Thursday, February 28, 2013

113.0 Dari Kacamata Mahdzar (2) - Bahagian 1

1)   TAK KENAL ~ TAK CINTA

MAHDZAR! ENGKAU MEMOHON KEPADA ALLAH AGAR ALLAH MENGAJARI ENGKAU CARA-CARA MENCINTAINYA TETAPI MASAKAN ENGKAU AKAN MENCINTAINYA KALAU ENGKAU TIDAK BERIKHTIAR MENGENALINYA TERLEBIH DAHULU ~ TAK KENAL TAKKAN CINTA TETAPI KALAU SUDAH KENAL MAKA ENGKAU ENGGAN BERPISAH DENGANNYA WALAUPUN SE SAAT MASA ~ ITULAH JALANNYA ORANG-ORANG SUFI YANG BERUSAHA MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH. APABILA ALLAH TELAH MENJADI KEKASIH ENGKAU, ENGKAU AKAN MERASA NIKMATNYA HIDUP YANG SEBENAR BUKAN SEPERTI ORANG KEBANYAKAN YANG CUMA HIDUP UNTUK MAKAN, KAHWIN DAN TIDUR ~ HAIWAN PUN DEMIKIAN JUGA.

BUKAN MUDAH HENDAK MENCAPAI TARAF (MAQAM) TERSEBUT TETAPI INSYA’ALLAH! BERUSAHALAH KE JALAN ITU. KEKASIH, BIASANYA AKAN MELAKUKAN APA SAHAJA YANG DISUKAI OLEH KEKASIHNYA DAN SANGGUP BERENANG DI LAUTAN API (KATA ANAK-ANAK MUDA SEKARANG) DEMI MENCAPAI HAJAT KEKASIH DAN KEKASIH ITU BERUSAHA MENJAUHI SEGALA YANG DIBENCI OLEH KEKASIHNYA. SEORANG KEKASIH YANG SEJATI AKAN BERSIKAP JUJUR DAN SETIAP PERBUATANNYA ADALAH IKHLAS KERANA KEKASIHNYA YANG SATU ITU.

SEKARANG CERMINLAH DIRIMU!!! ADAKAH SETIAP LANGKAHMU IKHLAS KERANA MENGHARAPKAN PERTEMUAN DENGAN KEKASIHMU YANG KAMU YAKIN AKAN ADANYA TETAPI BELUM PERNAH MENATAP WAJAHNYA? ADAKAH PERBUATAN-PERBUATAN MU TELAH MENYEBABKAN KEKASIHMU BENCI ATAU SAYANG KEPADAMU? BAGAIMANAKAH KEADAANMU KIRANYA KEKASIHMU MENJEMPUT ENGKAU MENEMUINYA SEKARANG? APAKAH HADIAH ISTIMEWA YANG AKAN ENGKAU BAWA SEBAGAI TANDA MEMBALAS CINTANYA? BAGAIMANA KELAK JIKA HADIAH ITU DITOLAK KERANA TIADA NILAINYA? SUDAHKAH ENGKAU MEMIKIRKAN MASAK-MASAK SOAL INI?

ENGKAU MENGATAKAN ALLAH AR- RAHMAAN DAN AR-RAHIIM TETAPI SEJAUH MANA RAHMAAN DAN RAHIIM NYA ALLAH ENGKAU TIDAK TAHU. INI BERMAKNA SEOLAH-OLAH ENGKAU TAHU DURIAN ITU SEDAP DAN LUNAK ISINYA KERANA ORANG MEMBERITAHU DEMIKIAN PADAHAL ENGKAU SENDIRI BELUM MERASAINYA. APABILA ENGKAU TIDAK DAPAT MENGGAMBAR-KAN RAHMAAN DAN RAHIIM NYA ALLAH BERMAKNA ENGKAU MASIH BELUM MENGENALINYA SECARA DEKAT CUMA DENGAR KHABARAN SAHAJA.

BEGINIKAH SIKAP SEORANG YANG HIDUP BERKASIH-KASIHAN YANG TAHU TEMANNYA PUNYA NAMA YANG BAIK-BAIK (ASMAA’ ULHUSNAA) TETAPI GAGAL MENIKMATI CINTANYA KERANA TIDAK MENGENALINYA. SUBHAANALLAAH, WALHAMDULILLAAH, KETAHUI DAN INGATLAH SHAIKH! JANGAN ENGKAU BERCITA-CITA INGIN MENYINTAI ALLAH KIRANYA ENGKAU TIDAK TAHU APA YANG ALLAH SUKAI DAN APA YANG ALLAH BENCI. UNTUK MENYINTAI ALLAH, ENGKAU MESTI BERIKHTIAR MEMBUKA HIJAB (DINDING) YANG MEMISAHKAN ENGKAU DENGANNYA. INGATLAH APABILA ENGKAU MEMBUAT MAKSIAT YANG KEJI, HIJAB INI MENJADI SEMAKIN TEBAL DAN KUKUH. ADALAH LEBIH SUKAR HENDAK MEROBOHKANNYA. PERKAKAS-PERKAKAS YANG LEBIH CEKAP DAN LEBIH KEKUATANNYA HARUS DICARI.

SUCIKAN DIRIMU DAHULU ~ LAHIR DAN BATIN, BAHARULAH MENGADAP KEKASIHMU.

INSYAA'ALLAAH
12.08 a.m. 2/9/1979

2)   BANGLO SI LABAH-LABAH


INI ADALAH GAMBARAN SEBUAH “BANGLO” SANG LABAH-LABAH. IA MEMBUAT RUMAH DI MANA-MANA SAHAJA ASALKAN DAPAT MENJERAT MANGSA UNTUK SANTAPANNYA. BAHAN BINAANNYA DIPEROLEHI DARI DIRINYA SENDIRI - TIDAKKAH AJAIB? TAK PAYAH KELUAR MODAL IMPOT ATAU KELUAR BERJALAN MENCARI BAHAN LAIN. KALAU ROBOH ATAU ROSAK, BOLEH DI-REPAIR ATAU BINA YANG BAHARU.

INILAH DI ANTARA TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH. SEDIKIT SANGAT ORANG YANG MEMIKIRKANNYA. ALLAH TELAH MEMBUAT PERUMPAMAAN “ORANG-ORANG KAFIR MEMBINA RUMAH SEPERTI RUMAH LABAH-LABAH” (RUJUK SURAH AL-‘ANKABUUT). FIKIRLAH DALAM-DALAM PERUMPAMAAN INI.
12.39 a.m. 2/9/1979

3)   UNTA!


INI IALAH GAMBAR FOTO SEEKOR UNTA ATAU “CAMEL” ATAU “JAMALUN”. APAKAH ISTIMEWANYA UNTA SEHINGGA ALLAH BERTANYA; “TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT BAGAIMANA UNTA ITU DIJADIKAN” (PETIKAN MAKSUD AL-QUR’AN) DAN LAGI DIBERI PERUMPAMAAN; “ORANG-ORANG KAFIR AKAN MASUK KE SYURGA APABILA UNTA MASUK KE LUBANG JARUM” (PETIKAN MAKSUD AL-QUR’AN).

PERCAYAKAH ENGKAU, JIKA UNTA MENJIJAK SE BUTIR TELUR TETAPI TELUR TIDAK PECAH? UNTA MEMPUNYAI TANGKI AIR DAN MAKANAN DAN BOLEH MENGEMBARA LEBIH JAUH DARI SE EKOR KUDA? SETIAP ANGGOTA UNTA BERFAEDAH KEPADA MANUSIA TETAPI MANUSIA TIDAK MAHU BERUSAHA MENGAMBIL FAEDAH DARIPADANYA.

SATU LAGI, WAJAH UNTA SENTIASA SENYUM WALAUPUN BERAT TANGGUNGAN DI BELAKANGNYA. UNTA JUGA MEMINATI LAGU-LAGU ARAB (BADWI) DAN PANDAI MENARI DAN BANYAK LAGI KELEBIHANNYA. ITULAH KEBESARAN ALLAH.
11.11 p.m. 2/9/1979
4)   KELEBIHAN YANG SENI

Foto dipetik dari: http://www.alexanderwild.com/Ants/

ENGKAU TAHU SEMUT MAKAN TETAPI PERNAHKAH ENGKAU MELIHAT NAJISNYA? SEMUT PUNYA TENTERA SENDIRI. SEMUT ADALAH DI ANTARA SERANGGA-SERANGGA YANG TERSEBUT DI DALAM AL-QUR’AN (AN-NAML). KELEBIHAN NABI ALLAH SULAIMAN A.S. IALAH MEMAHAMI PERTUTURAN HAIWAN HINGGAKAN MENDENGAR PERCAKAPAN SANG SEMUT. ADAKAH DI DALAM DUNIA SEKARANG ORANG YANG BERKUASA HINGGA DEMIKIAN?

SEMUT ADALAH DI ANTARA SERANGGA YANG BIJAK MEMBUAT RUMAH DAN BERMASYARAKAT. TAHUKAH ENGKAU BETAPA KECILNYA OTAK SEMUT BERBANDING OTAK MANUSIA? SEMUT YANG BERJALAN DI DINDING MENGIKUT JALAN “NETWORK” YANG TERTENTU DAN APABILA BERTEMU DENGAN MEMBER, MEREKA BERHENTI SE SAAT DAN KEMUDIAN MENERUSKAN PERJALANAN ~ MUNGKIN BERTANYA KHABAR! WALLAAHU WA'ALAM . TETAPI TIDAK PERNAH AKU LIHAT SEMUT BERLAWAN. ITULAH DI-ANTARA AYAT-AYAT TUHAN YANG TIDAK BERTULIS.

11.25 p.m. 2/9/1979

5)   AKITEK BURUNG

Foto oleh: http://animhosnan.blogspot.com/2011/11/sarang-burung-tempua.html

ANTARA “AKITEK-AKITEK” HAIWAN YANG PINTAR IALAH BURUNG (MUNGKIN BURUNG CAK RUMAH ATAU TAMPUA) YANG MEMBINA SARANG DI DEDAUN POKOK KELAPA.

