Tuesday, February 26, 2013

112.0 Dari Kacamata Mahdzar (1) - Bahagian Akhir


81)   TAUBAT NASUHA
Shaikh! Aku nak tanya sikit. Adakah sah sembahyang engkau kalau terlekat sedikit najis cicak di tubuh engkau? Sudah tentu tidak sah. Bermakna badan engkau kotor ketika mengadap Allah, Raja sekelian alam. Jika badan, jasmani dan ruhani engkau kotor dengan najis dari dosa yang engkau lakukan dan engkau beribadat pada Allah, bagaimana kah halnya? Sudah tentu tidak diterima. Jadi, bersihkan dahulu badan engkau zahir dan batin dengan “bertaubat” ~ taubat nasuha diikuti dengan penyesalan dan bercita-cita tidak akan kembali kepada dosa itu. Jika engkau kembali kepada dosa maka segera bertaubat semula kerana kita tidak berupaya menghindari maksiat atau mendatangkan kebajikan. Allah berkuasa di atas segala-galanya.
11.16 p.m. SELASA 14/11/1978
82)   TAATKAN WANITA ~ MENYESAL
Petikan Hadith diriwayatkan oleh ‘Asaakar dari As-Saiyidah ‘Aisyah yang bermaksud; “Taatkan perempuan itu akhirnya menyesal”.
Memang benarlah sabdaan Rasulullah s.a.w.
11.16 p.m. SELASA 14/11/1978

83)   CARI KEBENARAN
Mencari kebenaran, jangan cari pada orang lain atau orang ramai. Akan tetapi cari di dalam diri sendiri, gali di dalam iman dan ibadat sendiri dan untuk itu adakan hubungan maksima yang dapat dilakukan dengan Tuhan Al-Khaliq (berkhalwat). Hubungi Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui, tuntut keredzaanNya; Insya’allah, Ia akan memberi-kan permintaan kita se kadar kesanggupan kita.
9.45 p.m. KHAMIS 23/11/1978
84)  SENTUH KULIT WANITA
Petikan Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Dicucuk kepala kamu dengan jarum daripada besi lebih baik baginya daripada menyentuh kulit perempuan yang tidak halal baginya”. Memang benarlah sabdaan Rasulullah s.a.w.
9.55 p.m. KHAMIS 23/11/1978
85)   DUNIA = NAJIS ANAK ADAM
Shaikh! Aku kalau benci sesuatu, nama dia pun tak teringin aku sebut, apatah lagi nak tengok muka dia. Jadi tak guna engkau kata engkau benci dunia kerana beginilah, begitulah dan sebagainya tentang hal dunia, padahal engkau benci akannya. Itu bukan nama benci lagi tetapi “gemar”. Akhirnya tergoda juga engkau dengan “tahi anak Adam” yang  busuk dan tidak patut didekati. Itulah bandingan bagi isi dunia.
2.30 a.m. AHAD 26/11/1978

86)   ANJING GILA
Shaikh! Engkau tentu dah pernah mengalami berjalan di hadapan anjing yang sedang menyalak. Jika engkau buat endah tak endah, maka ia pun menutup mulut dan menggoyang-goyangkan ekornya. Tetapi bila engkau ejek-ejeknya atau berbimbang-bimbang maka ia terus menyalak, mungkin menerkam dan menggigit. Ketahuilah! Syaitan yang kena laknat itu adalah ibarat anjing tadi, jangan diendahkannya.
2.32 a.m. AHAD 26/11/1978
87)   TANGAN … PEN … KERTAS

 (Nota: lakaran asal ialah tangan kanan memegang pena dan sedang menulis)
[Foto petikan dari web: http://www.flickr.com/photos/50521389@N08/5221861607/lightbox/]

