Sunday, November 2, 2014

301.0 Hadith Dhaif - bolehkah beramal dengannya?

Syaikhul Hadis Maulana Hussin Abdul Kadir.

HADITH DHAIF الحديث الضعيف

Disediakan oleh Maulana Husin bn.Abdul Kadir

بسم الله الرحمن الرحيم …

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …

MUQADDIMAH

Pokok perbincangan kami di dalam risalah ini ialah tentang hadith dhaif kerana sejak kebelakangan ini ada pihak yang sering mempertikaikan hadith dhaif sehingga mereka menganggap bahawa beramal dengan hadith dhaif adalah perkara mungkar dan ia adalah hadith yang dusta. Hadith dhaif ini hanya tidak memenuhi syarat-syarat hadith sahih dan hasan. Pengertian ini tidak membawa maksud bahawa tidak boleh beramal dengan hadith dhaif.

DEFINISI HADITH DHAIF:

Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. (منحة المغيث) Al-Hafiz Ibnu Solah telah mentakrifkan hadith dhaif dengan katanya bahawa: “setiap hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadith hasan, maka itulah hadith dhaif”. (139(تدريب الراوي :ص

Hadith yang makbul (yang diterima) ialah hadith yang mencukupi enam syarat iaitu:

1) Sanad yang bersambung

2) Para perawinya bersifat adil (mempunyai ketaqwaan dan menjauhkan diri daripada kefasikan)

3) Para perawinya dhabit (pengingat melalui catatan dan hafazan)

4) Tiada syaz (seorang perawi yang tidak menyalahi dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai daripadanya)

5) Tiada illah (tiada didapati kecacatan pada matan dan sanad hadith)

6) Ada sanad yang menyokong atau menguatkan ketika diperlukan. (14: (مصطلح الحديث

PEMBAHAGIAN HADITH DHAIF

Hadith dhaif secara umum terbahagi kepada tiga iaitu:

1) Hadith yang mana kedhaifannya boleh ditampung dengan muafakat para ulama’ kerana dikuatkan oleh kemasyhurannya yang datang daripada riwayat yang lain ataupun ianya disokong oleh sokongan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila perawinya adalah seorang yang lemah hafazan atau kedhaifannya disebabkan ianya diriwayatkan secara mursal (gugur sahabat nabi di dalam sanad), ataupun tidak diketahui keadilan perawinya, maka hadith ini tarafnya naik ke peringkat hadith hasan li gharih (hadith menjadi kuat disebabkan ada sokongan). Maka jadilah ia hadith yang diterima pakai untuk dibuat sebagai hujah sehingga di dalam hukum hakam. Hadith ini juga dinamakan hadith mudho’af.

2) Hadith yang mana kedhaifannya tidak boleh ditampung walaupun jalan-jalan periwayatannya banyak. Ia dinamakan hadith WAAHI (bersangatan dhaif). Ini disebabkan perawinya seorang fasik atau dituduh sebagai pembohong.

3) Hadith waahi tersebut yang mempunyai sokongan daripada riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik kepada peringkat yang lebih tinggi melebihi martabat hadith munkar (hadith yang bersangatan lemah dan hadith yang tiada asal). Pada ketika ini diharuskan beramal dengannya di dalam soal-soal fadhilah (kelebihan) amalan-amalan, tetapi tidak boleh diamalkan di dalam soal aqidah dan hukum hakam. Sesetengah ulama’ menyatakan juga bahawa tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran Al-Quran.

(11-10: (وظيفة الحديث الضعيف

HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH DHAIF

Para ulama’ telah berselisih pada keharusan beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama

Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk ulasan pendapat yang pertama.

Pendapat kedua

Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.

Pendapat ketiga

Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam kitab beliau ‘Qawaid Al-Tahdis’ m/s 113: “”هذا هو المعتمد عند الأئمة Ertinya: “Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam hadith”. (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه

Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul Al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif itu ada tiga:

1) Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan. Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.

2) Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di dalam asal (Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias) yang umum.

3) Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan”.

ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA

1) Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35: (وظيفة الحديث الضعيف.

2) Begitu juga Imam Bukhari memasukkan hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk ataupun sebagai hadith “Mutaba’ah” (hadith yang dijadikan sokongan bagi hadith-hadith sahih).

3) Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim, Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu, memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.

4) Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih beliau sebagai hadith ‘Mutaba’ah’ (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula, untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam ‘Maqalatnya’ pada kisah Khalid bin Walid r.d.h.

5) Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)

6) Setengah ulama’ menerangkan maksud sebenar perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi عارضة الأحوذي(وظيفة الحديث الضعيف: 15)

ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA

1) Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: “Hadith dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid” telah ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: “Sesungguhnya perkataan kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya dhaif hasan”. (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)

Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil, hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)

Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim di dalam kitabnya اعلام الموقعين .

ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA

1) Para ulama’ dari kalangan muhaddithin dan fuqaha’ dan selain mereka itu berkata: “Harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap sesuatu selama hadith itu bukan mauduk”. Adapun hukum-hukum seperti halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب) meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:

“من بلغه عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك”

Ertinya: “Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu”.

2) Dengan itu penerimaan hadith daif yang diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama’ seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi menukilkan daripada ulama’ bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)

3) Segelintir masyarakat mempertikaikan orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh para ulama’ hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama’ sufi pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama’ besar dalam bidang hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah pendirian yang diambil oleh ulama’ tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)

Peringatan:

1) Atas pendapat ketiga inilah, periwayatan Ibnu Ishak terutama di dalam sirah dan maghazi (sejarah kebangkitan awal Islam, pemerintahan dan peperangan) diterima pakai oleh ulama’ hadith, sekalipun beliau seorang perawi yang dhaif. Ini kerana sepertimana yang telah maklum bahawa periwayatan seseorang yang dhaif itu diterima pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hukum. Atas alasan inilah, Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya manjadikan riwayat Ibnu Ishak sebagai Istisyhad (penyokong kepada hadith bab) (dan memasukkan juga di dalam terjemah bab (tajuk). Imam Muslim didalam kitab sahihnya meletakkan riwayat Ibnu Ishak sebagai mutaba’ah (penguat kepada hadith bab), di mana Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pula mengeluarkan hadith daripada Ibnu Ishak di dalam sunan-sunan mereka.

Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat periwayatan beliau (Ibnu Ishak) menyalahi dengan apa yang diriwayatkan oleh imam yang muktabar, maka periwayatan imam itulah yang mesti diutamakan. Ini bukanlah bererti Ibnu Ishak berdusta dan sengaja mereka-rekakan cerita seperti yang disangkakan oleh mereka yang tidak memahami ilmu hadith, tetapi beliau hanyalah seorang perawi yang mengambil riwayat-riwayatnya daripada orang lain. Malangnya sesetengah pihak berani menghukum bahawa tidak harus sama sekali meriwayatkan daripada Ibnu Ishak, sekalipun berkenaan dengan sirah dan maghazi dengan alasan bahawa beliau pendusta lagi bermazhab syiah. Sekiranya benar apa yang dikatakan itu, nescaya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pun turut dikira sebagai pendusta. Ini kerana meriwayatkan daripada seseorang yang diyakini sebagai pendusta bererti menyebarkan perkara dusta dan mengiakannya.

Lebih malang lagi sehingga ada yang meletakkan kedudukan sirah Ibnu Ishak dan sirah Ibnu Hisyam supaya di masukkan ke dalam tong sampah. Ini tidak lain melainkan disebabkan tunpulnya kefahaman tentang ilmu hadith atau menganggap diri mereka lebih berkaliber daripada imam-imam yang muktabar dalam bidang hadith.

2) Abul Fadl Abdullah bin Al-Saddiq Al-Ghumari menyebut perkataan para ulama’ feqah bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan di dalam hukum-hakam bukanlah bersifat umum seperti yang difahami kebanyakan orang. Ini kerana apabila anda meneliti pada hadith-hadith yang dipakai oleh imam-imam Mujtahidin secara permuafakatan atau perseorangan anda akan mendapati hadith-hadith dhaif di dalam hukum-hakam jumlahnya mencapai separuh atau lebih. Bahkan anda akan dapati di dalamnya hadith munkar, hadith yang gugur perawinya dan hadith yang hampir kepada taraf hadith maudhu’ (yang direka-reka).

