Tuesday, November 6, 2012

71.0 Tok Siak tak resmi

Foto hiasan - Tukang kebun @ gardener

Foto hiasan - Tukang kebun @ gardener 

Foto hiasan - Tukang kebun @ gardener 

Foto hiasan - Tukang kebun @ gardener 

Foto hiasan - Tukang kebun @ gardener  

Mereka (tukang kebun) bertugas bukan semata-mata  mengharapkan gaji untuk membela keluarga tetapi perkhidmatan mereka adalah terpuji kerana menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan dunia.

 Surau Ar-Rayyan, Bertam Lakehomes, Kepala Batas, Pulau Pinang


Pengalaman menjadi siak surau tak resmi

Untuk menguji keimanan kita dan mengharapkan keredzaan, pahala dan keampunan Allah s.w.t., saya cadangkan kita melantik diri kita menjadi tok siak surau atau mesjid secara tidak resmi.  Maksud saya, bila ada kelapangan, hujung minggu ka, pergi exercise di surau atau mesjid sambil melakukan kerja-kerja penyenggaraan dan pencucian yang biasanya dilakukan oleh seorang tok siak i.e. jawatan terendah dalam carta organisasi Jawatankuasa surau atau mesjid. Buatlah kerja seperti menyapu sampah halaman mesjid, kutip taik cicak di atas karpet, menanam pokok-pokok renek menghiasi halaman surau, repair apa-apa yang rosak yang minor sahajalah dan apa sahaja kerja yang berupa kebaikan dan kebajikan.  Besar pahalanya, Insya’allah.  Nak bina sebuah surau malah nak tanggung kos pengubahsuaian pun mungkin kita tak mampu, jadi memadailah mengeluarkan kos peloh sahaja dan fizikal menjadi sihat. Ada juga orang yang "berada" dan bermurah hati menanggung kos bill air surau/mesjid setiap bulan, ganjaran pahalanya besar tapi tidak keluar peloh.
Haaa ..... tu kan dah berpeloh?  peloh tak dijual dan tak boleh dibeli.

Telah menjadi tabiat, kita lebih suka menerima daripada memberi.  Betul tak?  Kalau ke surau ada ceramah, ada di antara kita bertanya “apa menu lepas mengaji?”  Kalau diedarkan kopi O dan sebiji karipap pun menjadi umpatan “awat terok sangat surau ni ....”  Dan mengikut pandangan saya, menerusi pengalaman, jika kita bermusafir dan singgah di mesjid atau surau untuk melepaskan hajat,  majoriti keadaan tandas amat meloyakan dan menyedihkan.  Kenapa jadi begitu?  Kerana lebih ramai yang suka mengguna daripada mencucinya.  Apo nak dikato Jang!  Padahal, Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.  Dalam semua aspek, pendidikan, pembelajaran, pekerjaan, kebersihan, inovasi dan sebagainya, sepatutnya Islam mendahului dan menjadi model tetapi di akhir zaman nampaknya Islam diletakkan di tempat terbawah dan dihina.  Mengapa?  Kerana orang Islam sendiri yang menyebabkannya, jangan salahkan orang lain.  Zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya, Islam agung kerana keislaman dalam diri mereka sukar diganggugugat dan amat kental berbanding kita sekarang ini “ceroi”.   Sekarang ramai yang bercakap nak memperjuangkan nasib orang Islam tapi di kocek atasnya ada rokok buatan kompeni eropah dan negara barat, itu tak pergi ke rumahnya lagi, jika dilihat tandas dalam bilik airnya ........ mungkin mengalahkan public toilet.  Jadi, berhentilah memperjuangkan Islam, jika diri sendiri tidak dapat berjuang melawan hawa nafsu, takut nanti boleh menimbulkan fitnah dan umpatan orang.

Ooooooppppsss ... sori terkeluar topik pulak, bukan apa, kadang-kadang geram.
Berbalik kepada ujian seorang siak, mengapa saya berkata demikian? Berdasarkan pengalaman sendiri, memang keimanan kita diuji.  Bayangkan kita (i.e. saya) seorang pesara Kerajaan dan jawatan terakhir sebagai Pengurus Pemasaran, pakai topi dan pakaian tukang kebun menyapu sampah di halaman surau (semata-mata mengharapkan keampunan Allah dan keselamatan dari api neraka) tiba-tiba disapa oleh beberapa orang pengunjung surau (biasalah .... untuk melepaskan hajat kecil dan besar) dan diajukan soalan-soalan yang membuat kita merasa hina sungguh diri ini.  Masyaa’Allah.  Kadang-kadang rasa nak marah tapi teringat pesanan Rasulullah s.a.w. “Laa taghdzab” (jangan marah!) lalu saya tersenyum dan mengandaikan mereka tidak tahu dan tidak mengenali saya. 