Shaikh! Telitikan sejenak lakaran di atas; orang sedang menulis dengan pen di atas se helai kertas. Apa ilmu yang engkau rasa engkau boleh dapat?
1.     tiada salah satu, tangan atau pen, tidak akan menghasilkan apa-apa tulisan.
2.     kalau pen itu rosak atau habis dakwat, buang saja, beli baharu
3.     jika tangan itu tidak cacat, sentiasa elok tulisannya. Tiba-tiba pen buat “trouble”, tak keluar dakwat, mata tersumbat, pasal pen itu murah; lebih baik ganti atau beli yang lebih baik kualitinya.
Ketiga-tiga dan mungkin banyak lagi ilmu (ghaib) yang boleh diperolehi secara lahir. Pada ilmu tasawuf boleh diibaratkan; Allah itu tangan tadi dan engkau adalah pennya yang menggaris peristiwa di atas dunia ini (i.e. kertas). Jadi, jika tiada tangan (Allah) maka engkau tidak boleh menghasilkan apa-apa tulisan. Maksudnya, bukan engkau yang menulis tetapi Allah yang menulis ~ jangan salah faham. Bayangkan jika engkau pen yang “koman”, apa hal?
10.47 p.m. AHAD 26/11/1978

88)   PARUT TAK HILANG
Shaikh! Cuba tengok dekat siku tangan kanan, ada parut bekas jatuh motor ~ sakitnya tiada lagi, dulu, ya! Tetapi parut tetap lekat.
Begitulah jika engkau melakukan dosa, kemudian engkau bertaubat, tetapi bekas-bekas atau parut-parut dosa itu tetap lekat. Bayangkanlah! Engkau menyonteng di atas kertas orang dengan pensil. Takut orang marah, maka engkau pun padam cepat-cepat. Walaupun contengan itu sudah tidak kelihatan tetapi bekas conteng masih ada pada kertas tadi. Dengan pensil tak apa lagi, kalau dengan “permanent marker pen” (pen minyak) nak padam macam mana? Kertas jangan koyak.
Pensil = Dosa-dosa kecil
Permanent Marker Pen = Dosa-dosa besar
Pandai-pandailah engkau cari “pemadam” bersesuaian dengan bahan yang dibuat tulis / conteng tadi.
10.59 p.m. AHAD 26/11/1978

89)   BERGAUL DENGAN MUSUH
Shaikh! Awasilah di dalam pergaulan engkau dengan musuh-musuh Allah iaitu orang-orang kafir, yang sepek mata dan putih kulitnya. Di mulut mereka akan tertanam tebu yang manis sekali sehingga engkau hampir sujud dan tertarik tetapi ingat!! Manusia terdiri dari lahir dan batin dan gambaran lahir bukanlah gambaran batin yang sebenarnya. AWAS. Musuh hidup berpura-pura.
Ingatlah. Mereka akan bersusah hati, berdukacita, benci, marah sekira-nya engkau bahagia, berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan dan bersatu padu dengan sahabat-sahabatmu. Mereka akan gembira, suka-cita seolah-olah lepas dari sengsara jika engkau gagal, berkelahi sesama sendiri, jatuh miskin, hidup ditipu dan sengsara.
Awas! Bukan tak boleh engkau bersahabat dengan mereka; bersahabat-lah tetapi dengan lahir tak sampai ke batin, carilah ilmu yang munafaat dari mereka.
10.50 p.m. SABTU 2/12/1978
90)   TIGA ASAS DAKWAH
Ketahuilah dan ingatlah, Shaikh! Berdakwah adalah kewajiban setiap orang Islam, bukan kewajiban pada golongan tertentu sahaja. Asas dakwah ada tiga:-
1.     memudahkan, jangan kamu persukarkan
2.     gembirakanlah, jangan pertakutkan
3.     hendaklah saling rukun dan jangan saling bersengketa
Demikianlah pesan Rasulullah s.a.w. kepada “Pendakwah-pendakwah”. Faham dan amal
11.00 p.m. SELASA 5/12/1978