ALLAH MAHA BIJAK LAGI MAHA SENI PERBUATANNYA. DIJADI-KAN BERBAGAI-BAGAI KEJADIAN YANG ANIH DAN PELIK-PELIK SUPAYA MANUSIA YANG BERAKAL (DAN LENGKAP PANCA-INDERA) MEMERHATI, MEMIKIR DAN MENGAMBIL PELAJARAN DARIPADANYA, BUKAN SEKADAR MELIHAT DENGAN BIJI MATA. AKHIR SEKALI, KEANIHAN ITU MEMBAWA KEPADA “SEGALA PUJI-PUJIAN BAGI ALLAH” DAN MENGESAKAN ALLAH. ALLAH TIDAK SUKA KEPADA HAMBA-HAMBANYA YANG JAHIL DAN DUNGU.
11.37 p.m. 2/9/1979

6)   T.V. = WAYANG

SHAIKH! BUKANLAH NAMANYA BERTAQWA JIKA ENGKAU MENEGAH ORANG MENONTON WAYANG DI PANGGUNG DAN ENGKAU MENONTON T.V. DI RUMAH, APA BEZANYA?

MEMANG BENAR ADA RANCANGAN-RANCANGAN DI DALAM T.V. YANG BOLEH MEMBAWA ENGKAU MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH DAN MEMUJI KEKUASAANNYA. MISALNYA ENGKAU MENONTON RENCANA “PENGEMBARAAN DI DASAR LAUTAN”; ENGKAU AKAN KAGUM DENGAN KEBESARAN ALLAH MENTADBIR ALAM LAUTAN DAN TIDAK PAYAH ENGKAU SENDIRI MENYELAM DENGAN TABUNG OKSIGEN DI BELAKANG.

SUBHAANALLAAH, WALHAMDULILLAAH

LIHATLAH SIRI-SIRI FICTION ATAU SAINS SEPERTI PEMBEDAHAN ORGAN MANUSIA, MENGEMBARA DI RUANG ANGKASA DAN LAIN-LAIN AGAR ENGKAU MENDAPAT ILMU DAN HIDAYAT DARI ALLAH. JANGAN TONTON FILEM-FILEM YANG TIDAK MEMBERI FAEDAH DI DUNIA DAN AKHIRAT.
11.47p.m. 2/9/1979
7) IJAZAH DUNIA BAWA KE AKHIRAT?


SHAIKH! PERNAHKAH ENGKAU DUDUK SEBENTAR DAN BERTANYA KEPADA DIRIMU:-

1.     APAKAH TUJUAN UTAMA ENGKAU BERTUNGKUS LUMUS BELAJAR ~ SIANG MALAM? ADAKAH SEKADAR MENDAPAT IJAZAH B.SC (ARCHITECTURE)?
2.     APAKAH DENGAN IJAZAH ITU HIDUP ENGKAU DI DUNIA DAN AKHIRAT AKAN TERJAMIN?
3.     ADAKAH APA YANG ENGKAU PELAJARI SEKARANG (SAMADA ILMU DUNIA ATAU AGAMA) TELAH MEMBAWA ENGKAU LEBIH HAMPIR KEPADA ALLAH ATAU LEBIH JAUH LAGI?
4.     SUDAHKAH ENGKAU PUNYA CITA-CITA SELEPAS BEROLEH B.SC? JIKA SUDAH PUNYA, ADAKAH CITA-CITA ITU MEMBAWA KEPADA KEREDZAAN ALLAH ATAU SEBALIKNYA KEMURKAAN ALLAH?
5.     JIKA ENGKAU BERGAJI BESAR, SUDAHKAH ENGKAU MEMBUAT “BUDGET” DI ATAS SETIAP SEN YANG ENGKAU TERIMA? ADAKAH BUDGET ITU MEMBAWA KEBAIKAN DI AKHIRAT KELAK?
JADI JAWABLAH SENDIRI SOALAN-SOALAN DI ATAS.
11.57p.m. 2/9/1979
8) NOSTALGIA

NOSTALGIA

RUN FOR YOUR LIFE
 
9) DUKACITA KERANA LEMAH?

SHAIKH! JANGANLAH BERSEDIH ATAU BERDUKACITA APABILA KETARA PADA DIRIMU BEBERAPA KELEMAHAN BERBANDING DENGAN SAHABAT-SAHABAT ATAU KELUARGAMU. ENGKAU SEPATUTNYA BERSYUKUR DI ATAS KELEBIHAN NIKMAT YANG ALLAH LIMPAHKAN KE ATASMU TANPA HITUNGAN LAGI BERBANDING DENGAN GOLONGAN DI BAWAH DARIPADA KEDUDUKANMU. JIKA ENGKAU BERSYUKUR, ALLAH AKAN MENAMBAH LAGI NIKMAT KE ATASMU …. TETAPI JIKA ENGKAU KUFUR, SESUNGGUHNYA AZAB ALLAH ADALAH PEDIH!
12.42 a.m. 18/10/1979


10) DUKACITA LAGI!!

SHAIKH! AKU TAHU ENGKAU RASA KECEWA BERSEDIH APABILA PENCAPAIANMU DI DALAM PELAJARAN KURANG MEMUASKAN DAN GEMBIRA BILA ENGKAU BERJAYA. APA YANG PATUT ENGKAU SEDIHKAN IALAH APABILA ENGKAU GAGAL MELAKUKAN SESUATU YANG MEMBUKTIKAN ENGKAU SEORANG HAMBA ALLAH YANG TAAT 100% AKAN PERINTAH ALLAH. APA YANG ENGKAU PATUT BERSUKACITA IALAH APABILA ENGKAU BERJAYA MENDIRIKAN SOLAT FARDHU YANG LIMA PADA AWAL WAKTU MASUKNYA.

INGATLAH, SEMPURNA SEGALA KEBAJIKAN ITU ADALAH DENGAN NIKMAT ALLAH.

“SEGALA PUJI BAGI ALLAH DI DALAM SEGALA HAL” - INI YANG PATUT ENGKAU UCAPKAN APABILA ENGKAU MENDERITAI SESUATU YANG MENIMPA DIRIMU ~ HASIL PERBUATAN DARI DIRIMU SENDIRI. ALLAH TIDAK MENZALIMI MU, TETAPI ENGKAU YANG MENZALIMI DIRIMU SENDIRI
12.53 a.m. KHAMIS 18/10/1979

11)   MEMBAZIR MEMBER IBLIS L.A.

MEMBAZIR! MEMBAZIR! MEMBAZIR!!

ORANG YANG MELAKUKAN SESUATU YANG TIDAK MEMBERI FAEDAH DI AKHIRAT KELAK NAMANYA MEMBAZIR. ORANG YANG MEMBAZIR ADALAH SAHABAT SYAITAN YANG KENA LAKNAT DARI ALLAH. MAHUKAH ENGKAU BERSAHABAT DENGAN ORANG YANG KENA LAKNAT ALLAH?

MAKA …………. STOP SMOKING NOW!!
12.57 a.m. KHAMIS 18/10/1979

12)   UKUR JARAK ALLAH - INSAN?

SHAIKH! ENGKAU BOLEH MENGUKUR JARAKNYA ENGKAU DENGAN TUHAN, ALLAH YANG ESA, DENGAN RADAS YANG DINAMAKAN AKAL. AKAL ITU ENGKAU GUNAKAN UNTUK MENILAI TANGGAPAN PERBUATAN YANG TELAH, SEDANG DAN AKAN DILAKUKAN.

TELITIKAN SENDIRI PERBUATANMU DENGAN MEMOHON HIDAYAT DAN ILMU DARI ALLAH.

JIKA SATU PERBUATAN YANG TERLARANG (YANG TIDAK DISUKAI ALLAH DAN TIDAK ELOK PADA PANDANGAN ORANG RAMAI) DILAKUKAN DAN ENGKAU MENGANGGAP PERKARA ITU PERKARA BIASA, WALAUPUN DOSA KECIL DAN KERING YANG BOLEH DIKIKIS DENGAN WUDHU, ITU BERMAKNA ENGKAU MASIH JAUH DARI ALLAH. JIKA ENGKAU LAKUKAN JUGA, KEMUDIAN ENGKAU INSAF DAN SEDAR AKAN APA YANG ENGKAU LAKUKAN SERTA MENANGIS KERANA PENYESALAN, ITU BERMAKNA ENGKAU TELAH MENGHAMPIRKAN DIRI KEPADA ALLAH. BAGAI-MANA KEDUDUKAN ENGKAU SEKARANG?
8.41 p.m.; RABU 24/10/1979


13)   KELUARGA PINCANG

PERINGATAN KEPADA IBUBAPA.

SHAIKH! ENGKAU MUNGKIN AKAN MENJADI BAPA DAN BOSS DALAM RUMAHTANGGA. ELAKKAN PERTENGKARAN SUAMI ISTERI, LEBIH-LEBIH LAGI DI HADAPAN ANAK-ANAK. ENGKAU TIDAK TAHU BETAPA BAHAGIANYA RUHANI ANAK-ANAK APABILA MELIHAT SUASANA HARMONI IBUBAPANYA ~ IBUBAPA YANG SENTIASA BERBINCANG DENGAN AMAN MENGATASI SEBARANG MASALAH YANG TIMBUL. ENGKAU JUGA TIDAK TAHU BAGAIMANA BERKECAMUKNYA PERASAAN DAN RUHANI SI ANAK APABILA MELIHAT PERTENGKARAN LIDAH SENTIASA BERLAKU DENGAN SEBAB MASALAH YANG KECIL.

INGATLAH! BUKAN WANG RINGGIT MENJAMIN KESEJAHTERAAN RUMAHTANGGA TETAPI PERSEFAHAMAN …. TOLAK ANSUR … RASA TANGGUNGJAWAB … TIDAK CUAI DAN SALING KASIH MENGASIHANI DENGAN MENGHARAP KEREDZAAN DARI ALLAH ‘AZZA WAJALLA. JALAN MANA YANG AKAN KAU PILIH?

(TAMAT EXAM SEM. I, 79/80 TH. 3) 8.53 p.m.; RABU 24/10/1979

14)   MAHU DISAYANGI?! 

