photo/11003515 by Jeff31
3.   http://www.amazon.com/Abandoned-Australians-at-Sandakan-1945/dp/0731691695
4.   http://www.anzacportal.dva.gov.au/history/publications/laden-fevered-starved-sandakan/remembering-sandakan-1945-1999

No comments:

Post a Comment