Saturday, December 13, 2014

304.0 Ceramah: Ustaz Nikmat Yusof tentang fitrah manusia


 Ustaz (A/Yarham) Sheikh Niamat Yusoff 

Pengenalan: ini adalah sebahagian dari nota-nota kuliah agama yang sempat saya catet ketika kuliah disampaikan. Sekiranya terdapat kesilapan atau maklumat yang tidak tepat, saya harap pembaca dapat memaklumkan saya menerusi email saya: syehcooladram@yahoo.com.my. Terima kasih.

Khemah ibadat sempena sambutan Maulidur Rasul 1975 untuk pelajar Sek. Men. Khir Johari, Sungai Petani, Kedah (saya penuntut tingkatan 6 Sains di sekolah ini).

Sedikit maklumat tentang penceramah, Ustaz (A/Yarham) Niamat Yusoff bergiat aktif semasa mudanya dengan ABIM Negeri Kedah, tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah dan seterusnya menjadi pengasas Maahad Tarbiah Islamiah Derang (MTID), Kedah.

Tarikh: 25 April 1975 (Jumaat)
Waktu: sebelum Subuh 5.00 pagi – Kuliah tauhid
Penyampai: Ustaz Sheikh Nikmat Yusof (Maktab Mahmood)
Tempat: Masjid Abdul Rahmaniah, Sg. Petani, Kedah
______________________________________________________________________________

Mengenal Islam dari kajian;

1) al-iman
2) al-fitrah

Al-Fitrah – kejadian. Alfitrah ialah satu perkara yang sesuai dengan keperluan, keperibadian juga bentuk asal di mana sesuatu kejadian itu dijadikan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Contohnya: garam – masin, gula – manis dan cabai – pedas.

Islam – difahamkan sebagai penyerahan sesuatu terhadap orang (bersedeqah) dan Tuhan. Contoh: serah diri, jiwa dan raga kepada Allah S.W.T. termasuk harta benda di jalan Allah (fiisabilillaah).

Fitrah kepada manusia ialah terdapat ruhani dan unsur-unsur keruhanian. Di antara unsur keruhanian ialah ’akal’ dan unsur kejasmanian (badan) ialah makanan yang mengenyangkan, minuman yang menghilangkan dahaga.

Ruhani dan keruhanian : terdiri dari sifat dan sikap serta peradaban kita seperti malu, berfikir, hormat-menghormati dan kasih mengasihani.

Jasmani dan kejasmanian : khas dicipta oleh Allah S.W.T. untuk mempertahankan kedudukan atau keselamatan kepada unsur-unsur keruhanian. Contoh: cepat marah bila dimain-main kepala (diusik).

Untuk mempertahankan keaslian (fitrah) manusia hendaklah kita sekelian:-

1) berpandukan kepada kitab suci Al-Qur’an dan

2) hadith-hadith Nabi S.A.W. iaitu sunnah-sunnahnya – mencontohi Nabi S.A.W., acuan Nabi S.A.W. supaya kita dikasihi oleh Allah bukan pula berpandukan, bertauladankan orang-orang Barat yang telah tersesat, menyeleweng dari fitrah yang sebenar dan ruhani serta jasmani tidak mahu menerimanya. Misalnya: lelaki (suami) tinggal di rumah menjaga anak-anak dan isteri keluar bekerja, orang perempuan memakai pakaian menjolok mata (ruhani malu) dan orang lelaki memakai hak-hak orang perempuan seperti bedak dan sebagainya. Ini semua telah terkeluar dari fitrahnya.

Nabi Muhammad S.A.W. pernah memberi gambarah yang bermakna; ”Keadaan seorang yang mati adalah seperti keadaan hidupnya.”

Apa yang ruhani suka: solat, puasa, amal kebajikan, bersahabat dengan orang Islam, kasih sayang di antara satu sama lain dan kerja-kerja amal yang lain. Kita mempertahankan fitrah dengan menggunakan akal fikiran (yang tidak terdapat pada haiwan). Misalnya: makan dengan camca garfu – lebih menyusahkan, apa guna dianugerahkan lima jari yang lebih mudah dan senang bergerak? garfu yang asli dan pure ialah jari-jari, tak perlu salin atau tukar ganti, boleh diguna sampai mati. kita menerima kesan-kesan sebagai bukti satu benda yang tidak kelihatan.