Satu masa, saya disapa oleh seorang luar (pengunjung) dan bertanya “mengapa tidak jadi Pengawal Keselamatan, gaji lagi baik.”   Pernah pula orang bertanya “di sini kontrak sapu sampah di surau berapa kali se hari?” dan pernah juga saya diajukan soalan “baru-baru ini ada temuduga jawatan siak di mesjid baru, tak pergi kah?”   Soalan-soalan yang merimaskan ini tidak saya kisah dan saya menjelaskan kedudukan sebenarnya saya buat ini secara sukarela, mengisi masa lapang, exercise mengeluarkan peluh dan mengharap sedikit ganjaran di akhirat kelak. Kadang-kadang, lebih menyakitkan hati apabila kita sedang menyapu sampah, masuk seorang pengunjung, seolah-olah kita ini tidak wujud (invisible man), ia tidak menegur / menyapa ataupun memberi salam terus ke bilik air surau, apa aku ni tongkoi ka? awat rugi sangat kalau bagi salam kepada seorang penyapu sampah?  

Dalam mesyuarat surau, saya telah dicalunkan jawatan Siak tetapi saya menolak bukan kerana rasa hina tetapi khuatir saya tak dapat melaksanakan amanah dan kerja dengan baik, saya lebih suka keadaan sekarang secara sukarela, tiada tekanan.

Papantanda yang terdapat di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas

Saya paling geram apabila melihat punting rokok dibuang di dalam kawasan surau tetapi bila saya mengimbau kembali sejarah lama saya sebagai perokok yang tegar (3 kotak 20 batang se hari, kena serangan jantung terus berhenti), itulah yang selalu saya lakukan i.e. buang punting rokok merata-rata, begitulah juga bagaimana rasanya seorang penyapu / pemungut sampah.




Akhir kalam, saya menyeru sanak saudara, rakan dan taulan, lakukan sesuatu untuk surau atau mesjid anda, biarpun ia perkara kecil tetapi mungkin ia dapat menyelamatkan kita dari azab api neraka (dengan Allah jua kita berlindung). Jangan asyik menerima sahaja, sesekali jadilah pemberi.  Tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.  Masalahnya, apabila ada jawatan Siak, maka kita menyerahkan segala kerja berkaitan pembersihan dan penyenggaraan kepada Siak yang dilantik. Malah kalau nampak taik cicak pun, kita panggil Siak suruh buang.  Surau atau mesjid adalah milik semua anak qaryah.  Sesungguhnya banyak kerja yang boleh dibuat untuk memperelokkan lagi keadaan fizikal surau/mesjid, antara mau dengan tidak sahaja.  Tidakkah kita terasa malu, kadang-kadang tempat ibadat penganut agama lain lebih bersih dari surau kita?  Kita agama yang benar, yang tinggi dari yang lain tetapi dari aspek kebersihan menduduki tempat yang tercorot!   Oooooooooppppppssssssss ... terlajak lagi, dah tua ni brake pad pun dah hoeh, kata tadi akhir kalam.  Ni betul-betul dah akhir. Wassalam, ampun maaf jika terkasar bahasa.

Kemaskini 2 Mei 2013

Tak habeh lagi, ada sikit tambahan pada 2 Mei 2013 (update). Sebuah cerita yang menyayat hati tetapi benar ....

Cerita seorang ustaz yang pernah menumpang tidur di masjid yang berdekatan dengan rumah Tuan Guru Nik Aziz (TGNA). Sebelum subuh beliau dengar ada orang bersihkan tandas. Kemudian beliau bangun dan pergi jenguk siapa. Alangkah terkejutnya beliau mendapati TGNA sendiri yang sedang mencuci tandas. Dengan perasaan hiba hampir menangis beliau bertanya kenapa Tok Guru yang bersihkan..? Lalu TGNA jawab, "Ini antara cara saya buang ego dalam diri.."

TGNA, spritual leader Malaysia. Kita bagaimana? Masih ego?