HUKUM MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

1) Ulama’ mengharuskan mempermudah-mudahkan pada sanad hadith dhaif, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menyatakan kedhaifannya. Oleh kerana itu hadith dhaif boleh diterima pakai di dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan, menakutkan, peradaban, kisah tauladan bukan di dalam perkara aqidah seperti sifat Allah dan hukum seperti halal haram. (تقريب النووي: ص 108)

2) Ibnu Abdul Barri ada menyatakan hadith yang berkaitan dengan fadhilat maka kami tidak perlukan orang (perawi) yang layak untuk dijadikan hujah. (tidak semestinya perawi itu thiqah).

3) Ibnu Mahdi menyebutkan dalam kitabnya Al-Madkhal: “Apabila kami meriwayatkan daripada nabi s.a.w tentang halal haram dan hukum- hakam maka kami mengetatkan sanad-sanadnya dan kami akan membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijal (nama perawi yang terdapat dalam sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran pahala dan seksa maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami bertolak ansur”.

CARA MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

Walaupun jumhur mengharuskan meriwayatkan hadith dhaif, namun perlu di ingatkan mereka menyatakan bahawa tidak harus menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasulullah s.aw” ketika meriwayatkan hadith dhaif ini kerana untuk mengelakkan daripada menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak disabdakannya bahkan hendaklah digunakan kalimah yang menunjukkan ketidakpastian (tamridh), seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda” dan seumpamanya. (تقريب النووي: ص 22)

HADITH MURSAL

Hadith Mursal ialah hadith yang didapati gugur seorang perawi (sahabat) pada sanadnya yakni hadith yang disandarkan kepada nabi s.a.w oleh tabi’in yang tidak mendengar sendiri daripada nabi s.a.w, mungkin ia meriwayatkan hadith dari sahabat nabi atau ia meriwayat daripada orang lain. Hadith mursal ini tergolong daripada hadith-hadis dhaif kerana tiada padanya sanad yang bersambung. (مصطلح الحديث: ص 22)

PENERIMAAN HADITH MURSAL DISISI PARA ULAMA MUJTAHIDIN

Pendapat yang dipilih bahawa hadith Mursal sahabat (seseorang sahabat menggugurkan sahabat yang lain dalam periwayatan hadith) adalah diterima secara ijmak. Adapun hadith Mursal kurun kedua (tabi’in) dan kurun ketiga(tabi’-tabi’in) ianya diterima dan boleh berhujah pada hukum-hakam di sisi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal mengikut riwayat yang masyhur daripada kedua-duanya (Imam Malik dan Imam Ahmad). Mursal kurun kedua yang diriwayatkan oleh Said bin Al-Musayyab, Sya’bi dan Hasan Al-Basri adalah diterima sama sekali (tiada perselisihan pendapat). Adapun di sisi Imam Syafie hadith Mursal diterima apabila terdapat lima perkara:

1) Terdapat riwayat lain yang bersambung sanadnya.

2) Terdapat juga hadith mursal yang lain dengan perawi-perawi yang tersendiri.

3) Terdapat perkataan sahabat yang menyokong.

4) Disokong oleh kebanyakan ulama.

5) Diketahui bahawa ianya diriwayatkan secara mursal daripada perawi yang adil.

(منحة المغيث: ص 47)

Contoh hadith mursal yang diterima oleh Imam Syafie:

حدثنا قتيبة أخبرنا عبد الله بن زيد بن أسلم عن أبيه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من نام عن وتره فليصل إذا أصبح

Ertinya: “sesiapa yang tertidur serta tertinggal daripada melakukan solat witir maka hendaklah ia sembahyang (qadha) apabila berpagi-pagi ia (selepas sembahyang subuh).

Keterangan: Imam Syafie berdalil dengan hadith ini walaupun ia adalah hadith mursal yang mana dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri. Hadith Abu Sa’id tersebut adalah hadith yang bersambung sanadnya dan dinyatakan oleh Imam Abu Daud sebagai sahih iaitu:

حدثنا محمود بن غيلان أخبرنا وكيع أخبرنا عبد الرحمن بن زيد بن أسلم عن أبيه عن عطاء بن يسار عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من نام عن الوتر أو نسيه فليصل إذا ذكر وإذا استيقظ

Ertinya: “sesiapa tertidur daripada mengerjakan witir atau ia terlupa maka hendaklah sembahyang tatkala ia ingat dan tersedar”. ((تحفة الآحوذي شرح سنن الترمذي: ج 2: ص 569

KAEDAH MENGHUKUM SAHIH DAN DHAIF PADA SESEBUAH HADITH

1) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith merupakan satu bidang ilmu yang khusus di mana ulama’ usul hadith dan juga ulama Jarhu dan Ta’dil (ulama’ pengkaji sanad atau pakar pengesah hadith) telah pun menyusun ilmu tersebut semenjak beberapa kurun yang lalu. Di sini tidak mungkin kami menyatakan keseluruhan bidang ilmu itu secara terperinci. Tetapi, kami ingin menyentuh beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.

2) Ramai yang beranggapan bahawa hadith sahih hanya dikumpulkan di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja tidak di dalam kitab-kitab hadith yang lain. Ini kaedah yang salah yang digunakan oleh kebanyakan orang. Kesahihan sesebuah hadith boleh ditentukan melalui kajian terhadap sanad-sanadnya. Imam Bukhari berkata: “bahawa daku tidak dapat mengumpulkan semua hadith-hadith sahih di dalam kitabku dan aku terpaksa meninggalkan beberapa banyak hadith-hadith sahih supaya dapat dielakkan daripada menjadi panjang”. Pengakuan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi hadith-hadith yang sahih yang tidak termuat di dalam Sahih Bukhari dan berkemungkinan besar terdapat hadith-hadith yang tinggi sanadnya daripada sanad hadith Sahih Bukhari.

Syeikh Abdul Rashid Nukmani menaqalkan di dalam kitabnya “ما تمس إليه الحاجة”, bahawa sanad bagi sesetengah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah terlebih tinggi daripada sanad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sepertimana yang disepakati oleh ulama’ hadith. Oleh kerana itu, Sahih Bukhari diberi gelaran أصح الكتب بعد كتاب الله adalah dengan mengambil kira dengan keseluruhan hadith bukan setiap hadith.

Imam Muslim berkata: “ليس كل صحيح وضعته هنا، إنما وضعته هنا ما اجتمعوا عليه”. Ertinya: “bukanlah aku dapat meletakkan semua hadith sahih di sini (dalam kitab Sahih Muslim), hanya aku memuatkan hadith-hadith sahih yang disepakati tentang kesahihannya”.

3) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith adalah satu kajian yang halus memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam. Hanya mereka yang mencapai darjat ijtihad dalam bidang ini sahaja layak mengkaji dan menentukan kesahihan atau kedhaifan sesebuah hadith. Menentukan sesuatu hadith samada taraf sahih atau hasan atau dhaif berdasarkan pengamatan zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad bukan berdasarkan hakikatnya kerana yang sebenar hanya Allah s.w.t.yang mengetahui. Oleh kerana itu ulama hadis menyatakan bahawa mungkin ada di antara hadith sahih pada hakikatnya ianya adalah hadith dhaif dan beberapa banyak hadith dhaif berkemungkinan besar pada hakikatnya ianya adalah sahih. Oleh itu keyakinan terhadap mutu hadith berdasarkan ijtihad (pengamatan yang zahir) (أوجز المسالك: ج 1: ص 228)

4) Periwayatan hadith diambil kira berdasarkan kepada kejujuran (thiqah) dan amanah perawi bukan berdasarkan kepada mazhabnya seperti Syiah, Rafidah, Murjeah, Muktazilah dan lain-lain. Berapa ramai di kalangan perawi-perawi yang bermazhab Syiah, Khawarij dan lain di mana Imam Bukhari dan Muslim berbangga menyebutkan nama-nama mereka dalam sanad mereka berdua dan meriwayatkan hadith daripada mereka di dalam kitab sahih keduanya (ميزان الجرح والتعديل: ص 34: محمد جمال الدين القاسمي )

5) Kebanyakan perawi yang kepercayaaan atau dipercayainya (thiqah) meriwayatkan daripada perawi-perawi yang dhaif seperti Sufyan Al-Thauri dan Syu’bah dan selain mereka. Syu’bah berkata sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith kepada kamu melainkan hanya daripada orang-orang yang kepercayaan (thiqah) neccaya aku tidak akan meriwayatkan kepada kamu melainkan daripada beberapa orang sahaja. Yahya Bin Al-Qattan berkata; “Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada beberapa orang yang aku redha (setuju) nescaya aku tidak boleh meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada lima orang sahaja atau seumpamanya” (شرح علل الترميذي: 29 ) Menurut ulama usul hadith apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayat hadith yang diambil daripada perawi yang bertaraf dhaif maka ini bererti dia menganggap perawi itu bertaraf adil.