BUATLAH APA SAHAJA ASALKAN ENGKAU DISUKAI DAN DISAYANGI SELAMA IA TIDAK MEMBATASI HAD YANG TELAH DITETAPKAN ALLAH.

8.56 p.m.; RABU 24/10/1979

15)   TAKBIR BERGEMA

BERGEMA TAKBIR
MEMBESARKAN ENGKAU
OLEH INSAN-INSAN YANG BERSUARA
YANG LEMAH
YANG MEMOHON REDZA ENGKAU

ISLAMMU TIDAKKAN HAPUS
DALAM APA ZAMAN SEKALIPUN
ISLAMMU KEBENARAN
KEBENARAN TERUS HIDUP
KEBATILAN PASTI HAPUS BINASA
DALAM APA ZAMAN PUN!!

ENGKAU MENGETAHUI
ENGKAULAH HAKIM SE ADIL-ADILNYA.

(MALAM AIDIL ADHA 1399H) 11.16 p.m.; SELASA 30/10/1979


16)   “AIM” DAN “TARGET” HIDUP

KETAHUILAH SHAIKH YANG DHAIF!

SETIAP MAKHLUK DI ATAS MUKA BUMI INI PUNYA MATLAMAT- NYA (AIM) SENDIRI DAN IA AKAN BERMATI-MATIAN UNTUK MENCAPAI MATLAMATNYA ITU; BIARPUN MASYARAKAT DI MASANYA MENGATAKAN IA “GILA” - TETAPI AKHIRNYA IA BERJAYA MENGUBAHKAN SESUATU KERANA KEGILAANNYA ITU. ALBERT EINSTEIN (SAINTIS AMERIKA) DAN GURUNYA PASCAL JUGA MENGAPAT TITLE “GILA” KERANA USAHANYA MEMBUKTIKAN E = mc². NABI MUHAMMAD S.A.W. JUGA MENDAPAT TITLE ITU KERANA HENDAK MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN YANG HAK SESAMA MANUSIA DI ATAS MUKA BUMI YANG PENUH MAKSIAT. HASILNYA IALAH KEJAYAAN YANG CEMERLANG DAN BERJAYA MEMBAWA CAHAYA KEPADA KEGELAPAN DUNIA. ISLAM TERUS BERSINAR HAMPIR 15 KURUN.

JADI SHAIKH! APAKAH MATLAMAT KEHIDUPAN ENGKAU? ADAKAH SEKADAR MENGEJAR APA YANG DIMILIKI OLEH ORANG-ORANG KAFIR YANG MEWAH? ADAKAH SEHINGGA MATI-MATIAN ENGKAU PERJUANGKANNYA? ADAKAH ALLAH REDZA DENGAN “AIM” ITU? ENGKAU TELAH BERIKRAR SETIAP KALI BERSEMBAHYANG BAHAWA “HIDUPKU, MATIKU, PERBUATANKU ADALAH KERANA ALLAH SEMATA-MATA” ~ SEJAUH MANA ENGKAU MEMEGANG IKRAR ITU? BAGAIMANA KALAU ORANG MENGATAKAN ENGKAU “GILA”? ADAKAH KAU AKAN TERUSKAN JUGA ATAU BERHENTI KERANA MALU?

SHAIKH! SELAGI APA YANG ENGKAU LAKUKAN MENGHARAP KEREDZAAN ALLAH DAN TIDAK KONTRA DENGAN SYARAK MAKA TERUSKANLAH!!

(MALAM AIDIL ADHA 1399H) 11.33 p.m.; SELASA 30/10/1979


17)   TAKBIR HARI RAYA

(NOTA: DITULIS DI DALAM TULISAN ARAB, TAK DAPAT DITAIP)

(MALAM AIDIL ADHA 1399H) 11.16 p.m.; SELASA 30/10/1979

18) MELIHAT WANITA DAN IBLIS

Ingatlah Shaikh! Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang daripada kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya”.

Tanyailah dirimu sendiri;

1. apa makna melihat yang dikehendakinya?

2. apakah tujuan sebenar engkau melihat?

Awas semasa melihat kerana iblis yang kena laknat Allah telah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w.: “apabila bertemu antara lelaki dengan perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan muda itu, hamba hias mukanya dengan jeling dan senyum yang menarik hati …. pinggang, punggung yang bergerak-gerak membangkitkan nafsu baginya … hamba hiaskan dadanya dengan bergerak-gerak kedua kuntum yang melekap pada dadanya lalu hamba panah berbetulan pada jantung hati keduanya … hingga bergerak keinginan nafsu syahwatnya. Bermula orang yang tiada pelihara hatinya nescaya tiadalah terpelihara ia akan farajnya (kemaluan) maka seterusnya tidak akan terpelihara imannya …..”.

SHAIKH! AWASLAH! API JANGAN DILETAK DEKAT MINYAK. ULAMAK PUN BOLEH TEWAS APABILA DIUJI DENGAN PEREMPUAN, MOHONLAH PERLINDUNGAN DARI ALLAH DAN SENTIASALAH BERISTIGHFAR DAN BERTAUBAT.

2.03 a.m. JUMAAT 2/11/1979

19)   PANDANG RENDAH KEPADA SAHABAT

Shaikh! Di dalam pergaulanmu dengan sahabat karibmu ataupun sahabat biasa, jangan sama sekali engkau memandang sahabat itu lebih rendah dari kedudukanmu kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “memadailah seseorang itu dikatakan jahat, bila ia memandang rendah terhadap saudara lainnya yang Muslim”.
2.22 a.m. JUMAAT 2/11/1979

20)   MENUTUP RAHSIA SAUDARA

Ingatlah Shaikh! Setiap Muslim itu bersaudara - tak kira apa peringkat kehidupan, apa pekerjaan dan apa pangkat yang diperolehinya. Adalah satu kewajipanmu menutup sebarang rahsianya dan jauhkan buruk sangka di antara sesama saudara. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah lebih dahulu memberi peringatan di dalam Hadithnya yang bermaksud: “barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat”.
12.07 p.m. JUMAAT 2/11/1979

21)   TAWADHUK MENCARI ILMU
(NOTA: Ditulis di dalam tulisan Jawi)

Shaikh! Di dalam kehidupan yang singkat ini dan pergaulan dengan sahabat, janganlah engkau memandang seseorang dengan pandangan ia lebih rendah daripada kamu walaupun dari segi umur dan kedudukan dirinya.

Di dalam usahamu mencari ilmu demi mengharap keredzaan Allah, hendaklah engkau bersikap merendah diri kerana sikap ini akan membuahkan hasil yang manis dan lunak dirasa.

Ketahuilah! Ilmu akan datang dari punca yang tidak diduga sama seperti rezeki juga. Pohonlah pertunjuk dari Allah akan ilmu yang men-datangkan munafaat di dunia dan akhirat.
8.39 p.m. JUMAAT 2/11/1979

22)   CARI ILMU = CARI KEBENARAN

Shaikh! Di dalam usahamu seharian untuk menegakkan kebenaran di dalam dirimu dan juga masyarakat sekeliling, pertama sekali engkau harus punya ilmu. Ingatlah! Ilmu tidak akan datang dari langit dan melutut di hadapanmu. Engkau harus berusaha mencari dengan mengorbankan segala-galanya i.e. masa, wang dan tenaga. Kedua, engkau akan menghadapi berbagai-bagai dugaan dan ujian yang telah menjadi fitrah Allah. Allah telah berfirman yang bermaksud: “Adakah kamu akan dibiarkan berkata telah beriman tanpa diuji?” Ketiga, engkau harus menghadapi ujian dari masyarakat dengan hikmah. Gunakanlah saikologi dan bijaksana percakapan jangan sampai meletus perbalahan atau bertegang urat leher.Tali silaturrahiim jangan diputuskan walaupun engkau menegakkan kebenaran. Buatlah pilihan samada mendiamkan diri atau tinggalkan tempat itu tanpa menyakitkan hati sesiapa juga. Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.

7.00 p.m. SABTU 3/11/1979

23)   TAMAK DIBOLEHKAN?

Shaikh! Aku tahu engkau tamakkan ilmu dan engkau sanggup korbankan masa dan wang kerana ilmu. Tetapi aku nak tanya satu perkara mungkin lebih:

1. adakah engkau mengamalkan apa yang engkau tuntut? Dan bertaubat apabila mengetahui selama ini engkau jahil?

2. adakah dengan bertambah ilmu dalam diri engkau itu membawa bertambahnya bimbingan ke dalam hati engkau? Kerana jika setakat bertambah ilmu di dalam diri tidak di dalam hati, ini bermakna engkau semakin jauh dari Allah bukan semakin hampir (mengikut hadith Rasulullah s.a.w.). Tuntutlah apa sahaja ilmu samada keduniaan atau akhirat yang akhirnya membawa engkau bertaqwa, bersyukur dan mengabdikan diri kepada Allah Rabbul‘aalamiin. Janganlah tuntut ilmu yang membimbing engkau kepada menggemukkan iblis dan syaitan yang terkutuk.
2.44 p.m. SELASA 6/11/1979

24)   BERKHALWAT DI ZAMAN MODEN

Shaikh! Selalulah berkhalwat dan bermunajat agar Allah tidak memaling kan diriNya darimu. Ketika bermunajat pohonlah:

(Nota: ditulis di dalam tulisan Jawi)

Ya Tuhanku! Dunia telah menggoda aku. Ya Tuhanku! Hanya kepada Engkau tempat pulang kembali. Engkaulah Tuhanku yang memegang ubun-ubunku. Engkaulah Tuhanku dan Penghuluku, mohon jangan sampai Engkau serahkan aku untuk menyembah Engkau kepada diriku sendiri. Ya Tuhanku, mohon jangan Engkau goda diriku sebagaimana yang telah menggoda akan orang ramai.

3.19 p.m. SELASA 6/11/1979

25)   SAUDAGAR SHAIKH

Shaikh! Inginkah engkau menjadi seorang saudagar yang paling beruntung?

Saudagar yang selalu beruntung ialah yang bijak, yang selalunya sebelum menutup usaha perniagaan harian, ia mengira balik untung atau ruginya pada hari itu. Jika untung, ia akan berusaha mengekalkan usahanya dengan cara tersebut dan jika rugi, ia akan mencari-cari sebab atau faktor yang menyebabkan kerugiannya pada hari itu dari modal yang telah dikeluarkan. Samalah dengan perniagaan bagi hari akhirat.

