Setiap jiwa akan merasai mati!
Tapi bagaimana keadaan atau apa yang menyebabkan kita mati,
belum tahu lagi, Allah yang Maha Mengetahui.
Al-Faatihah dihadiahkan kepada al-marhum Haji Hassan bin Panglima Mat Munas @ Tok Janggut yang telah syahid pada 25 Mei 1915 dalam perjuangan melawan penjajah British yang mengambilalih pemerintahan Kelantan dari kerajaan Siam.
Nota: foto yang dipaparkan agak kurang menyenangkan, harap maaf.
Innaalillaahi wainnaa ilaihi raaji'uun.
Wajah mayat yang didakwa sebagai Tok Janggut
(Bodleian Library, Oxford University, UK)
Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dan digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sehingga berita sampai kepada Tok Kenali dan meminta ia diturunkan. Mayat Tok Janggut dikebumikan di Pasir Pekan. (Nota: mungkin janggut Tok Janggut yang panjang sampai ke dada telah dipotong bagi menampakkan wajahnya).
Timbul pelbagai cerita dan versi tentang foto di atas. Ada pihak yang mengatakan foto di atas adalah propaganda British sebagai amaran kepada sesiapa yang berhasrat tunjuk perasaan. Wajah mayat tersebut adalah pengikut Tok Janggut, bukan Tok Janggut, dipercayai beliau telah melarikan diri ke Negeri Sembilan. Dan ada pula yang mengatakan mayat tersebut seorang benggali Sikh yang mati dibunuh. Wallaahu wa'alam.
Apa yang pasti ialah Tok Janggut seorang pahlawan Melayu yang memerangi penjajah. Biasalah, apabila dijajah, yang kena jajah mesti lawan balik. Apabila melawan maka dicap "pengganas" yang layak ditangkap dan dihukum mandatori "mati". Seperti yang pernah berlaku di Iraq, Afghanistan, Palestin, Korea, German dan lain-lain negara dalam dunia ini sejak sebelum Perang Dunia I dan II hinggalah sekarang. Semangat Tok Janggut patut dibanggakan dan dijadikan tauladan.
Adakah semangat Tok Janggut telah menjalar ke jiwa mereka2 ini?
atau semangat orang-orang yang IQnya tak berapa tinggi.
Tindakan yang memalukan bangsa sendiri!
Kita cuma ruku' dan sujud kepada Allah s.w.t.
Mari kita ikuti kronologi peristiwa sehingga syahidnya Tok Janggut mengikut catatan sejarah yang dipetik dari website: http://ms.wikipedia.org/wiki/Haji_Hassan_bin_Panglima_Mat_Munas
Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada ialah seorang penentang penjajahan British yang terbunuh semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British ketika Perang Tok Janggut di Kelantan, Tanah Melayu. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.
Biografi ringkas
Tok Janggut mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Tok Janggut dikatakan ada pertalian dengan Sultan Muhammad IV di mana bonda baginda diriwayatkan adalah adik beradik ayah atau ibu Tok Janggut. Ada riwayat menyatakan bahawa beliau adalah anak murid Tok Ku Paloh. Selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909, pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah pengenaan cukai seperti berikut:
· cukai tanah
· cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun
· cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun
· kelapa sebanyak 3 sen setandan
· sireh sebanyak 5 sen sejunjung.
Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Engku Besar ialah cucu kepada Tengku Sri Maharaja Long Seri Ibni Long Gafar Limbat yang memperoleh kuasa mentadbir kawasan timur Kelantan secara turun temurun. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai. Semua orang termasuk Sultan dan pembesar diwajibkan membayar cukai tanah. Dikatakan Sultan Kelantan mempunyai 3000 ekar tanah dan para pembesarnya mempunyai sekurang-kurangnya beratus-ratus ekar tanah. Keadaan ini juga tidak menyenangkan Sultan.
Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut. Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Pegawai Daerah kemudiannya lari ke Kota Bharu dan melaporkan kepada sultan bahawa Tok Janggut ingin memberontak dan merampas kuasa.
Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Pengikut Tok Janggut kemudiannya mendirikan sebuah kerajaan di Pasir Puteh dengan Engku Besar Jeram sebagai Raja, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri, dan Che Ishak sebagai Pegawai Daerah.
Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Ini ditambah lagi oleh peristiwa abang Tok Janggut telah dibunuh oleh budak raja oleh sultan sebelumnya menambah kebimbangan sultan mengenai kebenaran dakwaan British. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan. Pihak perisikan Inggeris mengesyaki bahawa terdapat kerabat diraja dan orang besar Kelantan dalam membantu pemberontakan Tok Janggut. Antaranya ialah Tengku Chik Penambang (Tengku Panglima Raja) dan Tengku Abdul Ja'far Ibni Sultan Muhammad II (Tengku Petra Dalam Kebun) Tengku Abdul Ja'far sebelumnya memakai gelaran Tengku Temenggong Kelantan dan melarikan diri ke Pattani apabila dinafikan hak menaiki takhta Kelantan.
Perjuangan Tok Janggut ini juga sebenarnya adalah datangnya dari semangat pahlawan-pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman serta pengikut-pengikutnya. Ke semua pejuang-pejuang Pahang ini bersembunyi ke Terengganu, Kelantan dan Siam apabila pada ketika itu British telah mempengaruhi Kerajaan Pahang agar memusuhi mereka. Kerana tidak mahu bertempur dengan bangsa sendiri dan tidak mahu menderhaka kepada Sultan, akhirnya mereka melarikan diri ke Terengganu, Kelantan dan seterusnya Siam.
Begitulah ceritanya. Ceritanya bagaimana "Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah." Siapa yang mengapi-apikan gajah? British! atau talibarut yang dibayar gaji oleh British. Sekarang terpulanglah kepada kita hendak menghukum Tok Janggut sebagai Hero atau sebagai Penderhaka (macam cerita Hang Tuah dan Hang Jebat jugalah!). Kalau nak tahu detail cerita dan kronologi peristiwa ini dengan lebih terperinci, anda boleh buka buku karangan Cheah Boon Kheng, To' Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan:- (copy & paste)
http://books.google.com.my/books?id=2n6LhfSDVnwC&pg=PA22&dq=tok+janggut&hl=en&ei=YLt4TtrJF8bWrQfs6_CLCw&sa=X&oi=book_result&ct=result&resnum=8&ved=0CEoQ6AEwBw#v=onepage&q=tok%20janggut&f=false
what lal
ReplyDelete