Thursday, October 3, 2013

245.0 Siapa Luqman Al-Hakim?

Kenali Lukman Al-Hakim

Aqa Mirza Mahdi Pooya, di dalam Tafsir mengatakan: adalah dipercayai, Lukman bukanlah seorang Rasul tetapi hidupnya diberkati. Beliau adalah sepupu kepada Nabi Ayub a.s.  Ia hidup sehingga usia 1,000 tahun sejak zaman Nabi Daud a.s. hinggalah ke zaman Nabi Yunus a.s. Wasiat dan nasihatnya yang mengandungi falsafah tersirat dan tersurat banyak dijadikan pedoman dan panduan berguna kepada umat manusia. Pada suatu ketika, ketika ia sedang tidur, Malaikat datang dan bertanya kepadanya adakah ia suka menjadi pembantu Allah di atas muka bumi ini. Ia menjawab, jika sekiranya itu adalah perintah dari Allah, ia akan terima, tetapi jika Allah bertanya pandangan (pilihan), ia lebih suka tidak terpilih kerana ia merupakan suatu tanggungjawab yang berat untuk berlaku adil sesama manusia dan beliau tidak sanggup menanggung beban tersebut.

Ada pula yang mengatakan Lukman adalah seorang tukang kayu Ethiopia yang dikenali oleh orang Greek sebagai Aesop.  Ia seorang yang zuhud, warak, ahli fikir dan ahli ibadat yang patuh kepada suruhan Allah. Ia tidak pernah mengeluh tentang kesulitan atau dugaan Allah walaupun kematian anak-anaknya. Ia tetap redza. Ia juga sering melawat dan bertemu Nabi Daud a.s. membincang atau bertanyakan isu-isu yang sukar untuk mendapatkan penyelesaiannya.

Luqman pernah berkata (menasihati) kepada anaknya:

“Majlis perkahwinan pula akan membangkitkan nafsu berahi dan menjadikan kamu senang dengan kehidupan dunia.”

“Kamu hendaklah berada dalam majlis ulama dan dengarlah kata-kata hukama (orang yang bijaksana). Hal ini kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat seperti Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat. Berkawan dan hampirilah ulama serta duduk dan ziarahilah rumah mereka agar kamu akan menjadi seumpama mereka. Sentiasalah bersama-sama mereka dan tumpangkanlah kebaikan mereka. Kemungkinan besar apabila Allah menurunkan kebaikan kepada mereka, kamu turut merasakan nikmat itu.”

“Sekiranya engkau seorang yang soleh, jauhilah dirimu daripada orang yang buruk budi pekerti dan keras kepala kerana ditakuti apabila diturunkan bala Allah, engkau turut menjadi mangsanya.”

“Janganlah engkau menjadi lemah daripada seekor ayam jantan,ia telah berkokok pada waktu pagi hari, sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.”

“Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang bila-bila masa saja.”

“Dunia ini bagaikan lautan dalam yang mana sudah ramai ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya dan iman pula sebagai air yang menyirami tanaman.”

“Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan iaitu:-

1.   Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah.

2.   Orang yang berani melainkan ketika berperang.

3.   Saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripada mereka.”

”Sesungguhnya dunia ini sedikit saja, sedangkan keseluruhan umurmu lebih sedikit daripada itu. Sementara, umurmu yang masih lagi berbaki amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.”

“Tanda-tanda seorang pendengki itu ada tiga iaitu:-

1.   Mengumpat kawannya apabila ketiadaan kawan mereka.

2.   Memuji-muji kawannya apabila berada bersama mereka.

3.   Gembira jika kawannya ditimpa bala.”

No comments:

Post a Comment