Cuba amalkan sebelum menutup mata; bayangkan apa yang telah engkau lakukan sejak mata engkau terbuka pada pagi tadi sehingga ketika ini. Adakah engkau peroleh untung atau rugi atau bankrup terus pada hari ini, setelah ditolak campur perbuatan lahir dan batin. Jika beruntung, berusahalah untuk keuntungan yang lebih besar pada besok hari, Insya’allah jika dipanjangkan umur. Jika engkau rugi besar, bertaubatlah segera dan berazam tidak akan mengulangi lagi kerugian itu. Modal engkau meliputi zahir iaitu anggota badan termasuk panca-indera dan batinnya termasuk hati, akal dan perbuatan yang tidak di-ketahui orang. Tetapi ingat! Engkau tidak akan terlepas dari penglihatan Allah.

Oleh itu Shaikh, jadilah seorang saudagar yang bijak dan sentiasa beruntung besar bukan rugi atau bankrup terus. “Ikhlas” adalah punca kejayaan di dalam sebarang perniagaan.
12.05 a.m. RABU 7/11/1979

26)   TANDA KELAKIAN

Shaikh! Ingatlah pesanan al-Imam Ghazali (ahli tasawuf/sufi):-

“ILMU ITU IALAH BUAH IBADAT DAN IBADAT ITULAH HASIL SEGALA DAGANGAN SEGALA WALI-WALI; IBADAT JUGA QASAD ORANG-ORANG YANG BERHAJAT TINGGI ~ JUGA TANDA KELAKIAN SESEORANG ~ TANDA ORANG YANG BERKEDUDUKAN ELOK DI AKHIRAT”

WALLAAHU WA'ALAM
12.20 p.m. RABU 7/11/1979

27)   SELIDIK DIRI SENDIRI

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“BAHAGIALAH bagi orang yang menyelidiki di mana kesalahan dirinya sendiri dan tidak dia sibok mengkaji kesalahan yang terdapat pada orang lain”.

Rasulullah s.a.w. telah menemui Allah dan meninggalkan umatnya menjalankan seruan kebenaran. Tidak ditinggalkan harta pesaka yang menjadi sanjungan ahli sejarah tetapi ditinggalkan Al-Qur’an dan hadith supaya umatnya tidak sesat.
3.24 p.m. RABU 7/11/1979

28)   BUAT BAIK PADA YANG BUAT JAHAT?

Di dalam sebuah atsar disebutkan (yang bermaksud):-

“TANDA KEWARASAN PEMIKIRAN SESUDAH MENJALANKAN PERKARA-PERKARA AGAMA IALAH MENCINTAI SEMUA MANUSIA DAN BERBUAT BAIK KEPADA SEKELIAN YANG BAIK DAN YANG JAHAT”.

Petikan Hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Takutilah api neraka itu walaupun dengan bersedekah setengah biji korma. Kalau tak ada yang hendak disedekahkan, maka dengan ucapan yang baik”.
8.01 p.m. RABU 7/11/1979

29)   BENDA BERMUTU, SUSAH DICAPAI

Shaikh! Jika di dalam usahamu mencari dan menegakkan keadilan dan kebenaran, timbullah di hadapanmu ujian dan berbagai rintangan maka janganlah engkau hiraukan. Kebenaran sukar ditegakkan tetapi buahnya manis lazat.

Al-Imam Ghazali (ahli tasawuf/sufi) pernah berkata:-

“MANAKALA YANG DICARI ITU BERMUTU TINGGI SERTA MULIA, AKAN SUSAH MENCAPAINYA, PANJANG JALANNYA DAN BANYAK AKIBATNYA!!”

3.32 p.m. KHAMIS 8/11/1979

30)   TIGA JENIS NAFSU

Shaikh! Telitikan jiwamu dan hukumkan sendiri, apa jenis nafsu yang terdapat pada dirimu sendiri. Adakah NAFSU AMARAH, i.e. yang condong kepada keperluan badan (jasad) di mana jiwa telah ter-pengaruh oleh kelazatan, syahwat dan menyeret hati ke dalam lembah kehinaan ~ ia juga sumber kepada perbuatan-perbuatan tercela. Atau engkau milik NAFSU LAUWAMAH, i.e. jiwa yang menerangi lubuk hati, sekali ia menimbulkan kekuatan yang bijaksana, pada masa yang lain ia menciptakan keinginan berbuat maksiat, dalam hal mana ia menyesal dan menyedari kesilapan dirinya. Maka ia merupakan sumber penyesalan atau menggerakkan hawa nafsu, salah sangka dan kepicikan. Ataupun engkau memiliki NAFSU MUTMA’INNAH i.e. jiwa yang menerangi hati dengan cahayanya yang murni dan terang benderang, sehingga hati itu terlepas dari segala sifat-sifat yang tercela dan dapat bertahan pada tingkat kesempurnaannya. Apabila keadaan ini mengekal, maka keseluruhan badannya pun akan terbawa kepada kebenaran. Memadailah mengenali tiga dari tujuh jenis nafsu ini kerana manusia seperti engkau mempunyai nafsu di sekitar yang tiga ini.

INGATLAH! Perpindahan diri dari satu tingkat jiwa ke tingkat jiwa yang lain bukanlah satu pekerjaan yang mudah, tetapi harus dicapai melalui “maqamat” dan “ihwal” yang terdapat di dalam thorikat-thorikat, latihan atau riadhahnya. Maka lakukanlah dengan tabah, tekun dan sabar serta berserah diri kepada Allah. Insya’allah! akan dibuka Allah jalan yang buntu itu.
4.14 p.m. SABTU 10/11/1979

31)   CITA-CITA

CITA-CITA KU ….
INSYA’ALLAH! JUN 1981
B.SC (ARCHITECTURE)

MEMADAILAH ALLAH BAGIKU DAN DIALAH SEBAIK-BAIK PEMELIHARA.

(DARI LUKISAN ASAL BERTARIKH 21 JUN 1979)
4.14 p.m. SABTU 10/11/1979


32)   SAJAK - KAU YANG BELUM KU TEMU
UNTUK
KAU YANG BELUM KU TEMU ….

(DARI ALLAH KITA DATANG, KEPADANYA KITA DIKEMBALIKAN)

DALAM GEMA TAKBIR
MEMUJI KEBESARAN ILAHI
KAU PERGI ….
MENEMUI ILAHI …
TAK AKAN KEMBALI
KEPADA KAMI DI BUMI INI!

TINGGALLAH KAMI ….
KAKU SEKETIKA
MENERUSKAN HIDUP DI SISA-SISA BUMI
DENGAN GELOMBANG
DAN DETIK NADI
…… SEBELUM DIJEMPUT ILAHI!

KAU BELUM KU TEMU
NAMUN KU KENAL DIRIMU
KAU PUNYA BUDI YANG LUHUR
DAN AMALAN YANG TAK LUNTUR
DAN KU SANJUNGI

TAPI ….
TERLALU AWAL KAU PERGI
DEMIKIAN KEHENDAK ILAHI!!

KAU PERGI
KAMI TETAP TABAH … SABAR …
MENEMPUH DETIK HARI
MENJIJAK DEDURI BUMI
APA BESOK ADA MENTARI
… UNTUK KAMI KECAPI?
… TAKBIR BERGEMA TERUS …
SAYU DI SANUBARI.

(Mengenangkan Allahyarham Mat Sah (bakal bapa mertua) yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Oktober 1979)
SABTU 10/11/1979

33)   HATI BATU

ORANG JAHAT, AKU SANGGUP BERDEPAN. KAKI JUDI, PEREMPUAN, TAHI GANJA, TAHI EKOR DAN LAIN-LAIN PUN AKU BOLEH DAN SANGGUP BERDEPAN TETAPI YANG AKU TAK SANGGUP HADAPI IALAH ORANG YANG HATINYA KERAS MACAM BESI DAN MERASAI DIRINYA TELAH CUKUP SEMPURNA, TAK PAYAH SESIAPA MENUNJUK AJAR LAGI. JADI, APABILA AKU BERTEMU ORANG SEPERTI INI LEBIH BAIK AKU MEMBISU DAN BERZIKIR DALAM HATI SAMBIL BERDOA SEMOGA ALLAH MEMBERI PETUNJUK DAN HIDAYAT KEPADA SEMUA.
8.03 a.m. AHAD 11/11/1979

34)   GILA DAN IDEAL

Shaikh! Ingatlah! ORANG YANG TIADA PROBLEM DAN SENTIASA SENYUM IALAH ORANG “GILA” YANG TIDAK WARAS OTAKNYA. ORANG MUKMIN YANG SEBENARNYA DAN IDEAL IALAH YANG BERANI MENGHADAPI DUGAAN DAN CUBAAN DENGAN TABAH - TEKUN - SABAR. “JANGAN MENGAKU KAMU TELAH BERIMAN MELAINKAN SETELAH KAMU DIUJI”. JIKA LEBIH TINGGI MAQAM KEIMANAN KAMU, MAKA LEBIH HEBAT DAN DAHSYAT LAGI DUGAAN YANG AKAN KAMU HADAPI. ITU KEHENDAK ALLAH.

(Dari: hati yang gundah -asal: 23/5/79) 8.10 a.m. AHAD 11/11/1979

35(a)   PENYEJUK MATA?

Shaikh! Pernahkah engkau mendengar atau membaca sebuah Hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“TIGA PERKARA YANG AKU MINATI, SOLAH (SEMBAHYANG), WANGI-WANGIAN DAN WANITA … PENYEJUK MATAKU”.

Jadi, tanyai dan jawablah sendiri:-

1. solah, wangi-wangian dan wanita yang sepertimana yang menjadi penyejuk matanya dan mata engkau juga?

2. jika engkau meninggalkan atau membenci salah satu daripada tiga perkara itu, adakah engkau termasuk di dalam golongan umat Muhammad s.a.w.?

