Sunday, April 7, 2013

130.0 Setiap kita ada Pengiring bernama Qarin?

Siapa Qarin di Sisi Manusia?

Sutera Sayang | April 7, 2013 | 0 Comments

Siapakah Qarin? Tentu ramai daripada kita telah tahu tentang kewujudan qarin ini tetapi kemungkinan ada yang masih tidak mengetahui tentang Qarin ini. Hakikatnya, begitulah kehendak Allah SWT bahawa setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah matinya anak Adam, kita mempunyai satu jin kafir yang menjadi peneman ke mana sahaja kita pergi samada siang mahupun malam.

Qarin ini akan mengajak kita melakukan kejahatan dan menahan daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Oleh kerana ia terlalu rapat dengan manusia maka ianya digelar Qarin atau Jin pendamping manusia.


Qarin dijadikan Allah sebagai pendamping setiap manusia

Oleh yang demikian, maka Allah mengutuskan pula Malaikat yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah pula yang membuat pilihan sama ada mentaati arahan malaikat ataupun jin qarin.

Rasulullah SAW ada bersabda :

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدً إِلَّا وَمَعَهُ قَرِينُهُ مِنَ الجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنَ المَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رسولَ اللهِ قَالَ وَإِيَّايَ وَلَكِنِّ اللهَ تعالى أَعَانَنِي عليه فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah “ sabdanya “ Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Abdullah bin Mas’ud RA)

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ianya sebagai “kembar” setiap manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Qarin mendorong manusia ke arah kejahatan (gambar hiasan sahaja)

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong manusia membuat kejahatan. Sebagai contoh dalam situasi kita hari ini, qarin akan sering membisikkan was-was, melalaikan solat, berasa berat hendak membaca al-Quran, terasa manisnya tatkala melakukan maksiat dan sebagainya. Malah ia akan bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya daripada membuat ibadah dan kebaikan.

Maka dengan itu, untuk mengimbangi usaha qarin ini lalu Allah utuskan Malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat.

Amalan zikir menjadi pendinding manusia daripada gangguan syaitan

Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Sayyidatina Aisyah menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:

“Aku merasa cemburu.” tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa yang terjadi, apakah yang menyebabkan engkau cemburu?”

Maka Aisyah berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.”

Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aisyah bertanya lagi : “Apakah aku juga mempunyai syaitan?”

Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aisyah bertanya : “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

فُضِّلْتُ عَلَى آدَمَ بِخَصْلَتَيْنِ كَانَ شَيْطَانِي كَافِرًا فَأَعَانَنِي اللهُ عَلَيْهِ حَتَّى أَسْلَمَ وَكَانَ أَزْوَاجِي عَوْنًا لِي وَكَانَ شَيْطَانُ آدَمَ كَافِرًا وَزَوْجَتُهُ عَوْنًا على خَطِيئَتِهِ
“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam AS dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantunya membuat kesalahan.” (Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi pula menceritakan: “Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang yang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk.

Maka ditanya mengapa engkau kurus? Jawab syaitan tadi “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, tatkala makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Seterusnya, Qarin hanya akan berpisah dengan “kembar”nya hanya apabila manusia itu meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang.

Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Oleh yang demikian, sebagai manusia biasa pastinya kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Manusia yang diberi akal oleh Allah untuk berfikir mana baik dan buruk. Andai kita terpesong, maka tugas kita dianggap belum selesai jika tidak kembali kepada Allah kerana di akhirat nanti kita akan disoal olehNya tetapi Qarin terlepas.. maka siapakah yang rugi di sini. Renung-renungkanlah…

No comments:

Post a Comment