Sunday, August 5, 2012

54.0 Tinggal Kenangan - 31 Julai 1989 (Sabtu)

 Shaikh Ahmad bin Obaid bin Said bin Ahmad Said bin Audz bin Ali Baladram 

Pada hari Sabtu, 31 Julai 1989 bersamaan 28 Zulhijjah 1409, jam 5.30 petang, walidku Shaikh Ahmad bin Obaid bin Said bin Ahmad Said bin Audz bin Ali Baladram kembali ke rahmatullah bertempat di wad kecemasan, Hospital Pulau Pinang kerana serangan jantung. Allah rahmati ruhnya dan ditempatkan bersama ruh para solihin, Amiin.  Kita hak Allah dan kepada Allah dikembalikan.

Masih terbayang, seakan-akan baru berlaku, dua puluh empat jam sebelum itu (flashback), aku mengadakan majlis kesyukuran menyambut hari lahir anak sulung ku, Siti Farah Najwa yang pertama di rumah kami di Minden Height, Penang.  Al-marhum membacakan doa selamat di majlis ini tetapi tidak menjamah makanan kerana demam (kurang sihat) dan berbaring di atas sofa. Anehnya, al-marhum marah-marah dan minta tutup (switch-off) kipas angin siling, katanya aku pasang terlalu laju.  Sebelum ini, di sebelah paginya, aku ke rumah al-marhum (Hilir Pemanchar, Gelugor, Penang).  Al-marhum datang dan duduk di sebelahku sambil tangan kirinya memicit-micit lengan kananku dan seperti biasa tangan kanannya menggaru-garu rambut. Kemudian, beliau meminta aku memotong kuku kakinya kerana ia sudah tak nampak. Aku berkata, "iiiiii .... kuku anak sendiri pun tak berani nak potong" (maksudnya aku tak gamak memotong kuku orang lain selain kuku sendiri takut termakan isi dan tak pernah melakukannya). Al-marhum memerhati kepadaku dengan satu pandangan yang tajam, Kemudian, kakakku Siti Mariam datang memotong kuku kakinya. Petangnya, aku pergi ambil al-marhum dan di dalam kereta beliau berkata, "walid pun nak hidup tak lama dah ..... " aku jadi tergamam tidak berkata apa-apa walaupun di dalam hati berkata "Allah memanjangkan usianya" dan menangis dalam hati kiranya apa yang dikatakan menjadi kenyataan.  Allah lebih mengasihinya.

Ya Allah, ampuni dan kasihanilah kedua ibubapaku sepertimana mereka mengasihani aku semasa aku kecil. Luaskanlah kuburan mereka, peliharalah mereka di alam barzah dan hiasilah kuburan mereka dengan wangi-wangian dari taman syurga Mu, ya Allah. Amiin Yaa Rabbal'aalamiin.


Al-Marhum bersama Siti Farah Najwa pada 24/12/1988

Al-Marhum bersama Siti Farah Najwa pada 13 Julai 1989 ketika 
sambutan Aidil Adha yang terakhir.


Al-marhum membaca khotbah Aidil Fitri di surau Kampung Rawa, Pulau Pinang (semasa hidupnya, al-marhum memegang jawatan Imam, Masjid Kling (Mazhab Syafie), guru di Sekolah Al-Mashoor, Balik Pulau dan Lebuh Teck Soon (Penang Road) dan Naib Qadzi, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang).

Bertugas sebagai Naib Qadzi atau Pendaftar Nikah Cerai, DTL, Pulau Pinang


Al-Marhum bergiat aktif sebagai Pengerusi/Ahli UMNO Jalan Patani, Penang






Jenazah Al-marhum disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Perak, Penang pada 1 Ogos 1989 bersama ahli keluarga Baladram yang telah kembali ke rahmatullah








No comments:

Post a Comment