Lihat sahaja pada alam ini. Pokok – daunnya ke atas, berdiri tegak; matahari – mengeluarkan cahaya dan haba, kuasa apa yang digunakan olehnya? siapa yang menciptanya ..... Allah Rabbul ’aalamiin. Lautan – tidak pernah kering-kering. Banding pula dengan sebuah meja. Ada pembuatnya, masakan ia terjadi dengan sendirinya. Dari mana datangnya? Apabila dikaji dengan lebih mendalam dari sebesar-besar hingga sekecil-kecilnya maka akhir sekali jawabnya dari Allah S.W.T.

Ambil contoh seorang Atheis yang berdebat dengan seorang Islam.

Atheis: aku kata tiada Tuhan, aku tidak rasa, tidak lihat, tidak bau, tidak dengar pun Tuhan engkau.

Org Islam: (mengambil contoh sehelai hamparan sutera di atas meja). Cantik sutera ini?

Atheis: Cantik

Org Islam: siapa yang membuatnya?

Atheis: aku beli dari Kelantan, mek Kelantanlah yang buat.

Org Islam: macam mana hang kata mek Kelantan yang buat? aku tak nampak pun dia?

Atheis: mana nak nampak .... jauh, tapi dia tetap ada.

Org Islam: aku tak bau apa-apa pun, aku tak dengar pun suara mek tu, aku tak percaya!!

Atheis: (tercengang dan berfikir) ...... dia adalah!

Org Islam: jadi ada kesan, adalah orang yang membuatnya. Samalah keadaannya dengan kewujudan Tuhan.

[sambungan di sessi petang 4.45 ptg]

Sesungguhnya fitrah kita telahdirosakkan oleh pengaruh luar .... kebaratan. Apabila keimanan lemah, pengaruh yang kurang sihat mudah sahaja merayap masuk mengubah fitrah kita.  Itulah sebabnya kita diwajibkan dan digalakkan mengenal dan memahami sifat dua puluh.  Sifat pokoknya ialah Ar-Rahmaanir Rahiim.  Manusia dijadikan tidak bertujuan atau di atas konsep menyeksa manusia tetapi semata-mata kerana hendak memberi peluang kepada kita mengecap kenikmatan duniawi dan akhirat kelak.  Manusia, kebanyakannya mencari kesusahan seperti minum arak yang diharamkan mengakibatkan kemalangan, main judi yang membawa kepada kerosakan rumahtangga, orang perempuan memakai pakaian yang menjolok mata yang menyusahkan dirinya sendiri takut dirogol oleh lelaki.

Allah Maha Penyayang lagi Mengasihani ' Ar-Rahmaanir Rahiim'. Contohnya: jikalau tahi cicak yangdigugurkan itu manis, nescaya berebut-rebutlah manusia hendak memakannya, padahal ia boleh merosakkan kesihatan kita.  Contoh lain: cuping telinga. Bayangkan jika tiada cuping telinga, terpaksa dipekup dengan tangan atau mengalih kepala bila bercakap, keadaan kita seperti patung/robot, sentiasa buat kerja dan lagi corong hidung mengarah ke bawah, cuba bayangkan kalau lubang hidung mengadap ke atas ketika hari hujan ...... jenuh menudung takut lemas (ini semua fitrah kita).

Allah telah memberi keistimewaan kepada lelaki yang tidak terdapat pada wanita dan sebaliknya.

Tanggapan orang-orang perempuan ditumpukan supaya keadaan mereka dapat menahan dari segi kesakitan, yang teramat sakit (ketika melahirkan anak), kerja/berkemas di rumah walaupun mengandung - berat badan bertambah yang terpaksa dipikulnya, makan minum tidak tentu, duduk berdiri tidak kena.

Berbanding dengan orang-orang lelaki yang tidak tahan sakit walaupun sedikit pada seorang perempuan, tetapi tanggapan orang lelaki lebih tajam daripada seorang perempuan dari segi penglihatan, rasa (gulai, benda-benda makan - tukang masak dunia adalah seorang lelaki) dan dapat memandang jauh lebih ke hadapan (keadaan-keadaan atau apa-apa yang akan berlaku).

Dunia terbalik apabila manusia mengubah fitrahnya. Seorang ibu lebih sentimen daripada bapa dari segi didikan keruhanian, tata susila, perangai dan sopan santun. Bapa diberi tugas menghukum apa-apa kesalahan ahlinya di dalam sebuah keluarga.