3. jika engkau menyintai Nabi Muhammad s.a.w., engkau mestilah menyintai segala sunnahnya. Dari kata-kata sahabat Nabi s.a.w., Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mencaci wanita; walaupun seorang penzina? Nabi s.a.w. sungguh sayang kepada wanita-wanita Mukmin yang mentaati perintah Allah dan mendidik anak-anaknya menjadi seorang Muslim. Rasulullah s.a.w. akan ber-bangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak.
8.25 a.m. AHAD 11/11/1979

35(b) HIJRAH DAN JIHAD SEBENAR

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“HIJRAH yang sesungguhnya ialah hijrah daripada nafsu syaitan, dan JIHAD atau PERANG SUCI yang sesungguhnya ialah memerangi hawa nafsu”.

Jadi, di dalam masalah peperangan, engkau mestilah mengetahui tektik musuh terlebih dahulu supaya engkau boleh menyerang balas dengan senjata yang lebih lengkap dan cekap. Insya’allah, beroleh kejayaan dari Allah. Janganlah musuh menggunakan kereta tank/perisai berat dan engkau masih dengan panah dan pedang. Masakan berjaya! (jika menggunakan logik akal).

8.30 a.m. AHAD 11/11/1979


36) SOMBONG - TAK MASUK SYURGA
Shaikh! Sekali lagi aku peringatkan. Banyak sebab boleh membawa seseorang masuk ke syurga walaupun dengan kebajikan yang kecil sekali. Banyak pula sebab yang boleh membawanya ke neraka walau-pun kejahatan yang kecil sekali ~ yang di antaranya:-

Petikan Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “BARANGSIAPA YANG TERDAPAT SOMBONG HATINYA, WALAU SEBESAR ZARAH SEKALIPUN, MAKA PINTU SYURGA AKAN TERTUTUP BAGINYA”.

Definasi sombong: seorang manusia merasa dirinya lebih daripada orang-orang lain disertai dengan perasaan gembira ria.

AWAS! AWAS! JAGA-JAGA!
8.56 a.m. AHAD 11/11/1979

37)   SURAT CINTA

AKU
TANGGAL: 12/9/1976

Menemui yang ku cintai Ruhaniku; semoga beroleh kesejahteraan di dunia dan Insya’allah di akhirat. Percayalah bahawa ini janjiku padamu. Aku akan lakukan apa sahaja untukmu, untuk kesejahteraanmu di akhirat berlandaskan hukum yang telah ditetapkan Allah meskipun aku dianggap dan dicap sebagai seorang yang tak siuman, seorang yang angkuh dengan ilmu yang ku tuntut. Selama ini engkau juga tahu dan Allah lagi Maha Mengetahui tujuan aku menghabiskan masa menuntut ilmu yang diredzai Allah di rumah-rumah suci baik jauh atau dekat, malam maupun siang. Tapi tujuan aku telah dipesongkan oleh segelintir manusia yang telah memberi aku satu pangkat “ANGKUH” yang tak sanggup aku apalagi engkau mahu menerima atau mendengarnya. Alhamdulillaah, tujuan aku hendak memberi kesejahteraan kepadamu sedikitpun tidak tergugat, Allah sahaja tempat aku memohon pertolongan. Maha Suci Engkau, Ya Allah, yang Maha Mengetahui.

Ruhaniku, janganlah engkau khuatir akan masa dan waktu di mana aku akan dihisab. Insya’allah, aku akan termasuk di dalam golongan orang yang diredzai Allah… kepada Allah jua aku bertawakkal …. Aku cuma berikhtiar. Aku sedar dan aku insaf di atas sikap kebanyakan insan di- kala ini yang memperolok-olokan agama dan dijadikan mainan duniawi dan tak ramai yang mahu membaca apalagi meneliti Kitab Suci yang Allah turunkan. Teringat aku pada satu ayat, supaya ia akan menyehatkan engkau untuk meneruskan hidup dan sebagai ransangan padaku memberi kesejahteraan kepadamu, iaitu ayat yang bermaksud; “maka barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia memper-sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya” (surah Al-Kahfi, ayat 110). Ayat ini sentiasa bermain di ingatanku sejak aku bertemu dengannya dan inilah tujuan aku menuntut ilmu baik Feqah, Tasawuf dan membesarkan Allah setakat yang terdaya olehku. Tidak kurang juga perkataan yang tidak sanggup aku terima, “angkuh” terus bermain di ingatanku. Sehingga sekarang ini takut aku hendak bercakap kerana perkataan itu menanti masa sahaja hendak diluahkan. Aku sedar dan memang tak dapat dinafikan ada perbuatan-perbuatan aku yang menunjukkan aku ini angkuh tetapi manusia memikirkan angkuh yang negatif; padahal itu adalah angkuh yang diredzai Allah dan tidak pernah terlintas di sanubariku menuntut ilmu akhirat untuk bertikam lidah atau menunjuk-nunjuk dengan orang-orang jahil apalagi dengan alim ulamak yang telah banyak mengkaji isi Al-Qur’an. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Lail (92; ayat 12-13) yang bermaksud: “sesungguhnya kewajipan Kami lah memberi petunjuk dan sesungguh- nya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia”. Jadi, di sini apakah faedah-nya aku hendak membanggakan atau bersikap takbur dengan ilmu yang ada padaku? Aku beriman (percaya) yang aku akan kembali kepada Allah …. Bekalanku ialah amalan-amalan yang soleh yang tidak disusuli dengan keangkuhan.

Ruhaniku! Ini janjiku, aku ulangi lagi, aku akan memberi kesejahteraan padamu di akhirat kelak…. Tidak sanggup dan tiada upaya aku melihat engkau tersiksa di dalam api yang maha dahsyat … dengan Allah jua aku berlindung. Tidak hina seorang yang Allah muliakan dan tidak mulia seorang yang Allah hinakan ….. inilah peganganku.

Ruhaniku! Aku hampir-hampir mengambil keputusan berhenti menuntut ilmu keduniaan apabila perkataan “orang-orang yang berilmu penge-tahuan tinggi, semuanya kurang ajar. Lagi banyak ilmu, lagi kurang ajar”. Tetapi aku fikir pula, adakah aku akan sia-siakan nikmat yang dikurnia Allah kerana peluang menjijakkan kaki di pusat pengajian tinggi adalah terhad sekali.

Ya Allah! Engkaulah maksudku dan keredzaanMu aku tuntut, biar manusia menggelar aku dengan apa perkataan sekalipun. Aku me-mohon kepadaMu, ya Allah! ampunilah segala dosa kami.

t.t. JASMANI
12/9/1976

(saat aku menghadapi ujian yang terhebat)
Disalin semula: Asar 3.59 p.m. AHAD 11/11/1979

38)   JODOH

Shaikh! Takkan lari gunung dikejar.Takkan tertahan ombak yang ganas. Takkan tercat langit yang luas. Bersabarlah di dalam semua hal kerana “Allah beserta dengan orang-orang yang SABAR”. Firman Allah tentang jodoh yang bermaksud; “sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah ialah menentukan jodoh kamu dari jenis kamu sendiri untuk kamu menciptakan sebuah rumahtangga dengannya, dan Dia jadikan antara kamu saling cinta mencintai dan rahmat”.

Jadi, engkau sekadar berusaha dan Allah melaksanakan.
4.57 p.m. AHAD 11/11/197939) 

39)   HEBOHKAN RAHSIA PERIBADI

Shaikh! Pernahkah engkau melakukan kejahatan secara rahsia? Jika pernah, pernahkah pula engkau menceritakan kejahatan itu kepada members? Jika engkau pernah melakukan se demikian maka segeralah bertaubat dan memohon keampunan kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “sekelian umatku mendapat keampunan melainkan orang yang suka menghebohkan RAHSIAnya. Dan cara menghebohkannya ialah bila dia melakukan KEJAHATAN SECARA RAHSIA, lalu dia menceritakan kejahatan itu kepada yang lain”.

INNII TUBTU WAINNII MINAL MUSLIMIIN

Ingatlah! Allah mungkin tidak murka kepada orang yang melanggar hukumNya tetapi Allah lebih murka atau marah kepada orang yang menceritakan bahawa ia telah melanggar hukum Allah dengan sukahati dan megah, kerana ini akan menarik lagi orang yang mendengarnya melakukannya pula. Misalnya, seorang bermain judi tikam ekor, kemudian ia menceritakan pula yang nombornya “missed” angka belakang. Contoh lain, seorang meminum arak dan menceritakan ia minum se gelas tapi tak mabuk pun. Cuba tanya kepadanya:adakah dia sedar bahawa itu tegahan Tuhan dan haram? Siapakah yang memutarbalikkan nombor-nombor itu dan siapakah yang memabukkan? Jangan dicabar Allah kelak buruk padahnya. Apa yang Allah hukumkan adalah benar, adil dan kena pada tempatnya kerana Allah Maha Mengetahui dan Dia juga Maha Memberi Keampunan.
10.08 p.m. ISNIN 12/11/1979

40)   NASIHAT DIRI SENDIRI DULU
Engkau selalu menasihati orang, ini tak boleh, itu boleh, ini haram, itu fardhu tetapi pernahkah engkau menasihati dirimu sendiri dengan perkataan yang sama seperti engkau menasihati member-member yang lain? Di dalam hal ini, Imam Al-Ghazali (Imam tasawuf dan hujjatul Islam) telah menyentuh inter alia; “perkara yang perlu engkau tinggal-kan ialah bahawa engkau jaga diri dan engkau jauhi pangkat menjadi “Tukang Nasihat” memperingatkan orang banyak kerana ia mengandungi banyak bencana, kecuali jika lebih dahulu engkau beramal menurut yang engkau ucapkan, kemudian barulah engkau memberi orang banyak (ramai) pengajaran”. Dan fikirlah dalam-dalam apa yang dikatakan Allah s.w.t. kepada Nabi Isa a.s.: “Hai anak Maryam! Beri pengajaranlah dirimu! Jika sudah, maka barulah beri pengajaran pula kepada orang banyak. Dan jika belum maka patutlah engkau merasa malu kepada Tuhan kamu”.