Kemaskini 18 Mac 2015

Innaa lillaahi wainnaa ilaihi raaji'uun ......
12 Februari 2015, 10:40 malam (malam Jumaat) di rumahnya Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan, Tuan Guru Datok Nik Aziz bin Nik Mat, 84 tahun telah kembali ke rahmatullah. Allah rahmati ruhnya dan ditempatkan bersama ruh para solihin, amiin.




Berakhir sudah perjuangan seorang insan dan hamba Allah di muka bumi ini untuk menegakkan agama Islam.  Insya'allah, ramai lagi pengikutnya yang akan meneruskan tugas murni ini. 
...............................................................................................................................................
Terkini ..... kisah benar tok siak tak resmi (sekarang dah resmi, walaupun saya menolak pencalunan saya sebagai Siak, nama dan foto saya masih terpampang di dalam senarai AJK Surau ..... tak upaya mengelak).

Carta Organisasi Surau Ar-Rayyan (foto bawah sekali dan kanan sekali ..... saya)

Siak official?

Ini kisah terbaru ..... suatu hari sedang saya menyapu halaman di depan entrance surau, berhenti sebuah kereta dan dua orang turun dari kereta itu, seorang membawa se gulung permaidani atau sejadah panjang. Tidak seorangpun menoleh kepada saya atau menegur atau memberi salam, seolah-olah saya ini tongkol hidup.  Mereka terus naik ke surau.

Kemudian, datanglah sekuriti / pengawal keselamatan naik berjumpa mereka di atas surau. Pengawal memanggil saya untuk berjumpa mereka kerana semua AJK keluar bekerja.  Sebaik sahaja berjumpa mereka, dengan tersenyum simpul, tersengeh-sengeh dan muka yang manis, mereka pun memberi taklimat tentang sejadah panjang keluaran baru ..... dan memanggil saya "haji". Katanya perkara ini telah dimaklumkan kepada Pengerusi.  Sejadah ini diberi untuk percubaan selama satu minggu. Jika tidak berkenan boleh dikembalikan tanpa kos.  Jika berkenan boleh bayar RM550.00 (atau lebih mengikut panjangnya).  Dia pun menyediakan surat akuan penerimaan barang itu beserta sebutharga untuk saya tandatangani dan serahkan kepada Pengerusi.  Mulanya ia bertanya nama saya, dan menulis di atas surat/resit itu "Haji Shaikh Mahdzar" .... entah kemudian ia memikir sejenak dan membatalkan/menggaris perkataan "Haji" di hadapan nama saya........masih tak yakin tok siak boleh kumpul duit buat kerja haji?

Begitulah halnya di dalam dunia ini.....jika anda "nobody" ....tiada siapa pandang pada anda tetapi jika anda "somebody" atau punyai se kelumit kuasa, anda akan diampu dan disanjung kerana mengharapkan sesuatu dari anda.

Alhamdulillah, Allah sedang mengajar saya!

Sejadah panjang baru.
...............................................................................................................................
Petikan Kuliah Maghrib pada 19/3/2015 di Surau Ar-Rayyan, disampaikan oleh Ustaz Zamri Hashim (Pondok Dehrang, Kedah)

Ustaz menerangkan sebuah hadith sahih yang ringkasnya seperti ini (harap maaf jika lari dari makna sebenar kerana saya tidak sempat salin perkataan demi perkataan).

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. ada seorang wanita berkulit hitam. Ia rajin ke masjid dan mencuci serta membersihkan masjid.  Suatu hari ia meninggal dunia pada waktu malam dan sahabat-sahabat kebumikan ia pada malam itu juga.  Selang beberapa hari, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabat, mana wanita yang selalu membersihkan masjid?  Kata sahabat, ia telah meninggal dunia tiga hari lepas. Rasulullah s.a.w. berkata, kenapa tidak dimaklumkan kepada beliau.  Mereka berkata, mereka tidak mahu mengganggu Rasulullah s.a.w. di waktu malam, lagipun wanita itu cuma menyapu sedikit sahaja dan dia bukanlah orang yang penting. Kata Nabi s.a.w. sesungguhnya kerjanya itu walaupun kecil, ia amat baik dan besar ganjarannya di sisi Allah.  Kemudian Nabi s.a.w. bertanya di mana ia dikebumikan. Sahabat menunjukkan kuburnya. Nabi s.a.w. pergi ke kuburnya dan solat di sisi kubur itu.

Demikian betapa mulianya kerja mencuci rumah Allah.

No comments:

Post a Comment