Sesungguhnya tanggungjawab seorang suami (di dunia dan akhirat) lebih dari seorang isteri – dari aspek makan minum, pakaian, nafkah hidup dan yang terpenting ialah menjaga ahli-ahlinya daripada melanggar batasan agama. Misalnya, jika isterinya tidak memakai tudung kepala, tidak menutup aurat, keluar tanpa keizinannya, bermesra dengan lelaki lain, tidak beribadat dan sebagainya bukan sahaja si-isteri yang menerima azab di akhirat kelak tetapi si-suami juga akan merasa dan dirasakan azab keatasnya – walaupun di dunia, dia bertugas mencari wang dan menanggung nafkah sahaja. Begitu juga setiap perbuatan salah anak-anaknya, ia akan menanggung dosa dan akibat azabnya kelak.

Hukum ke atas seorang yang merosakkan fitrahnya ialah dosa yang besar walaupun makan dengan camca garfu (perkara yang kecil bagi kita).

“Bersyukurlah di atas apa yang dikurniakan oleh Allah yang Rahmaan dan Rahiim iaitu dengan melakukan apa yang diperintahkan kepada kita dan menjauhi segala apa yang dilarang.”

[sambungan pada 26 April 1975, Sabtu jam 6.30 pagi]

Fitrah (keaslian) yang rosak, yang diubah oleh seseorang itu akibat dari pengaruh keliling akan dicampakkan ke dalam neraka.

Untuk mempertahankan keaslian/fitrah:-

- betulkan akidah kita (jalan pemikiran – yang mana baik, buruk; yang mana patut dilakukan dan yang mana patut dijauhkan).

- mula-mula kita hendaklah mengenal PENCIPTA alam ini iaitu Allah Rabbul’aalamiin. Kaji dan fahami sifat 20. Ambil kesan-kesan yang terdapat di dunia sebagai membuktikan keEsaan Allah S.W.T. ataupun buat kajian dari ayat-ayat di dalam kitab suci Al-Qur’an. Ambil contoh: Al-Faatihah. Pertama: Allah ”arrahmaanirrahiim” merupakan ilmu yang utama dan diwajibkan menuntut (memahaminya), satu cara untuk mengenal Tuhan ”rabbul ’aalamiin”– berdasarkan bukti-bukti yang dapat dilihat di dalam alam ini – sifat adil dan bijaksana.

Di dalam dunia ini terdapat pasangannya, dari yang sehalus-halusnya (kuman) sehingga kepada yang sebesar-besarnya, termasuk yang ujud dari tanah. Fahami juga ilmu sam’iyyat iaitu satu ilmu yang tidak kelihatan – contohnya tentang akhirat.

Tauhid : ertinya menumpukan sesuatu yang ESA. Kebanyakan kita sanggup jual agama kerana benda dan orang. Contoh yang jelas ialah seperti sanggup meneruskan perbualan walaupun telah masuk waktu solat (melengah-lengahkan waktu solat adalah berdosa) kerana hendak menjaga hati – secara tidak langsung ia telah bersyirik atau menduakan Tuhan kerana menyembah orang itu, begitu juga dengan keadaan hendak menonton TV, wayang dan upacara-upacara keramaian yang lain.

Manusia berasa ia berada dalam ketenangan apabila ia telah kembali kepada fitrahnya.

Hidup yang selesa ialah apabila ada hubungan manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia.

Jikalau kita hendak mencari keredzaan Allah, kita jangan takut kepada percakapan (ejekan) orang, lakukan sunnah-sunnah Nabi s.a.w. agar Nabi s.a.w. mengaku kita sebagai umatnya. Bersyukurlah kepada Tuhan yang telah memberi petunjuk (siraatul mustaqiim) kepada kita.

Mintalah daripada Tuhan keselamatan di dunia dan di akhirat kelak. Jangan terlampau memberatkan hal-hal duniawi. Sesungguhnya Tuhan juga berkuasa memberi kesenangan kepada orang-orang yang dikehendakiNya dan juga kesusuhan kepada orang yang dikehendakiNya.

Barangsiapa hendak mendapat rahmat dan keredzaan Allah, dia terpaksalah merempuh dugaan yang akan Allah lintaskan di hadapannya. ”Sabar” fungsi keimanan. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang berjuang di jalanNya (fiisabiilillaah). Petikan dari sebuah hadith Nabi s.a.w. bermaksud: cucilah dosa-dosa yang ada pada diri kita (perkara-perkara maksiat) diganti dengan amal kebajikan. Nescaya hati yang iklas, jiwa yang tenang dan pelajaran yang diterima akan memberi hasil yang baik (bila baca buku, mudah faham).

[sambungan pada 26 April 1975, Sabtu jam 3.20 petang, kuliah akhir]

Fahamilah falsafah Al-Faatihah dahulu. Orang-orang kita (Melayu) dan masyarakatnya meminta ajaran yang sebenarnya tetapi apabila Islam datang (melalui junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.) mereka menolaknya lantas ada pula yang mengejek-ejeknya (sama seperti keadaan masyarakat Jahilliyah).