Maka Shaikh! Fikir dan amalkan!
Isyak 7.44 p.m. SELASA 13/11/1979


[Akan menyusul Dari Kacamata Mahdzar (2) - Bahagian 2, Insya'allah]

Tuesday, February 26, 2013

112.0 Dari Kacamata Mahdzar (1) - Bahagian Akhir


81)   TAUBAT NASUHA
Shaikh! Aku nak tanya sikit. Adakah sah sembahyang engkau kalau terlekat sedikit najis cicak di tubuh engkau? Sudah tentu tidak sah. Bermakna badan engkau kotor ketika mengadap Allah, Raja sekelian alam. Jika badan, jasmani dan ruhani engkau kotor dengan najis dari dosa yang engkau lakukan dan engkau beribadat pada Allah, bagaimana kah halnya? Sudah tentu tidak diterima. Jadi, bersihkan dahulu badan engkau zahir dan batin dengan “bertaubat” ~ taubat nasuha diikuti dengan penyesalan dan bercita-cita tidak akan kembali kepada dosa itu. Jika engkau kembali kepada dosa maka segera bertaubat semula kerana kita tidak berupaya menghindari maksiat atau mendatangkan kebajikan. Allah berkuasa di atas segala-galanya.
11.16 p.m. SELASA 14/11/1978
82)   TAATKAN WANITA ~ MENYESAL
Petikan Hadith diriwayatkan oleh ‘Asaakar dari As-Saiyidah ‘Aisyah yang bermaksud; “Taatkan perempuan itu akhirnya menyesal”.
Memang benarlah sabdaan Rasulullah s.a.w.
11.16 p.m. SELASA 14/11/1978

83)   CARI KEBENARAN
Mencari kebenaran, jangan cari pada orang lain atau orang ramai. Akan tetapi cari di dalam diri sendiri, gali di dalam iman dan ibadat sendiri dan untuk itu adakan hubungan maksima yang dapat dilakukan dengan Tuhan Al-Khaliq (berkhalwat). Hubungi Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui, tuntut keredzaanNya; Insya’allah, Ia akan memberi-kan permintaan kita se kadar kesanggupan kita.
9.45 p.m. KHAMIS 23/11/1978
84)  SENTUH KULIT WANITA
Petikan Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Dicucuk kepala kamu dengan jarum daripada besi lebih baik baginya daripada menyentuh kulit perempuan yang tidak halal baginya”. Memang benarlah sabdaan Rasulullah s.a.w.
9.55 p.m. KHAMIS 23/11/1978
85)   DUNIA = NAJIS ANAK ADAM
Shaikh! Aku kalau benci sesuatu, nama dia pun tak teringin aku sebut, apatah lagi nak tengok muka dia. Jadi tak guna engkau kata engkau benci dunia kerana beginilah, begitulah dan sebagainya tentang hal dunia, padahal engkau benci akannya. Itu bukan nama benci lagi tetapi “gemar”. Akhirnya tergoda juga engkau dengan “tahi anak Adam” yang  busuk dan tidak patut didekati. Itulah bandingan bagi isi dunia.
2.30 a.m. AHAD 26/11/1978

86)   ANJING GILA
Shaikh! Engkau tentu dah pernah mengalami berjalan di hadapan anjing yang sedang menyalak. Jika engkau buat endah tak endah, maka ia pun menutup mulut dan menggoyang-goyangkan ekornya. Tetapi bila engkau ejek-ejeknya atau berbimbang-bimbang maka ia terus menyalak, mungkin menerkam dan menggigit. Ketahuilah! Syaitan yang kena laknat itu adalah ibarat anjing tadi, jangan diendahkannya.
2.32 a.m. AHAD 26/11/1978
87)   TANGAN … PEN … KERTAS

 (Nota: lakaran asal ialah tangan kanan memegang pena dan sedang menulis)
[Foto petikan dari web: http://www.flickr.com/photos/50521389@N08/5221861607/lightbox/]

Shaikh! Telitikan sejenak lakaran di atas; orang sedang menulis dengan pen di atas se helai kertas. Apa ilmu yang engkau rasa engkau boleh dapat?
1.     tiada salah satu, tangan atau pen, tidak akan menghasilkan apa-apa tulisan.
2.     kalau pen itu rosak atau habis dakwat, buang saja, beli baharu
3.     jika tangan itu tidak cacat, sentiasa elok tulisannya. Tiba-tiba pen buat “trouble”, tak keluar dakwat, mata tersumbat, pasal pen itu murah; lebih baik ganti atau beli yang lebih baik kualitinya.
Ketiga-tiga dan mungkin banyak lagi ilmu (ghaib) yang boleh diperolehi secara lahir. Pada ilmu tasawuf boleh diibaratkan; Allah itu tangan tadi dan engkau adalah pennya yang menggaris peristiwa di atas dunia ini (i.e. kertas). Jadi, jika tiada tangan (Allah) maka engkau tidak boleh menghasilkan apa-apa tulisan. Maksudnya, bukan engkau yang menulis tetapi Allah yang menulis ~ jangan salah faham. Bayangkan jika engkau pen yang “koman”, apa hal?
10.47 p.m. AHAD 26/11/1978

88)   PARUT TAK HILANG
Shaikh! Cuba tengok dekat siku tangan kanan, ada parut bekas jatuh motor ~ sakitnya tiada lagi, dulu, ya! Tetapi parut tetap lekat.
Begitulah jika engkau melakukan dosa, kemudian engkau bertaubat, tetapi bekas-bekas atau parut-parut dosa itu tetap lekat. Bayangkanlah! Engkau menyonteng di atas kertas orang dengan pensil. Takut orang marah, maka engkau pun padam cepat-cepat. Walaupun contengan itu sudah tidak kelihatan tetapi bekas conteng masih ada pada kertas tadi. Dengan pensil tak apa lagi, kalau dengan “permanent marker pen” (pen minyak) nak padam macam mana? Kertas jangan koyak.
Pensil = Dosa-dosa kecil
Permanent Marker Pen = Dosa-dosa besar
Pandai-pandailah engkau cari “pemadam” bersesuaian dengan bahan yang dibuat tulis / conteng tadi.
10.59 p.m. AHAD 26/11/1978

89)   BERGAUL DENGAN MUSUH
Shaikh! Awasilah di dalam pergaulan engkau dengan musuh-musuh Allah iaitu orang-orang kafir, yang sepek mata dan putih kulitnya. Di mulut mereka akan tertanam tebu yang manis sekali sehingga engkau hampir sujud dan tertarik tetapi ingat!! Manusia terdiri dari lahir dan batin dan gambaran lahir bukanlah gambaran batin yang sebenarnya. AWAS. Musuh hidup berpura-pura.
Ingatlah. Mereka akan bersusah hati, berdukacita, benci, marah sekira-nya engkau bahagia, berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan dan bersatu padu dengan sahabat-sahabatmu. Mereka akan gembira, suka-cita seolah-olah lepas dari sengsara jika engkau gagal, berkelahi sesama sendiri, jatuh miskin, hidup ditipu dan sengsara.
Awas! Bukan tak boleh engkau bersahabat dengan mereka; bersahabat-lah tetapi dengan lahir tak sampai ke batin, carilah ilmu yang munafaat dari mereka.
10.50 p.m. SABTU 2/12/1978
90)   TIGA ASAS DAKWAH
Ketahuilah dan ingatlah, Shaikh! Berdakwah adalah kewajiban setiap orang Islam, bukan kewajiban pada golongan tertentu sahaja. Asas dakwah ada tiga:-
1.     memudahkan, jangan kamu persukarkan
2.     gembirakanlah, jangan pertakutkan
3.     hendaklah saling rukun dan jangan saling bersengketa
Demikianlah pesan Rasulullah s.a.w. kepada “Pendakwah-pendakwah”. Faham dan amal
11.00 p.m. SELASA 5/12/1978

91)   DAKWAH BERDIPLOMASI
Shaikh! Berdakwahlah dengan “diplomasi” dan menarik perhatian bukan dengan cara kasar dan mengujudkan kebencian orang. Kerana jika berkasar, tubuh dan kekuatan perkataan manusia itu dapat ditakluki tetapi BATIN manusia tidak rela menyerah dengan kekerasan dan paksaan.
Tidak guna dicat dan digilapkan badan “kereta” jika enjin dan jentera penggeraknya kotor berkarat dan rosak selalu. Qiaskan.
11.06 p.m. SABTU 2/12/1978
- 1979 -
92)   TUNAS DICANTAS
Shaikh! Sedarilah. Agama Allah yang sedang engkau tegakkan adalah ibarat tunas muda yang masa sekarang ingin menjenguk dan menghirup dunia ciptaan Allah yang luas; tetapi sentiasa diserang dari segala sudut samada dari golongan yang mengaku dirinya Islam atau orang-orang kafir yang ingin menghapus licin tunas muda itu. Oleh kerana Islam itu “Ad-diin” Allah dan dengan kebenaran jua, walau bagaimana hebatnya tentangan, tunas muda tetap hidup subur dan membesar dan menghasilkan buah yang manis dan dikecapi dunia dan akhirat. Apabila bijinya dibuang ke bumi, tunas lain akan tumbuh ~ itulah agama Islam, agama yang hak. Demikianlah Allah menjadikan dan merancang serta melaksanakan segala rancangan dengan kehendakNya tanpa memerlukan bantuan makhluk. Allah yang Esa; Yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menjatuhkan sesiapa yang dikehendakiNya. Telah banyak terjadi, golongan yang kecil menewaskan golongan yang lebih besar dengan bantuan Allah s.w.t. jua. Memang segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak nafsu akan ditentang habis-habisan oleh orang yang bertuhankan nafsu. Jika engkau tidak menghadapinya dengan wajar maka tidaklah dinamakan jihad di jalan Allah. contohilah penegak “Ikhwanul Muslimin”, Asy-syahid Syed Qutub (Hassan Al Banaa) yang perjuangannya berakhir di tali gantung dengan wajah riang berseri hendak mengadap Khaliqnya yang tercinta. Demikianlah Islam. Jika syahid seorang kekasih Allah, bukan bermakna Islam mundur ke belakang satu huun tetapi bercambah lagi tunas-tunas muda dengan perjuangan walaupun berakhir di tali gantung, di “galotin”, ditembak oleh penzalim, dikurung bersama singa lapar dan lain-lain.
Tidak mati seseorang melainkan sampai ajalnya, kehendak Allah. Dan jangan disangka orang yang syahid itu mati bahkan mereka hidup riang dengan beroleh rezeki dari Allah. Tidak dinamakan perjuangan kalau engkau tidak menempuhi halangan-halangan apabila engkau melakukan yang hak. Setiap yang hak akan menang dan yang batil akan musnah.
Allaahu Akbar. Subhaanallaah walhamdulillaah walaa ilaaha illallaahu wallaahu Akbar.
Barangsiapa menolong agama Allah; Allah akan menolongnya.
Telah menjadi tabiat orang yang berajakan nafsu bahawa perkara yang berlawan dengan kehendaknya tetapi “benar” dianggap satu penyakit yang telah membebankan dirinya walaupun dilakukan oleh orang lain. Tetapi perkara-perkara yang se jalan dengan nafsunya walaupun “bertentangan dan berlawanan” dengan hukum Allah akan didiamkan sahaja atau memadai dengan senyum redza dan disambut riang gembira dengan keramaian besar-besaran oleh para syaitan jahannam tanda kemenangan. Ingatlah! Kesombongan Fir’aun berakhir di Laut Merah, Qarun di dalam tanah, Shah Iran di tangan Khomeini. Itulah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah.
Ingatlah! Kesombongan engkau dengan nikmat yang Allah limpahkan akan berakhir 7 kaki dari paras tanah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada ku untuk menegakkan syiar Engkau kerana mengharap pertemuan dengan Mu.
12.53 a.m. 9/2/1979 = 12 Rabiul’awwal 1399 
Maulidur Rasul s.a.w.

93)   MUFLIS
Shaikh! Berikhtiar jauhkan diri dari menjadi muflis di dunia dan akhirat. Di akhirat kelak akan ada golongan di mana buku-buku amalan mereka yang dipenuhi kebajikan tetapi Allah memerintahkan agar dicampak buang buku itu (amalan kebajikannya tidak diterima) kerana segala amalannya tidak ditujukan atau dialamatkan kepada Allah sebaliknya semata-mata ingin mendapat pangkat dan sanjungan orang. Golongan inilah yang merugi di akhirat kelak.
5.30 a.m. SABTU 10/2/1979 = 13 Rabiul’awwal 1399

94)   MUSAFIR
Ingatlah Shaikh! Dunia ini cuma tempat musafir berehat sebelum meneruskan perjalanan yang jauh lagi sukar. Maka carilah bekalan yang tahan lama, tahan berhujan berpanas supaya ia masih elok ketika sampai ke tempat yang dituju.
Sesungguhnya Allah Maha Baik; tidak diterimanya melainkan barang yang baik. Maka jika hendak bersedekah, sedekahlah barang yang engkau sayangi, jika boleh sorok-sorok ~ lebih besar ganjarannya.
2.15 a.m. RABU 21/2/1979

95)   BERDIALOG DENGAN ATHEIS
Misalkan engkau ditanya oleh seorang atheis (orang yang tak percaya ujudnya Tuhan) seperti berikut :-
1.     engkau kata Tuhan itu ada, tunjukkan kepada ku
2.     jika Tuhanmu ada, apa yang dia buat sekarang?
3.     jika Tuhanmu ada, di mana dia duduk sekarang?

Jawapan kepada soalan pertama; Sekarang beri contoh kepadanya dengan mengambil se kuntum bunga yang cantik dan harum mewangi. Maka wanginya bunga itu seolah-olah ujudnya Allah; yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Beri pula contoh susu lembu ~ diminum cukup dengan lemak, manis, masam dan lain-lain walaupun tidak berbau, maka begitulah seolah-olah ujudnya Allah, walau pun rasa itu tidak kelihatan. Tanya pula kepadanya (atheis) itu hidup atau mati ~ jawapannya hidup, mestilah ada ruh maka adanya ruh tadi seolah-olah adanya Allah yang tidak kelihatan.
Soalan kedua: apa yang Allah sedang lakukan? Apa yang berlaku sekarang, seperti aku menulis ini, maka itulah yang sedang Allah lakukan ~ mentadbir atau mengurus isi alam (seluruh alam - alam Malaikat, ruh dan lain-lain).
Soalan ketiga: di mana Allah tinggal? Tanya pula kepada atheis tadi - di mana letaknya ruh atau nyawa pada jasadnya. Demikianlah kedudukan Allah. ingatlah! Kebanyakan atheis yakin sesuatu ada dengan berhukum kepada pancainderanya yang lima i.e. mata, tangan, telinga, hidung dan mulut.
Maka tanyalah kepadanya, dengan menunjuk kepada sebarang objek di depan matanya, misalnya kerusi dan lain-lain - tanyalah siapa yang membuatnya - tentulah tukang buat perabut; sekarang tanya pula dia - di mana tukang itu ada sekarang, bagaimana rupanya, apa dia sedang buat sekarang, betulkah dia ada dan lain-lain. Maka kaitkan dengan ujudnya Allah.
Jika ilmu ketauhidan engkau cetek, janganlah berani berdebat dengan orang yang jahil tetapi berdebatlah dengan cara yang paling baik, ikhlas dan mengharap keredzaan Allah agar dibuka hati mereka yang jahil.
Ya Allah! berilah petunjuk dan hidayah kepada kami yang lemah ini.
12.22 a.m. SABTU 24/2/1979

96)   CERAMAH USTAZ NIKMAT YUSOF
(NOTA : Catetan ceramah oleh Al-Ustaz Nikmat Yusuf, Maktab Mahmood, Alor Setar, Kedah)
1.     ILMU - AMAL - IKHLAS
2.     DUNIA - NAFSU - SYAITAN = joint venture menyerang hamba Allah supaya hamba itu melupai janji-janjinya di masa alam ruh dahulu untuk mengabdikan diri kepada Allah di muka bumi ini.
3.     syaitan ada dua permit yang diberikan Allah; pertama, ia hidup sampai akhir zaman / dunia dan kedua, menggoda hamba Allah tanpa dilihat, sehingga bersama-sama dengannya di dalam neraka kelak.
Ilmu ialah “qualification” seorang hamba Allah di atas muka bumi. Dengan ilmulah kita beramal dan dihiasi
pula amal dengan “ikhlas” kerana menuntut keredzaan Allah dan memenuhi janji-janji kita dahulu.
Salah satu tanda Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani ialah:- 
Ambil sebarang makanan - sebelum disuap ke dalam mulut, hidung bertindak sebagai “spy hidu” - jika barang makanan bersih dan baik dibenarkan masuk ke mulut. Jika busuk atau dah basi dihalang masuk - seperti kominis atau subversif ~ dan badan sebagai sebuah negara. Tetapi ada juga yang terlepas masuk. Kemudian melalui “gate Kastam” iaitu gigi - mengunyah sampai lumat, kalau barang yang tak boleh dipecahkan dibuang negeri. Ada juga yang terlepas dari Eksais atau Kastam, ada pula bahagian department lain yang memeriksa iaitu lidah - masam, manis, pahit, masin. Subhaanallaah walhamdulillaah.


Ada juga Kastam yang melepaskan masuk kominis-kominis dengan banyak samada kerana rasuah atau lain-lain dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya ibu yang mengandung, ada saluran lain yang berkehendakan kepada lebih rasa masam, maka diselaraskan atau diseimbangkan dengan rasa-rasa lain pula seperti kicap atau gula. Demikianlah kebesaran Allah dan betapa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian tetapi sedikit sangat manusia yang mahu mensyukuri nikmat yang Allah limpahkan. Manusia suka mengeluh walau pun Allah telah melimpahkan nikmat melebihi air lautan berkali-kali ganda dan diambil se titik darinya. Misalnya; diberinya seorang itu murah rezeki - bergaji besar, pangkat dunia dan lain-lain, tetapi apabila kehilangan $5.00 dari poketnya, ia dah menggelisah belum lagi hilang rumah atau anak bini. Sesetengah orang miskin mengeluh “saya miskin”, sehelai sepinggang, tiada rumah besar, kereta dan lain-lain. Tanya kepadanya, berapa jumlah harta semua tadi, katakanlah setengah juta ringgit. Sekarang katakan ada seorang “millionaire” accident kemudian buta se biji matanya. Tanya kepada si miskin tadi, adakah ia hendak menjadi kaya dengan menjual sebiji matanya … dengan harga dua juta ringgit? Tentu tidak mahu kan …. Kiaskanlah dengan anggota lain. Jadi bandingkan nilai nikmat yang Allah beri pada jasad kita dengan nikmat kebendaan yang kita pakai setiap waktu. Jauh lebih mahal dan dan lebih besar nikmatnya. Jadi janganlah mengeluh dan buruk sangka terhadap Allah s.w.t. bersyukurlah dan bertaubatlah.
12.54 a.m. SABTU 24/2/1979
97)   RATAPAN AHLI SUFI
YA TUHAN KU
SESUNGGUHNYA SYURGA FIRDAUS MU BUKANLAH BAGI KU AHLINYA DAN TIDAK SANGGUP AKU MENGHADAPI NERAKA JAHANNAM MU
MAKA ….
AMPUNILAH AKU DAN TERIMALAH TAUBAT KU …
SESUNGGUHNYA ENGKAU MAHA PENGAMPUN DAN MAHA MENERIMA TAUBAT.
AMIIN YAA RABBAL’AALAMIIN
11.30 p.m. KHAMIS 8/3/1979

98)   BENCIKAN MANUSIA?
Shaikh yang lemah! Adakah engkau benci kepada manusia yang jahil? Atau kepada mereka yang tahu tanggungjawabnya terhadap manusia dan Allah tetapi tidak melaksanakannya kerana sibok dan ditipu oleh dunia? Atau mereka yang Islam baka (ibubapa Islam … aku Islamlah!)? sehingga mereka beriman? Janganlah engkau benci kepada mereka jika engkau mencintai Allah. Allah yang menjadikan mereka dan engkau juga demikian rupa. Taufik dan hidayah itu dari Allah … engkau berikhtiar dan berserah diri kepada Allah di atas setiap pekerjaan. Engkau harus menyintai setiap yang Allah jadikan kerana Allah adalah matlamat cinta dan hati engkau … cinta yang tidak berunsurkan nafsu dan campurtangan seteru Allah. Jadi, serulah mereka dan peringatilah mereka termasuk diri engkau sendiri …. tentang matlamat utama sebagai khalifah di muka bumi ini bukan bumi ini khalifah kepada manusia.
11.40 p.m. KHAMIS 8/3/1979

