Monday, October 21, 2013

252.0 Maki hamun .... return to sender!



Kuliah Maghrib: Ustaz Shamsuri Ahmad
Tarikh: 12/2/2013
Tempat: Surau Ar-Rayyan, Bertam Lakehomes, Kepala Batas

Hadith 1:

Daripada Abu Umai al-Hadhrami daripada Abdullah Mas’ud (nota: kedua-dua adalah sahabat Nabi Muhammad s.a.w.). Abdullah telah menziarah Abu Umai. Kebetulan, Abu Umai tiada di rumah. Dia memberi salam (kepada isteri Abu Umai) untuk izin masuk dan minta minum. Kebetulan tiada air di rumah Abu Umai. Isteri Abu Umai menyuruh jariah/khadam perempuannya pergi dapatkan air. Khadam itu pergi dan lambat kembali. Isteri Abu Umai merasa marah dan memaki khadam itu. Abdullah Mas’ud merasa tidak senang. Dia minta diri dan balik. Di dalam perjalanan, kebetulan Abdullah bertemu Abu Umai. Kata Abu Umai, “wahai Abdul Rahman (nota: gelaran Abdullah Mas’ud) kenapa gopoh hendak balik dan aku tiada rasa cemburu. Aku tiada masalah jika engkau masuk, beri salam dan minum air.” Abdullah pun menceritakan apa yang berlaku. Kata Abdullah, aku pernah dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “sesungguhnya laknat, maki hamun yang keluar daripada mulut seseorang kepada seseorang, tetapi kata-kata itu tidak kena atau tidak seperti yang ia kata (laknat), maka perkataan itu mengadu kepada Allah, “Ya Allah, aku ini dituju kepada seseorang tetapi orang itu tidak seperti yang dikatakan (nota: misalnya celaka), ke mana aku hendak pergi?” Allah perintahkan ia (perkataan itu) balik kepada orang yang kata atau yang mengeluarkannya. Kata Abdullah Mas’ud, kerana aku takut, kerana aku, isteri engkau akan kena laknat.”

Pengajaran dari hadith sahih di atas:

1) Jangan memaki hamun orang
2) Tersilap maki orang, akan makan diri sendiri
3) Menceritakan sifat, perangai dan peribadi para sahabat Nabi s.a.w.

Hadith 2:

Riwayat Omar Al-Khattab (Sahih Bukhari). Ada seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. bernama Abdullah tetapi orang ramai memberi gelaran “himar” (keldai). Abdullah ini suka membuatkan Nabi s.a.w. ketawa (sebagai penglipur lara dan menggembirakan Nabi s.a.w.). Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyebatnya kerana ia minum arak. Suatu hari, ia dibawa lagi kepada Nabi s.a.w. kerana kesalahan yang sama (sudah berkali-kali dihukum sebat). Terkeluarlah dari mulut sahabat-sahabat Nabi s.a.w., “semoga Allah melaknat engkau, sudah berapa kali engkau dibawa kepada Nabi s.a.w. dengan kesalahan yang sama.” Nabi s.a.w. menegah, “jangan maki ia, demi Allah aku menjadi saksi, di dalam hatinya sayang Allah dan RasulNya.”

Pengajaran: Jangan memaki hamun orang lain.




No comments:

Post a Comment