Yang salahnya mereka mengambil contoh individu seorang alim ulamak dan keluarganya (dari sini mereka memfitnahkan perbuatan-perbuatan yang tidak elok, walaupun yang sekecil-kecilnya, hasad dengki) tetapi mereka tidak mahu mengikut apa yang ulama itu sampaikan / dakwahkan. Sepatutnya mereka disuruh mengikut sunnah-sunnah Rasul s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda yang empat (khulafa ar-raasyidiin) dan sahabat-sahabat lain yang warak bukan mengikut tok haji atau alim ulama - mereka cuma sebagai warisan Rasul s.a.w. – itulah difirmankan Allah memerintah kita menghormati alim ulama.

Buat kajian tentang surah Al-Baqarah: ”Al-Qur’an cuma boleh difahami oleh orang yang mahu melihat kebenaran” - yang positif bukan negatif.

Manusia di dunia Islam boleh dikumpul di dalam TIGA kategori masing-masing:

Kategori 1: orang-orang yang benar-benar bertaqwa – buat ibadat dan amal kebajikan kerana Allah semata-mata. Percaya dan beramal dengan Rukun Iman - sembahyang, zakat (belanja rezeki yang diberikan) pada jalan Allah, juga yakin (tidak ragu-ragu) tentang Islam. Rajin membaca dan memahami kandungan Al-Qur’an.

Kategori 2: orang-orang yang dilakukan ke atasnya berbagai-bagai cara untuk memahami Islam melalui dakwah dan syarahan-syarahan tetapi ia masih menolaknya - inilah orang yang sesat seperti seekor ayam yang berbangga apabila emas yang dijumpainya ditukar dengan tahi. Mereka ini tidak mengenal dan tidak tahu menilai di antara baik dengan buruk. Mereka inilah yang dikunci dan ditutup pintu hati mereka kerana tidak tahu menggunakan fitrah yang dikurniakan kepadanya.

Kategori 3: orang-orang yang beriman di dunia dan akhirat tetapi semata-mata kerana hendak menunjuk-nunjuk atau mendapat sanjungan atau pujian daripada orang – menunjuk keislamannya padahal ia menipu Tuhan (di dunia disanjung, di akhirat terimalah azabnya). Keadaan mereka ini seperti keadaan orang-orang munafik yang mengaku beriman di hadapan orang-orang yang beriman tetapi apabila balik kepada puak-puaknya (kaum munafik) mereka berkata “sebenarnya kami serupa seperti kamu juga.”

“DEMI MASA, SESUNGGUHNYA MANUSIA DI DALAM KERUGIAN, KECUALI MEREKA YANG BERIMAN DAN YANG BERAMAL SOLEH DAN MEREKA YANG BERPESAN DENGAN KEBENARAN (HAK) DAN MEREKA YANG BERPESAN DENGAN KESABARAN.”

[Tamat: 4.15 petang]

_______________________________________________________________________________

(NOTA : Catetan ceramah oleh Al-Ustaz Nikmat Yusuf, Maktab Mahmood, Alor Setar, Kedah pada 12.54 a.m. SABTU 24/2/1979)
1.     ILMU - AMAL - IKHLAS
2.     DUNIA - NAFSU - SYAITAN = joint venture menyerang hamba Allah supaya hamba itu melupai janji-janjinya di masa alam ruh dahulu untuk mengabdikan diri kepada Allah di muka bumi ini.
3.     syaitan ada dua permit yang diberikan Allah; pertama, ia hidup sampai akhir zaman / dunia dan kedua, menggoda hamba Allah tanpa dilihat, sehingga bersama-sama dengannya di dalam neraka kelak.
Ilmu ialah “qualification” seorang hamba Allah di atas muka bumi. Dengan ilmulah kita beramal dan dihiasi
pula amal dengan “ikhlas” kerana menuntut keredzaan Allah dan memenuhi janji-janji kita dahulu.
Salah satu tanda Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani ialah:- 

Ambil sebarang makanan - sebelum disuap ke dalam mulut, hidung bertindak sebagai “spy hidu” - jika barang makanan bersih dan baik dibenarkan masuk ke mulut. Jika busuk atau dah basi dihalang masuk - seperti kominis atau subversif ~ dan badan sebagai sebuah negara. Tetapi ada juga yang terlepas masuk. Kemudian melalui “gate Kastam” iaitu gigi - mengunyah sampai lumat, kalau barang yang tak boleh dipecahkan dibuang negeri. Ada juga yang terlepas dari Eksais atau Kastam, ada pula bahagian department lain yang memeriksa iaitu lidah - masam, manis, pahit, masin. Subhaanallaah walhamdulillaah.