99)   SYARAHAN OLEH SOHIBUL FADZILAH HJ. HARUSANI
(Nota catetan syarahan)
Pegangan seorang pendakwah terdapat di dalam Surah Al-Muddaththir (orang yang berkemul atau berselimut); surah ke 74, ayat 1 - 10 yang bermaksud;
1.     WAHAI ORANG YANG BERKEMUL
2.     BANGUNLAH, LALU BERILAH PERINGATAN
3.     DAN TUHANMU, AGUNGKANLAH
4.     DAN PAKAIANMU, BERSIHKANLAH
5.     DAN PERBUATAN DOSA, TINGGALKANLAH
6.     DAN JANGANLAH KAMU MEMBERI (DENGAN MAKSUD) MEMPEROLEHI (BALASAN) YANG LEBIH BANYAK
7.     DAN UNTUK (MEMENUHI PERINTAH) TUHANMU, BERSABAR-LAH
8.     APABILA DITIUP SANGKAKALA
9.     MAKA WAKTU ITU ADALAH WAKTU (DATANGNYA) HARI YANG SULIT
10.  BAGI ORANG-ORANG KAFIR LAGI TIDAK MUDAH.
11.55 p.m. KHAMIS 8/3/1979

100)   SYARAHAN USTAZ GHAZALI HJ. DIN
(Catetan syarahan oleh Ustaz Ghazali Haji Din dari Merbok, Kedah bertempat di Jalan Maqbul, Sungai Pinang, Pulau Pinang)
Orang Mukmin yang sebenar ialah apabila disebut nama Allah maka gementarlah hatinya dan apabila dibaca ayat-ayat Allah, bertambah imannya dan kepada Allah ia bertawakkal - petikan maksud Al-Qur’an
Allah mencipta seluruh alam (planet dan lain-lain termasuk syurga) selama 6 hari - lengkap segala-galanya - kemudian dipilih Khalifah di atas muka bumi ini. Malaikat tidak boleh, juga binatang-binatang - mereka tidak memerlukan kepada kebendaan - diciptalah Adam a.s. dari tujuh unsur tanah ~ tidak beribubapa - dijadikan pula Hawa dari tulang rusuk Adam - ada bapa tidak beribu ~ manusia mempertikaikan lagi kekuasaan Allah - dijadikan pula Nabi Isa a.s. tidak berbapa. Ditambah lagi dengan manusia-manusia yang beribu berbapa sebagai tanda kekuasaan Allah - lagi tanda kekuasaan Allah, dihimpun dan dihidupkan kembali yang mati - lebih mudah bagi Allah mengadakan sesuatu yang sudah ada.
Di hari kelahiran Rasulullah s.a.w. pada malam Isnin 12 Rabiul Awwal disambut oleh dua orang wanita istimewa dari syurga iaitu Aisyah (isteri Fir’aun l.a.; sepupu dengan Nabi Musa a.s.) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) yang hebat ~ supaya Aminah kagum ketika melahirkan Nabi Muhammad s.a.w. Pada waktu itu, api pemujaan berhala di Iran yang tidak pernah padam telah jatuh, akan kegerunan kelahiran junjungan Rasulullah s.a.w.
Sebelum Islam, perempuan telah diletakkan di tempat paling keji dan hina. Zaman jahiliyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup lantaran malu; di Tiongkok (negeri Cina) - dipakaikan kasut besi supaya perempuan jangan keluar berjalan kerana kaki kecil; di India pula, perempuan mesti mati bersama-sama dengan suaminya (yang mati); di Mesir, Ratu Mesir yang paling cantik dibuang ke dalam Sungai Nil sebagai makanan jin; di France (Perancis) wanita dipakaikan dengan jala seperti mulut anjing kerana kononnya pada senyuman wanita terdapat panahan jin dan lain-lain lagi.
Islam menghormati kaum wanita sebagai barang bernilai dan pendidik generasi yang harus dilindungi dan dipelihara. Termasuk aurat - tidak terdedah seperti “rail keretapi” tetapi seperti intan berlian yang bernilai.
-------------
Wudhu - thoharah - ertinya bersihkan:
1.     muka - terdapat lima pancaindera penting yang harus dicuci i.e. mata dari melihat yang haram, hidung dari menghidu yang ditegah, mulut dari makan yang haram, lidah dari yang mencela, mengumpat dan berbohong ~ 30% Muslim
2.     tangan hingga ke siku (tidak ke bahu) - cuci dari membuat kerja-kerja yang ditegah seperti main judi, pukul orang dll. - satu tanda kebesaran Allah ialah tangan bersiku dan bersendi dll supaya mudah ~ 50% Muslim
3.     ubun-ubun - isyarat mencuci otak yang di dalam tengkorak supaya berfikir yang mendatangkan kebaikan (ilmu pengetahuan) tidak perkara-perkara yang keji ~ 80% Muslim
4.     kaki - dicuci dari berjalan ke tempat maksiat ~ 100% Muslim
Maka amanlah masyarakat kita.
-------------
Di dalam sembahyang pula, elokkan peradaban dan bacaan-bacaan. Di dalam Al-Fatihah terdapat 14 sabdu (“w” seperti bukit) terutama di ayat “iiyaaka na’budu wa iiyaaka nasta’ain”. Jika tidak disebut dengan betul akan membawa makna, “engkau matahari yang aku sembah” seperti kisah seorang Hindu naik jet tabuan dengan Mat Saleh (Inggeris)- bila pening ia nak turun tetapi Mat Saleh dengar seperti Two Round.
Pakailah pakaian yang cantik kerana mengadap Agung daripada segala yang agung. Tidak akan dipeduli sembahyang yang tidak tentu bacaan-nya - seperti cepat-cepat dll.
Di dalam doa Iftitah - segala perbuatan, solat, hidup dan mati adalah kerana Allah - tiada kawan bagi Allah dan aku bukanlah dari orang Musyrikin.
Ketika ruku’, kepala yang suci sama paras (taraf) dengan kemaluan - sama seperti haiwan; menunjukkan betapa rendahnya manusia dengan Allah; kemudian iktidal - manusia rasa bangga berdiri tegak - diperintah Allah sujud terus ke bawah lagi di mana kemaluan lebih tinggi dari otak kepala yang suci ~ seperti binatang meragut rumput ~ yang sanggup sujud demikian ialah sebenar-benar Mukmin.
-------------
“Orang yang takut kepada Allah ialah yang berilmu pengetahuan (ulamak)” - maksud Al-Qur’an. Di dalam Islam sesiapa yang berilmu tidak kira apa jurusan dipanggil ulamak i.e. yang tahu, mengamal dan membaiki yang rosak. Sekarang seolah-olah ada dua golongan i.e. intelek dan ulamak, masing-masing bercanggah. Jadi, “pemuda”lah sebagai penyelesai masalah ini (seperti terdapat di dalam Al-Qur’an) supaya aman negara - kerjasama dua pihak. Seperti cerita seorang Pencen (orang besar) bermenantukan seorang saintis dan seorang lebai. Ditanya mengapa rumput di tepi parit cepat subur? Si saintis menjawab kerana baja banyak di situ. Ditanya pula kepada si alim, dijawabnya itu ialah kuasa Allah; buktinya bulu hidung cukup baja tetapi tidak menjulur keluar. Masalah kedua; mengapa suara angsa kuat? Saintis kata pasal lehernya panjang tetapi si lebai jawab itu kuasa Allah kerana ular paling panjang lehernya tetapi tidak bersuara tetapi katak “ong” tak berleher berbunyi lagi kuat. Matlamat sekarang ialah menggabungkan kedua-dua golongan ini dengan bijaksana, baharulah ekonomi, politik dan hak-hak Islam terjamin.
-------------
menyambut hari jadi anak pada tarikh lahir adalah HARAM kerana firman Allah yang bermaksud “Akulah yang menetapkan tarikh lahir di dalam kandungan seseorang …..” (nota: catetan terjemahan ini mungkin kurang tepat). Boleh jika sebagai memperingati kelahirannya.
Masyarakat Islam adalah seperti jari di tangan - ada jari kurus panjang, pertengahan, pendek gemuk, jari hantu dan jari manis disarung cincin yang cantik dan bernilai tetapi apabila melakukan sesuatu kerja, tiada jari yang memberontak - tiada irihati di dalam Islam. Jika seseorang itu kaya dan berpangkat sebalknya yang kaya membantu yang miskin dan yang miskin bertanggungjawab atas yang kaya.
-------------
Orang yahudi dan kristian tidak senang selagi orang Islam tidak mengikut mereka. Selagi orang Islam berpegang dengan Al-Qur’an dan Hadith Nabi s.a.w. maka ia tidak akan sesat dan ditipu oleh dunia.
-------------
Cinta kepada Rasulullah s.a.w. bukan dengan laungan solawat tetapi disertai dengan maksiat; tetapi melakukan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan yang munkar.
-------------
Rezeki dan ganjaran baik telah dijamin oleh Allah, mengapa masih tidak mahu bersyukur kepada Allah? Allah menghormati makhlukNya, tidak kira Islam atau kafir - tandanya ketika tidur, dihantar Malaikat mengawas dari serangga dan lain-lain. Bila mati tiada lagi Malaikat mengawal. Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian (seperti contoh yang diberi oleh Ustaz Nikmat Yusof).
“Orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (maksud Al-Qur’an, Surah Al-Baqarah ayat 120)”
1.15 a.m. AHAD 11/3/1979

Alhamdulillah! Tamat mengkomputerkan “Dari Kacamata Mahdzar 1” pada 29 Julai 2002 = 18 Jamadil Awwal 1423 jam 12.30 a.m.

[akan menyusul Dari Kacamata Mahdzar 2, Insya'allah]