(وظيفة الحديث الضعيف: 18)

6) Terkadang wujud perselisihan ulama terhadap sesebuah hadis atau seseorang perawi tentang sahih dan dhaif atau thiqah dan tidak thiqah. Persoalannya pendapat yang manakah yang perlu ditarjih(diutamakan), maka dengan itu Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi ada mengemukakan tiga pendapat di dalam kitabnya الأجوبة الفاضلة untuk menghuraikan perkara tersebut :-

Apabila didapati seseorang yang memudahkan pentashihan hadith sementara yang lain pula amat berhati-hati, maka pendapat yang mempunyai sikap berhati-hati akan ditarjihkan. Contohnya Hakim mentashihkan suatu hadith dan Hafiz Zahabi pula mentad’ifkan hadith itu. Maka pendapat Imam Zahabi akan diutamakan kerana Imam Hakim digelar sebagai (متساهل في الحديث) yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith. Begitu juga Ibnu Hibban memberi pengakuan thiqah terhadap seorang perawi sementara ada tokoh lain yang lebih berwibawa pula menganggap tidak thiqah, maka pendapat Ibnu Hibban ditolak kerana beliau memasukkan perawi yang majhul kedalam senarai thiqahnya.

Salah seorang diantara dua orang muhaddith mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadith (تشدد) sementara seorang lagi mempunyai sikap sederhana (معتدل). Maka pendapat yang sederhana itu akan ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyaddid sementara Ibnu Hajar dan Zahabi kedua-duanya mu’tadil maka Imam Ibnu Hajar dan Imam Zahabi diutamakan.

Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa ada empat generasi (طبقات) di kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad (أئمة الجرح والتعديل). Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyaddid (bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu’tadil (bersikap sederhana) pada tabaqat (generasi) itu.

i. Tabaqat pertama Syukbah dan Sufyan Al-Thauri. Syu’bah adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

ii.Tabaqat kedua Yahya Bin Said Al-Qattan dan Abdurrahman Bin Mahdi. Maka Yahya adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

iii.Tabaqat ketiga Yahya Bin Ma’in dan Ali Bin Al- Madini. Maka Yahya Bin Ma’in adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

iv.Tabaqat yang keempat Ibnu Abi Hatim dan Imam Bukhari. Ibnu Abi Hatim adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

Oleh demikian itu apabila didapati perselisihan di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul yang sederhana atau pertengahan (متوسط) dan meninggalkan qaul yang tasyaddud. Syeik Abdul Haiyi Lakhnawi berkata kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Ibnu Jauzi, Hafiz Saghani dan Ibnu Taimiyah dianggap mutasyaddid dan Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz Zahabi, Hafiz Iraqi dan Hafiz Zaila’i dianggap mutawassit atau mu’tadil dan pendapat mereka ini akan diutamakan.

Meneliti dalil-dalil bagi dua pihak dan mengutamakan qaul yang mempunyai dalil yang kuat sedangkan kebolehan meneliti tidak ada pada setiap orang.

7) Hadith-hadith yang ditashihkan oleh ulama’ hadith dan feqah yang muktabar lagi yang terdahulu itu tidak akan jadi dhaif kerana mencelahi perawi daif kemudian daripada mereka itu. Maka pentashihan hadith yang dibuat oleh fuqahak (Imam-Imam Mujtahid) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihannya yang dibuat oleh ulama’ hadith. Contohnya tersebut di dalam Sunan Tirmizi yang berbunyi:

حدثنا يحي بن موسى أخبرنا أبو معاوية أخبرنا خالد بن إياس عن صالح مولى التوأمة عن أبي هريرة قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم ينهض في الصلاة على صدور قدميه.

Ertinya: “Adalah Nabi s.a.w bangun berdiri (qiyam) di dalam sembahyang diatas kedua hujung jejari kakinya”.

Hadith ini dhaif di sisi Imam Tirmizi kerana terdapat Khalid bin Iyaas yang mana beliau adalah perawi yang dhaif. Akan tetapi hadis ini dianggap sahih di sisi Imam Abu Hanifah kerana tidak didapati Khalid bin Iyaas tersebut di dalam sanadnya.

8) Hadith dhaif tidak semestinya ditolak bulat-bulat kerana ianya boleh mencapai darjat hasan dan menjadi makbul sekiranya jalan periwayatannya berbilang-bilang sepertimana Mulla Ali Al-Qari berkata: “وتعدد الطرق يبلغ الحديث الضعيف إلى حد الحسن” bermaksud: “hadith boleh mencapai darjat hasan (hasan li ghairihi) dengan banyak jalan periwayatan”. Demikian juga tersebut di dalam شرح النخبة m/s 24, ((والضعيف أن تعددت طرقه أو تأيد بما يرجح قبوله فهو الحسن لغيره )) ertinya: “sekiranya hadith dhaif berbilang-bilang periwayatan atau dikuatkan dengan hadith yang terlebih kuat penerimaannya maka ia menjadi hasan li ghairihi”.

9) حديث ضعيف مؤيد بالتعامل iaitu hadith dhaif yang disokong oleh amalan sahabat dan tabi’in. Apabila amalan mereka itu bertepatan dengan hadith dhaif maka dengan sendiri hadith dhaif itu menjadi hadith yang layak diamalkan dan dibuat hujah. Sebagai contoh:

( هو الطهور ماؤه والحل ميتته، القاتل لا يرث، لا وصية لوارث)

Ertinya: “Ianya (air laut) adalah suci airnya dan halal bangkainya. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Tidak boleh berwasiat untuk orang yang menerima harta pusaka”,

Hadith-Hadith ini diakui dhaif oleh kebanyakan muhaddithin walaupun begitu ianya boleh diterima untuk dijadikan dalil (قابل للإستدلال) kerana didapati ramai sahabat dan tabein beramal dengan hadith itu.

Telah berkata Ibnu Abdul Barri di dalam kitabnya الاستذكار ketika menghikayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa Imam Bukhari telah menghukum sahih Hadith Al-bahr (هو الطهور ماؤه والحل ميتته) sedangkan ahli hadith tidak mentashih sanad seperti ini tetapi hadith itu adalah sahih disisiku kerana ulama’ telah menerimanya dengan secara qabul (penerimaan berterusan). Sesetengah ulama’ menghukumkan kesahihan mengenai sesebuah hadith apabila ada penerimaan yang berterusan daripada orang ramai sekalipun sanadnya tidak sahih. Berkata Al-Ustaz Al-Isfirayini: “Dikenali kesahihan hadith apabila masyhur di sisi ulama’ hadith tanpa sebarang penafian daripada mereka itu”. Hadith yang diterima oleh ulama’ secara berterusan maka hadith itu termasuk di dalam hadith makbul sekalipun tidak memenuhi syarat sahih kerana ummah tidak berhimpun dalam perkara kesesatan. (وظيفة الحديث الضعيف: إمام محمد زكي إبراهيم: ص 27-28)

KESIMPULAN

Menerima pakai hadith dhaif dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan dan menakutkan, soal adab, kisah tauladan, nasihat-nasihat dan seumpamanya adalah dibolehkan. Perkara ini disepakati oleh ulama’ Muhaddithin.
Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama’ bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhaif.

Penerimaan hadith dhaif dalam perkara-perkara terbabit adalah disyaratkan jangan terlampau kuat kedhaifannya dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih.

Perlu mematuhi kaedah di sisi ulama’ hadith yang berlandaskan pentashihan dan pendhaifan hadith.

Jangan mengambil sikap terlalu mudah menolak hadith dhaif sedangkan ulama’-ulama’ yang mu’tabar sudahpun mengambil pendirian dan sikap yang sederhana mengenai menerima dan beramal dengan hadith dhaif.

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

Sekian, wassalam..

Sidang pengarang:

Ust. Nik Nazimuddin b. Nik Ibrahim

Ust Fuad b. Abd Wahab

Ust. Nik Sahril b. Nik Ibrahim

Sebarkan utk manfaat bersama ...

No comments:

Post a Comment