Ada juga Kastam yang melepaskan masuk kominis-kominis dengan banyak samada kerana rasuah atau lain-lain dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya ibu yang mengandung, ada saluran lain yang berkehendakan kepada lebih rasa masam, maka diselaraskan atau diseimbangkan dengan rasa-rasa lain pula seperti kicap atau gula. Demikianlah kebesaran Allah dan betapa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian tetapi sedikit sangat manusia yang mahu mensyukuri nikmat yang Allah limpahkan. Manusia suka mengeluh walau pun Allah telah melimpahkan nikmat melebihi air lautan berkali-kali ganda dan diambil se titik darinya. Misalnya; diberinya seorang itu murah rezeki - bergaji besar, pangkat dunia dan lain-lain, tetapi apabila kehilangan $5.00 dari poketnya, ia dah menggelisah belum lagi hilang rumah atau anak bini. Sesetengah orang miskin mengeluh “saya miskin”, sehelai sepinggang, tiada rumah besar, kereta dan lain-lain. Tanya kepadanya, berapa jumlah harta semua tadi, katakanlah setengah juta ringgit. Sekarang katakan ada seorang “millionaire” accident kemudian buta se biji matanya. Tanya kepada si miskin tadi, adakah ia hendak menjadi kaya dengan menjual sebiji matanya … dengan harga dua juta ringgit? Tentu tidak mahu kan …. Kiaskanlah dengan anggota lain. Jadi bandingkan nilai nikmat yang Allah beri pada jasad kita dengan nikmat kebendaan yang kita pakai setiap waktu. Jauh lebih mahal dan dan lebih besar nikmatnya. Jadi janganlah mengeluh dan buruk sangka terhadap Allah s.w.t. bersyukurlah dan bertaubatlah.
__________________________________________________________________________________

Biodata Penceramah (sumber: http://maahadderang.com/home/?page_id=101)

MENATAP PERIBADI PENGASAS MAAHAD
ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF

DERANG YANG PERMAI
Sebuah kampung yang bernama Derang tidak mugkin terkenal tanpa dikaitkan dengan seorang tokoh agama bernama Al-Fadhil Syeikh Niamat Bin Yusoff. Pertalian bukan kerana tempat kelahiran, tetapi disebabkan teras sebuah pusat pendidikan Islam yang pertama mewujudkan pengajian dari peringkat rendah ke peringkat tinggi berasrama penuh dibawah pimpinan beliau. Di sebalik keupayaan menerokai sekolah yang bernama Maahad Tarbiyah Islamiah ini, terungkap sejarah pengalaman dan keilmuan yang mendasari keperibadian dirinya. Beliau dilahirkan pada tanggal 22 Februari 1940 di Kepala Batas, Pulau Pinang, Sebuah daerah yang ketika itu terkenal dengan sekolah-sekolah yang masyhur di Nusantara.

Inilah kelahiran anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat dalam membantu menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu. Manakala anak menantu semuanya mewarisi usaha beliau di bidang kerjaya yang sama.

Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana. Ketika inilah Syeikh Niamat menerima pengalaman dari ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perpindahan yang pertama ialah dari Kepala Batas Seberang Perai ke Padang Sera Kedah, dimana beliau (Tuan Guru Syeikh Yusoff) telah mengasaskan sekolah agama An-Nahdhah Al-Hasanah Melele bersama seorang sahabat dari Indonesia bernama Ustaz Ali Bustamam. Kemudian beliau berpindah ke Kubur Panjang untuk menggantikan Tuan Guru Haji Husin Misri sebagai mudir di Pondok Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah. Akhirnya pada tahun 1952 beliau berpindah ke Alor Setar untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat umum menerusi masjid-masjid, surau-surau dan parsatuan-persatuan. Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.

KEMBALINYA SEBUTIR MUTIARA
Beliau kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar disisi kedua-dua isteri serta anak-anak beliau. Pada waktu-waktu akhir beliau dijemput Allah, beliau sedang mengusahakan ke arah memajukan lagi Maahad ini dengan pembentukan Perancangan Fasa Kedua Pembangunan Maahad serta beberapa buah puisi yang amat menyusuk kalbu.

[Butiran biodata dan penglibatan di dalam masyarakat selama hayat Allahyarham boleh dilihat di http://maahadderang.com/home/?page_id=101]





1 comment: