Tuesday, November 4, 2014

302.0 Hukum-hukum yang diabaikan ......

Assalaamu'alaikum, para sahabat, saudara mara dan pengunjung blog ini.

Kebelakangan ini, manusia Islam seolah-olah berani mencabar hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Saya gunakan perkataan "seolah-olah" bermaksud "seperti" atau "nampak seperti". Apa yang sebenarnya yang berlaku ialah kita (termasuklah saya sendiri) tergolong di dalam golongan orang-orang yang cetek ilmu tentang hukum-hakam Islam.....nak guna perkataan "jahil" mungkin nampak garang sikit. Tapi itulah hakikatnya. Tanyailah diri kita sendiri, adakah kita serius mempelajari bab-bab agama sepertimana seriusnya kita belajar semua subjek Matematik dan Sains bagi menghadapi SPM atau tinggi lagi peringkat Universiti? Habis tinggi belajar agama (majoriti kita lah...) ialah ketika ambil subjek Pengetahuan Agama Islam se masa peperiksaan SPM. Selepas "lulus" (sepatutnya skor A1), buku ke mana, amalan ke mana, teori ke mana ..... dah cukup ilmu agama di dada.....bye bye!

Tanyailah diri kita, cukupkah berbekalkan ilmu sebanyak itu untuk mengharungi kehidupan selanjutnya ..... bekerja, mencari rezeki, berkahwin, berkeluarga, mendidik anak2 dan isteri? Dengan ilmu agama yang cetek dan tiada inisiatif untuk belajar lagi dengan lebih mendalam, kita mudah tertipu dengan dakyah musuh Islam iaitu yahudi dan nasrani khasnya. Akhirnya, agama diabaikan dan menjadi perkara mudah ..... alasannya: "orang tu boleh buat, kenapa aku tak boleh?", "anak ustaz tu pun buat macam aku juga", "aku Islamlah, ibubapa aku, tok nenek aku semuanya Islam".......

Tak hairanlah masakini lahir ramai Ustaz dan Ustazah "mi segera" atau ustaz/ustazah "Copy & Paste". Bukalah blog manapun, lihatlah komen-komen khasnya hal keagamaan, berapa ramai yang memberi komen dan berbahath berdasarkan fahaman dan akal sendiri yang didorong nafsu syaitan bukannya ilmu agama yang dipelajari secara berdepan dengan guru. Dengan mudah mengambil atau memetik hadith itu hadith ini, ayat itu dan ayat ini sebagai bahan rujukan padahal sepatah haram bahasa Arab tak reti pun. Amat mudah, sekarang zaman IT dan elektronik, segala-galanya di jari ..... buka web terjemahan hadith atau Al-Qur'an, cari topik yang berkaitan dan guna di dalam perbahathan. Untuk guna sebaris ayat terjemahan Al-Qur'an bukanlah semudah yang disangka. Kita kena mahir ilmu nahu Bahasa Arab, ilmu mantiq, balaghah dan ilmu2 lain yang berkaitan dengannya serta mengetahui urutan peristiwa mengapa turunnya ayat-ayat tersebut. Setiap ayat mempunyai maksud atau makna yang tersirat. Itu baru bab Al-Qur'an, bagaimana pula dengan ilmu Feqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf ...... Mempelajari ilmu agama itu adalah fardhu ain ke atas setiap individu yang sudah mengucap dua kalimah syahadah.

Ringkasnya, masa semakin suntuk ...... kesebokan dengan kerja harian mencari rezeki sudah cukup meletihkan. Keluar kerja, matahari belum terbit, balik ketika matahari dah terbenam. Masa bila nak belajar? Cakap memanglah senang, cuba buat.

Masih belum terlewat untuk kita mempelajari ilmu agama, sekurang-kurangnya ada jawapan "Ya Allah, aku sedang belajar agama ketika Engkau memanggil aku menghadap Engkau yang Agung." Kemudahan komputer, internet, handfon dan macam2 lagi boleh membantu tetapi lebih afdhal dan mudah faham jika belajar berdepan dengan guru. Kebanyakan masjid dan surau mengadakan Kuliah Maghrib, ikutilah selalu, kalau tak dapat banyak ilmu, dapat sebaris ayat pun jadilah. Masalahnya, jangan mendabek dada, aku dah cukup ilmu, tidak perlu belajar. Buka TV RTM atau ASTRO, ikuti rancangan2 keagamaan. Jauhkan diri dari rancangan2 hiburan atau sukan yang melalaikan dan tidak memberi apa2 faedah dunia dan akhirat. Jadikan diri kita, berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat, Insya'allah.

Ingatlah, apabila kita dihadapkan di hadapan Allah Rabbul Jalil, di Mahkamah akhirat, kita akan dipertanggungjawapkan di atas setiap perkataan, perbuatan, perlakuan malah apa sahaja yang terdetik di hati. Akan terungkap segala-galanya, tiada selindung lagi, akan ditayang untuk tontonan semua orang yang dihidupkan kembali sejak Nabi Adam a.s. hinggalah manusia terakhir di muka bumi ini. Pada masa itu, wang ringgit, kemewahan, anak isteri maupun keluarga sudah tidak memberi apa-apa faedah/munafaat lagi. Kita akan berdiri bersendirian, penyesalan sudah tidak berguna lagi, hendak memohon keampunan dan bertaubat sudah terlambat. Bayangkan dalam keadaan berbogel tiada satu urat benang pakaian dan matahari akhirat di atas kepala tiada pokok atau pelindung kepada kepanasan terusnya. Ada yang berenang dan lemas di dalam peluhnya sendiri bergantung kepada amalannya selama hidup yang singkat di dunia ini. Tiada siapa dapat membantu meringankan penderitaan kita melainkan satu ikhtiar sahaja iaitu kita mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. Bukan semua orang boleh mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. Jika kita tidak pernah mengingati atau banyak bersolawat ke atas Nabi s.a.w. semasa hidup, masakan baginda Rasulullah s.a.w. akan mengenali kita sebagai umatnya di akhirat. Kita tak pernah mengenali kaum keluarganya, tidak pernah mengetahui dan mendalami sirah (sejarah hidup) baginda, tidak pernah membaca Hadith-Hadith dan Al-Qur'an yang ditinggalkannya, tidak mengasihinya .... maka janganlah bermimpi di siang hari untuk mendapat syafaat Rasulullah s.a.w.

Banyak sungguh pelanggaran perkara-perkara agama yang kita buat, samada sengaja atau tidak sengaja, secara terang atau tersembunyi dan semuanya mendorong kita kepada kebinasaan di akhirat kelak (Dengan Allah jua kita berlindung). Apakah kita akan jawab di hadapan Allah, "ampunkanlah aku Ya Allah, aku benar-benar tidak tahu perkara ini salah....." maka Allah akan bertanya: "mengapakah engkau tidak belajar?" Apakah jawapan kita selanjutnya ....... anda jawablah sendiri.

Di bawah ini saya paparkan tujuh hukum dan persoalan agama yang sering kita hadapi. Kadang-kadang kita mengambil jalan mudah, "ramai orang buat, jadi kita boleh buat" tanpa mengetahui hukum sebenarnya.....ikut-ikutan.

1) Inai berukir di tangan dilaknat Allah

2) Hukum Memakai “Braces”

3) Hukum Mewarnakan Rambut & Uban

4) Lelaki Bergelang Tangan

5) Hukum ‘Ringtone’ Bacaan Al-Quran

6) Lelaki dan Cincin Suasa

7) Aurat Antara Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam
..........................................................................................................................................
1) INAI BERUKIR DI TANGAN DILAKNAT ALLAH
 
Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.  Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:

Dari Ibnu Umar ra katanya:
“Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan.Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”.(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda :
“Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain,wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”.(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)
Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz :
“Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”
Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya.

Wallahu’alam.

* Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur .

Sumber: http://www.ustazahazimah.amirhakimi.com
.....................................................................................................................................................
2)  Hukum Memakai “Braces”

Soalan :

Apa hukum pakai pendakap gigi? Adakah ia sama seperti mengubah kejadian ALLAH seperti tatoo?


Jawapan:


Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-ALLAH.
Nabi bersabda :
“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu di wajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan”  (Shahih Muslim #3966)
Imam Al-Nawawi rh di dalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-
“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan ke atas gigi bagi menjadikan seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”

Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadith diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.

Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.

Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :
“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”

Menurut sekumpulan Mufti Islam Online : “As long as the bracing is done to fix a problem, then it is allowed and there is nothing wrong with it.”, iaitu selama mana pendakap itu membaiki sesuatu, maka ia dibenarkan.
................................................................................................................................................
3)  Hukum Mewarnakan Rambut & Uban



SOALAN

Mewarnakan Uban dengan warna hitam yang disahkan halal oleh JAKIM. Apa hukumnya?

JAWAPAN:

Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dll, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina’, Al-Bahuti, jld 1, ms 77)

Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan shohih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma’ az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.

Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-

1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.

2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.

3- Tidak mengakibatkan mudarat terhadap kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudharat terhadap janin dll akibat bahan kimia pewarna tadi.

4- Memutihkan rambut iaiatu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.

HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM


Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-

1. Makruh


Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.

Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.

Dalil mereka :

a) Sabda Nabi SAW :

“Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam” (Shohih Muslim)

b) Berkata Ibn Umar ra :

“Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar” (Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)

c) Nabi SAW bersabda :

“Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak” (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorang perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai’en dan Imam Ahmad)

d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.

2. Haram

Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya utk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.

3. Harus tanpa Makruh

Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.

Dalil mereka :

a) Sabda Nabi SAW :

“Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri2 kamu, dan lebih dpt menakutkan musuh” (Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)

b) Diriwayatakan bhw sahabat dan tabi’ein ramai juga yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Antaranya Sa’ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma’ az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)

Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dpt disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini.

Kesimpulan Hukum

Akibat terdapat zahir hadith dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadith-hadith ini. Ia seperti berikut :

a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab2 yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dll.

Sumber: http://www.zaharuddin.net/
...............................................................................................................................................
4)   Lelaki Bergelang Tangan


Oleh: Ustaz Zainuddin Hashim

Kejahilan dan kedangkalan utk tidak mendalami ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikiut-ikut dengan tindakan, penerampilan cara hidup orang kafir.

Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan. Sebagai contoh mereka menciptakan alat bagi mengurangkan tekanan darah dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini.

Hakikatnya banyak cara lain yang boleh di gunakan, tetapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki Muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar Muslim dilaknat oleh Allah s.w.t., apabila dilaknat mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan kesihatan, telah ditegaskan oleh Rasullulah s.a.w .: Hadis Imran bin Hussein r.a., bahawasanya Rasullulah s.a.w. telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan.

“Apakah bendanya ini”? Lelaki itu berkata,”Ia adalah gelang perubatan”. Rasullulalah bersabda, ”Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun utk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya.” (Hadis Sahih yg ke-19,885 Riwayat Imam Ahmad)

Pemakaian gelang pada hari ini, melibatkan ustaz-ustaz, pegawai-pegawai kerajaan, menteri-menteri dan lain-lain. Maka sesungguhnya mereka semua telah tertipu dengan perancangan musuh yang mahu menghancurkan pegangan akidah umat Islam.

Di Malaysia trend ini bermula di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah orang yang baru balik dari Mekah. Sekarang ini dibenarkan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji apabila berada di Tanah Suci supaya faktor mudah di kenali atau sebarang kes hilang , kemalangan dsb.

Jenis-jenis gelang yang di haramkan bagi lelaki:-

1) Gelang Kayu koka
2) Gelang Kristal
3) Gelang Tasbih
4) Gelang Getah plastik
5) Gelang Besi magnet
6) Gelang Besi Tabung Haji (apabila berada di Malaysia)

Jenis2 gelang yang diharuskan:-

1) Gelang pesakit semasa berada di hospital (di tanda nama pesakit dan wad)
2) Gelang pesalah/penjenayah (dipakai oleh penjenayah yg telah di tangkap polis)
3) Gelang kaki bagi pesakit gila/jiwa.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha menjadi salah satu daripada 3 golongan ini.

Wallaahu wa'alam.

Sumber: http://myibrah.com/lelaki-bergelang-tangan
 .........................................................................................................................................................
5)   Hukum ‘Ringtone’ Bacaan Al-Quran


Soalan:

Asalamualaikum,
Apakah hukumnya menggunakan nada dering telefon bimbit dengan bacaan surah Al Quran?

Jawapan:


Wa’alaikumussalam

Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Penggunaan nada dering bacaan al-Quran mula-mula sekali telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Ulama’ Saudi pada 17 Nov 2007 didalam mesyuarat yang dihadiri oleh 70 orang perwakilan fiqh dunia dan majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Mufti Besar Arab Saudi Shiekh Abdul Aziz Ali al-Syeikh. Menurut ulama yang menghadiri mesyuarat tersebut :

“Ia memalukan dan menjatuhkan kedudukan ayat-ayat al-Quran apabila ayat al-Quran yang didengarkan itu secara tiba-tiba ia terhenti, atau yang mendengar mengabaikan bacaan tersebut. Sebaliknya, jika ayat-ayat al-Quran disimpan didalam talipon bertujuan untuk didengari merupakan satu amalan yang mulia (dan bukan untuk nada dering)”.

Pada hari Khamis 12 November 2009 pula, Akademi Penyelidikan Islam, yang diketuai oleh Shiekh Dr Mohamed Sayed Tantawi rh. mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering dengan kata beliau :

إساءة للقرآن، بما لا يتفق مع جلاله وقدسيته

“Ia merupakan penyalah gunaan al-Quran, tidak bertepatan dengan keAgungan dan kemuliaanya”.
Menurut Setiausaha Akademi tersebut, al-Azhar telah mengikuti keputusan yang difailkan oleh ahlinya Sheikh Mustafa Shaka yang menyeru pihak al-Azhar mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering. Keputusan dibuat atas dasar “ayat2 yang digunakan tidak sesuai dengan keAgungan al-Quran. Ayat-ayat yang dibacakan pun tidak habis / putus.” Al-Azhar juga telah mengarahkan pihak Telco di Mesir mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering.

Sheikh Dr Mahmoud Ashour berkata “ayat-ayat al-Quran tidak diturunkan dari syurga untuk digunakan sebagai ringtone atau sebagai sesuatu yang tidak ada nilai dari aspek keAgungan dan status al-Quran itu sendiri”. Menurut beliau lagi, yang merupakan ahli Jawatan kuasa Akademi tersebut “orang tidak akan menumpukan perhatian kepada bacaan al-Quran apabila ia berbunyi, kerana nada dering itu dijadikan sebagai bahan alert apabila terjadinya perhubungan (connection), dan tidak sesuai langsung al-Quran menganti tempat nada dering atau deringan musik”.

Darul Ulum Deoband India juga telah mengharamkan al-Quran sebagai nada dering. Jurucakapnya Mohammed Asumin Qazmi mengatakan bahawa ayat-ayat al-Quran bukanlah bertujuan menghibur. “Seseorang yang mendengar al-Quran hendaklah dia mendengar sehingga habis dengan tawadhu’ dan tadabbur. Jika ia digunakan sebagai nada dering, tiba-tiba ditutup semasa bacaan, maka sangatlah tidak Islamik perbuatan tersebut”.

Kesimpulan dari sebab-sebab pengharaman al-Quran sebagai nada dering adalah :-

a. Kedudukan ayat-ayat al-Quran yang Agung dan Mulia tidak sesuai dijadikan sebagai nada dering.

b. Nada dering bacaan al-Quran itu biasanya tidak dihirau bacaannya, sedangkan menurut syara’, apabila ayat-ayat al-Quran dibacakan, hendaklah yang nmendengar itu diam dan mendengarnya.

c. Bacaan al-Quran pada nada dering biasanya bacaan tersebut terhenti atau terputus apabila talipon tersebut “berhubung”. Ayat al-Quran hendaklah dibaca secara penuh.

d. Adakalanya, nada dering bacaan dibunyikan pada tempat-tempat yang kotor seperti tandas!! Haram bacaan al-Quran didalam tandas.

Pengharaman nada dering bacaan al-Quran termasuklah laungan Azan. WA.

Sekian, wassalam.

Sumber: http://www.al-ahkam.net/

................................................................................................................................................

6)   Lelaki dan Cincin Suasa


Sumber:
Kitab Fatwa Syeikh Abd Qadir , Fatawa Mufti Negeri Johor dan Pelita Penuntut.

http://www.ustazazhar.net/

SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz. Apa hukum org lelaki memakai cincin suasa? Ada pendapat mengatakan haram. minta penjelasan dari ustaz.


JAWAPAN:

Waalaikumussalam. Apa yang saya ketahui hukum memakai cincin suasa bagi orang lelaki adalah haram kerana ia diperbuat daripada emas yang bercampur dengan logam lain. Samalah seperti haramnya lelaki memakai emas putih seklipun emas putih itu bukan 100% diperbuat daripada emas.

Kata Imam Nawawi dalam kitab Syarah Muslim yg bermaksud:

"Emas itu adalah haram atas lelaki memakainya samdaa emasnya sedikit atau banyak.”

Syeikh Abd Qadir Al-Mandili menyebut dalam fatwanya :

“Dan adalah suasa itu haramlah bagi kaum lelaki memakainya.”

Fatwa Daripada Kerajaan Brunei Darussalam:

Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.

Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu.  (Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)

Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang laki-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:

“Haram di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”

Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”

Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”

Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa siri 4/86)

JAWAPAN DARI JABATAN MUFTI KEDAH

Soalan:

Apakah hukum memakai cincin suasa?

Jawapan:

Menurut kenyataan dan perakuan daripada tukang-tukang emas beragama Islam yang ada kepercayaan dan mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap jenis-jenis logam yang diperbuat hiasan adalah suasa itu sejenis logam yang diadun dari berbagai-bagai logam menurut kadar dan peratus yang tertentu iaitu:

1. Tembaga 70%
2. Emas 20%
3. Perak 10%

Logam ini setelah diadun dan dicampur dengan cara-cara yang tertentu akan beroleh menjadi sejenis logam yang dikenali sekarang ini sebagai suasa dan suasa ini menurut perakuan dari tukang-tukang emas tersebut apabila dilebur kali pertama maka unsur-unsur emas di dalamnya tiada dapat dikesan lagi dan apabila dilebur pada kali kedua akan berubah menjadi tembaga.

Menurut pendapat fuqaha’ adalah halal bagi lelaki memakai cincin daripada logam yang ” مموه” iaitu yang bersadur atau bercampur dengan emas yang sekiranya dileburkan emas itu tiada dapat dikesan lagi dan jika dapat dikesan halal bagi orang-orang perempuan sahaja iaitu tertentu pada barang-barang hiasan mereka tiada pada barang-barang lain, walaubagaimana pun perbuatan menyadur atau mencampur itu adalah haram sekalipun bagi perhiasan-hiasan perempuan kerana terdapat padanya pembaziran.

Rujuk nas Tuhfah Muhtaj Bi Syarh Al-Manhaj juzuk 1 hlmn 122.

................................................................................................................................................

7) Aurat Antara Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam


Soalan

Saya pelajar sebuah IPT yang menetap di asrama yang bercampur dengan wanita bukan Islam. Menjadi satu bebanan bagi saya dan kawan2 saya untuk memelihara aurat dalam keadaan orang kafir tinggal sebilik dangan kami.

Jadi saya ingin mendapat penjelasan dari ustazah tentang hokumnya jika kami mendedahkan aurat zahir kami kerana keadaan terpaksa.

Jawapan

Saya sering ditanyakan masalah ini,terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Kerana ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.

Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya :

“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.

Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.

Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yang mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud:

Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.

Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.

Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadapan wanita bukan Islam diatas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.

Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.

Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.

Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.

Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang sulit-sulit kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.

Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.

WALLAHU ‘A’LAM

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad.

Sumber: http://johor.ikram.org.my
...........................................................................................................................................................

[akan bersambung ..... Insya'allah. Shaikh 4 Nov2014]


No comments:

Post a Comment