91)   DAKWAH BERDIPLOMASI
Shaikh! Berdakwahlah dengan “diplomasi” dan menarik perhatian bukan dengan cara kasar dan mengujudkan kebencian orang. Kerana jika berkasar, tubuh dan kekuatan perkataan manusia itu dapat ditakluki tetapi BATIN manusia tidak rela menyerah dengan kekerasan dan paksaan.
Tidak guna dicat dan digilapkan badan “kereta” jika enjin dan jentera penggeraknya kotor berkarat dan rosak selalu. Qiaskan.
11.06 p.m. SABTU 2/12/1978
- 1979 -
92)   TUNAS DICANTAS
Shaikh! Sedarilah. Agama Allah yang sedang engkau tegakkan adalah ibarat tunas muda yang masa sekarang ingin menjenguk dan menghirup dunia ciptaan Allah yang luas; tetapi sentiasa diserang dari segala sudut samada dari golongan yang mengaku dirinya Islam atau orang-orang kafir yang ingin menghapus licin tunas muda itu. Oleh kerana Islam itu “Ad-diin” Allah dan dengan kebenaran jua, walau bagaimana hebatnya tentangan, tunas muda tetap hidup subur dan membesar dan menghasilkan buah yang manis dan dikecapi dunia dan akhirat. Apabila bijinya dibuang ke bumi, tunas lain akan tumbuh ~ itulah agama Islam, agama yang hak. Demikianlah Allah menjadikan dan merancang serta melaksanakan segala rancangan dengan kehendakNya tanpa memerlukan bantuan makhluk. Allah yang Esa; Yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menjatuhkan sesiapa yang dikehendakiNya. Telah banyak terjadi, golongan yang kecil menewaskan golongan yang lebih besar dengan bantuan Allah s.w.t. jua. Memang segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak nafsu akan ditentang habis-habisan oleh orang yang bertuhankan nafsu. Jika engkau tidak menghadapinya dengan wajar maka tidaklah dinamakan jihad di jalan Allah. contohilah penegak “Ikhwanul Muslimin”, Asy-syahid Syed Qutub (Hassan Al Banaa) yang perjuangannya berakhir di tali gantung dengan wajah riang berseri hendak mengadap Khaliqnya yang tercinta. Demikianlah Islam. Jika syahid seorang kekasih Allah, bukan bermakna Islam mundur ke belakang satu huun tetapi bercambah lagi tunas-tunas muda dengan perjuangan walaupun berakhir di tali gantung, di “galotin”, ditembak oleh penzalim, dikurung bersama singa lapar dan lain-lain.
Tidak mati seseorang melainkan sampai ajalnya, kehendak Allah. Dan jangan disangka orang yang syahid itu mati bahkan mereka hidup riang dengan beroleh rezeki dari Allah. Tidak dinamakan perjuangan kalau engkau tidak menempuhi halangan-halangan apabila engkau melakukan yang hak. Setiap yang hak akan menang dan yang batil akan musnah.
Allaahu Akbar. Subhaanallaah walhamdulillaah walaa ilaaha illallaahu wallaahu Akbar.
Barangsiapa menolong agama Allah; Allah akan menolongnya.
Telah menjadi tabiat orang yang berajakan nafsu bahawa perkara yang berlawan dengan kehendaknya tetapi “benar” dianggap satu penyakit yang telah membebankan dirinya walaupun dilakukan oleh orang lain. Tetapi perkara-perkara yang se jalan dengan nafsunya walaupun “bertentangan dan berlawanan” dengan hukum Allah akan didiamkan sahaja atau memadai dengan senyum redza dan disambut riang gembira dengan keramaian besar-besaran oleh para syaitan jahannam tanda kemenangan. Ingatlah! Kesombongan Fir’aun berakhir di Laut Merah, Qarun di dalam tanah, Shah Iran di tangan Khomeini. Itulah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah.
Ingatlah! Kesombongan engkau dengan nikmat yang Allah limpahkan akan berakhir 7 kaki dari paras tanah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada ku untuk menegakkan syiar Engkau kerana mengharap pertemuan dengan Mu.
12.53 a.m. 9/2/1979 = 12 Rabiul’awwal 1399 
Maulidur Rasul s.a.w.

93)   MUFLIS
Shaikh! Berikhtiar jauhkan diri dari menjadi muflis di dunia dan akhirat. Di akhirat kelak akan ada golongan di mana buku-buku amalan mereka yang dipenuhi kebajikan tetapi Allah memerintahkan agar dicampak buang buku itu (amalan kebajikannya tidak diterima) kerana segala amalannya tidak ditujukan atau dialamatkan kepada Allah sebaliknya semata-mata ingin mendapat pangkat dan sanjungan orang. Golongan inilah yang merugi di akhirat kelak.
5.30 a.m. SABTU 10/2/1979 = 13 Rabiul’awwal 1399

94)   MUSAFIR
Ingatlah Shaikh! Dunia ini cuma tempat musafir berehat sebelum meneruskan perjalanan yang jauh lagi sukar. Maka carilah bekalan yang tahan lama, tahan berhujan berpanas supaya ia masih elok ketika sampai ke tempat yang dituju.
Sesungguhnya Allah Maha Baik; tidak diterimanya melainkan barang yang baik. Maka jika hendak bersedekah, sedekahlah barang yang engkau sayangi, jika boleh sorok-sorok ~ lebih besar ganjarannya.
2.15 a.m. RABU 21/2/1979

95)   BERDIALOG DENGAN ATHEIS
Misalkan engkau ditanya oleh seorang atheis (orang yang tak percaya ujudnya Tuhan) seperti berikut :-
1.     engkau kata Tuhan itu ada, tunjukkan kepada ku
2.     jika Tuhanmu ada, apa yang dia buat sekarang?
3.     jika Tuhanmu ada, di mana dia duduk sekarang?

Jawapan kepada soalan pertama; Sekarang beri contoh kepadanya dengan mengambil se kuntum bunga yang cantik dan harum mewangi. Maka wanginya bunga itu seolah-olah ujudnya Allah; yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Beri pula contoh susu lembu ~ diminum cukup dengan lemak, manis, masam dan lain-lain walaupun tidak berbau, maka begitulah seolah-olah ujudnya Allah, walau pun rasa itu tidak kelihatan. Tanya pula kepadanya (atheis) itu hidup atau mati ~ jawapannya hidup, mestilah ada ruh maka adanya ruh tadi seolah-olah adanya Allah yang tidak kelihatan.
Soalan kedua: apa yang Allah sedang lakukan? Apa yang berlaku sekarang, seperti aku menulis ini, maka itulah yang sedang Allah lakukan ~ mentadbir atau mengurus isi alam (seluruh alam - alam Malaikat, ruh dan lain-lain).
Soalan ketiga: di mana Allah tinggal? Tanya pula kepada atheis tadi - di mana letaknya ruh atau nyawa pada jasadnya. Demikianlah kedudukan Allah. ingatlah! Kebanyakan atheis yakin sesuatu ada dengan berhukum kepada pancainderanya yang lima i.e. mata, tangan, telinga, hidung dan mulut.
Maka tanyalah kepadanya, dengan menunjuk kepada sebarang objek di depan matanya, misalnya kerusi dan lain-lain - tanyalah siapa yang membuatnya - tentulah tukang buat perabut; sekarang tanya pula dia - di mana tukang itu ada sekarang, bagaimana rupanya, apa dia sedang buat sekarang, betulkah dia ada dan lain-lain. Maka kaitkan dengan ujudnya Allah.
Jika ilmu ketauhidan engkau cetek, janganlah berani berdebat dengan orang yang jahil tetapi berdebatlah dengan cara yang paling baik, ikhlas dan mengharap keredzaan Allah agar dibuka hati mereka yang jahil.
Ya Allah! berilah petunjuk dan hidayah kepada kami yang lemah ini.
12.22 a.m. SABTU 24/2/1979

96)   CERAMAH USTAZ NIKMAT YUSOF
(NOTA : Catetan ceramah oleh Al-Ustaz Nikmat Yusuf, Maktab Mahmood, Alor Setar, Kedah)
1.     ILMU - AMAL - IKHLAS
2.     DUNIA - NAFSU - SYAITAN = joint venture menyerang hamba Allah supaya hamba itu melupai janji-janjinya di masa alam ruh dahulu untuk mengabdikan diri kepada Allah di muka bumi ini.
3.     syaitan ada dua permit yang diberikan Allah; pertama, ia hidup sampai akhir zaman / dunia dan kedua, menggoda hamba Allah tanpa dilihat, sehingga bersama-sama dengannya di dalam neraka kelak.
Ilmu ialah “qualification” seorang hamba Allah di atas muka bumi. Dengan ilmulah kita beramal dan dihiasi
pula amal dengan “ikhlas” kerana menuntut keredzaan Allah dan memenuhi janji-janji kita dahulu.
Salah satu tanda Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani ialah:- 
Ambil sebarang makanan - sebelum disuap ke dalam mulut, hidung bertindak sebagai “spy hidu” - jika barang makanan bersih dan baik dibenarkan masuk ke mulut. Jika busuk atau dah basi dihalang masuk - seperti kominis atau subversif ~ dan badan sebagai sebuah negara. Tetapi ada juga yang terlepas masuk. Kemudian melalui “gate Kastam” iaitu gigi - mengunyah sampai lumat, kalau barang yang tak boleh dipecahkan dibuang negeri. Ada juga yang terlepas dari Eksais atau Kastam, ada pula bahagian department lain yang memeriksa iaitu lidah - masam, manis, pahit, masin. Subhaanallaah walhamdulillaah.


Ada juga Kastam yang melepaskan masuk kominis-kominis dengan banyak samada kerana rasuah atau lain-lain dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya ibu yang mengandung, ada saluran lain yang berkehendakan kepada lebih rasa masam, maka diselaraskan atau diseimbangkan dengan rasa-rasa lain pula seperti kicap atau gula. Demikianlah kebesaran Allah dan betapa Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian tetapi sedikit sangat manusia yang mahu mensyukuri nikmat yang Allah limpahkan. Manusia suka mengeluh walau pun Allah telah melimpahkan nikmat melebihi air lautan berkali-kali ganda dan diambil se titik darinya. Misalnya; diberinya seorang itu murah rezeki - bergaji besar, pangkat dunia dan lain-lain, tetapi apabila kehilangan $5.00 dari poketnya, ia dah menggelisah belum lagi hilang rumah atau anak bini. Sesetengah orang miskin mengeluh “saya miskin”, sehelai sepinggang, tiada rumah besar, kereta dan lain-lain. Tanya kepadanya, berapa jumlah harta semua tadi, katakanlah setengah juta ringgit. Sekarang katakan ada seorang “millionaire” accident kemudian buta se biji matanya. Tanya kepada si miskin tadi, adakah ia hendak menjadi kaya dengan menjual sebiji matanya … dengan harga dua juta ringgit? Tentu tidak mahu kan …. Kiaskanlah dengan anggota lain. Jadi bandingkan nilai nikmat yang Allah beri pada jasad kita dengan nikmat kebendaan yang kita pakai setiap waktu. Jauh lebih mahal dan dan lebih besar nikmatnya. Jadi janganlah mengeluh dan buruk sangka terhadap Allah s.w.t. bersyukurlah dan bertaubatlah.
12.54 a.m. SABTU 24/2/1979
97)   RATAPAN AHLI SUFI
YA TUHAN KU
SESUNGGUHNYA SYURGA FIRDAUS MU BUKANLAH BAGI KU AHLINYA DAN TIDAK SANGGUP AKU MENGHADAPI NERAKA JAHANNAM MU
MAKA ….
AMPUNILAH AKU DAN TERIMALAH TAUBAT KU …
SESUNGGUHNYA ENGKAU MAHA PENGAMPUN DAN MAHA MENERIMA TAUBAT.
AMIIN YAA RABBAL’AALAMIIN
11.30 p.m. KHAMIS 8/3/1979

98)   BENCIKAN MANUSIA?
Shaikh yang lemah! Adakah engkau benci kepada manusia yang jahil? Atau kepada mereka yang tahu tanggungjawabnya terhadap manusia dan Allah tetapi tidak melaksanakannya kerana sibok dan ditipu oleh dunia? Atau mereka yang Islam baka (ibubapa Islam … aku Islamlah!)? sehingga mereka beriman? Janganlah engkau benci kepada mereka jika engkau mencintai Allah. Allah yang menjadikan mereka dan engkau juga demikian rupa. Taufik dan hidayah itu dari Allah … engkau berikhtiar dan berserah diri kepada Allah di atas setiap pekerjaan. Engkau harus menyintai setiap yang Allah jadikan kerana Allah adalah matlamat cinta dan hati engkau … cinta yang tidak berunsurkan nafsu dan campurtangan seteru Allah. Jadi, serulah mereka dan peringatilah mereka termasuk diri engkau sendiri …. tentang matlamat utama sebagai khalifah di muka bumi ini bukan bumi ini khalifah kepada manusia.
11.40 p.m. KHAMIS 8/3/1979

99)   SYARAHAN OLEH SOHIBUL FADZILAH HJ. HARUSANI
(Nota catetan syarahan)
Pegangan seorang pendakwah terdapat di dalam Surah Al-Muddaththir (orang yang berkemul atau berselimut); surah ke 74, ayat 1 - 10 yang bermaksud;
1.     WAHAI ORANG YANG BERKEMUL
2.     BANGUNLAH, LALU BERILAH PERINGATAN
3.     DAN TUHANMU, AGUNGKANLAH
4.     DAN PAKAIANMU, BERSIHKANLAH
5.     DAN PERBUATAN DOSA, TINGGALKANLAH
6.     DAN JANGANLAH KAMU MEMBERI (DENGAN MAKSUD) MEMPEROLEHI (BALASAN) YANG LEBIH BANYAK
7.     DAN UNTUK (MEMENUHI PERINTAH) TUHANMU, BERSABAR-LAH
8.     APABILA DITIUP SANGKAKALA
9.     MAKA WAKTU ITU ADALAH WAKTU (DATANGNYA) HARI YANG SULIT
10.  BAGI ORANG-ORANG KAFIR LAGI TIDAK MUDAH.
11.55 p.m. KHAMIS 8/3/1979

100)   SYARAHAN USTAZ GHAZALI HJ. DIN
(Catetan syarahan oleh Ustaz Ghazali Haji Din dari Merbok, Kedah bertempat di Jalan Maqbul, Sungai Pinang, Pulau Pinang)
Orang Mukmin yang sebenar ialah apabila disebut nama Allah maka gementarlah hatinya dan apabila dibaca ayat-ayat Allah, bertambah imannya dan kepada Allah ia bertawakkal - petikan maksud Al-Qur’an
Allah mencipta seluruh alam (planet dan lain-lain termasuk syurga) selama 6 hari - lengkap segala-galanya - kemudian dipilih Khalifah di atas muka bumi ini. Malaikat tidak boleh, juga binatang-binatang - mereka tidak memerlukan kepada kebendaan - diciptalah Adam a.s. dari tujuh unsur tanah ~ tidak beribubapa - dijadikan pula Hawa dari tulang rusuk Adam - ada bapa tidak beribu ~ manusia mempertikaikan lagi kekuasaan Allah - dijadikan pula Nabi Isa a.s. tidak berbapa. Ditambah lagi dengan manusia-manusia yang beribu berbapa sebagai tanda kekuasaan Allah - lagi tanda kekuasaan Allah, dihimpun dan dihidupkan kembali yang mati - lebih mudah bagi Allah mengadakan sesuatu yang sudah ada.
Di hari kelahiran Rasulullah s.a.w. pada malam Isnin 12 Rabiul Awwal disambut oleh dua orang wanita istimewa dari syurga iaitu Aisyah (isteri Fir’aun l.a.; sepupu dengan Nabi Musa a.s.) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) yang hebat ~ supaya Aminah kagum ketika melahirkan Nabi Muhammad s.a.w. Pada waktu itu, api pemujaan berhala di Iran yang tidak pernah padam telah jatuh, akan kegerunan kelahiran junjungan Rasulullah s.a.w.
Sebelum Islam, perempuan telah diletakkan di tempat paling keji dan hina. Zaman jahiliyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup lantaran malu; di Tiongkok (negeri Cina) - dipakaikan kasut besi supaya perempuan jangan keluar berjalan kerana kaki kecil; di India pula, perempuan mesti mati bersama-sama dengan suaminya (yang mati); di Mesir, Ratu Mesir yang paling cantik dibuang ke dalam Sungai Nil sebagai makanan jin; di France (Perancis) wanita dipakaikan dengan jala seperti mulut anjing kerana kononnya pada senyuman wanita terdapat panahan jin dan lain-lain lagi.
Islam menghormati kaum wanita sebagai barang bernilai dan pendidik generasi yang harus dilindungi dan dipelihara. Termasuk aurat - tidak terdedah seperti “rail keretapi” tetapi seperti intan berlian yang bernilai.
-------------
Wudhu - thoharah - ertinya bersihkan:
1.     muka - terdapat lima pancaindera penting yang harus dicuci i.e. mata dari melihat yang haram, hidung dari menghidu yang ditegah, mulut dari makan yang haram, lidah dari yang mencela, mengumpat dan berbohong ~ 30% Muslim
2.     tangan hingga ke siku (tidak ke bahu) - cuci dari membuat kerja-kerja yang ditegah seperti main judi, pukul orang dll. - satu tanda kebesaran Allah ialah tangan bersiku dan bersendi dll supaya mudah ~ 50% Muslim
3.     ubun-ubun - isyarat mencuci otak yang di dalam tengkorak supaya berfikir yang mendatangkan kebaikan (ilmu pengetahuan) tidak perkara-perkara yang keji ~ 80% Muslim
4.     kaki - dicuci dari berjalan ke tempat maksiat ~ 100% Muslim
Maka amanlah masyarakat kita.
-------------
Di dalam sembahyang pula, elokkan peradaban dan bacaan-bacaan. Di dalam Al-Fatihah terdapat 14 sabdu (“w” seperti bukit) terutama di ayat “iiyaaka na’budu wa iiyaaka nasta’ain”. Jika tidak disebut dengan betul akan membawa makna, “engkau matahari yang aku sembah” seperti kisah seorang Hindu naik jet tabuan dengan Mat Saleh (Inggeris)- bila pening ia nak turun tetapi Mat Saleh dengar seperti Two Round.
Pakailah pakaian yang cantik kerana mengadap Agung daripada segala yang agung. Tidak akan dipeduli sembahyang yang tidak tentu bacaan-nya - seperti cepat-cepat dll.
Di dalam doa Iftitah - segala perbuatan, solat, hidup dan mati adalah kerana Allah - tiada kawan bagi Allah dan aku bukanlah dari orang Musyrikin.
Ketika ruku’, kepala yang suci sama paras (taraf) dengan kemaluan - sama seperti haiwan; menunjukkan betapa rendahnya manusia dengan Allah; kemudian iktidal - manusia rasa bangga berdiri tegak - diperintah Allah sujud terus ke bawah lagi di mana kemaluan lebih tinggi dari otak kepala yang suci ~ seperti binatang meragut rumput ~ yang sanggup sujud demikian ialah sebenar-benar Mukmin.
-------------
“Orang yang takut kepada Allah ialah yang berilmu pengetahuan (ulamak)” - maksud Al-Qur’an. Di dalam Islam sesiapa yang berilmu tidak kira apa jurusan dipanggil ulamak i.e. yang tahu, mengamal dan membaiki yang rosak. Sekarang seolah-olah ada dua golongan i.e. intelek dan ulamak, masing-masing bercanggah. Jadi, “pemuda”lah sebagai penyelesai masalah ini (seperti terdapat di dalam Al-Qur’an) supaya aman negara - kerjasama dua pihak. Seperti cerita seorang Pencen (orang besar) bermenantukan seorang saintis dan seorang lebai. Ditanya mengapa rumput di tepi parit cepat subur? Si saintis menjawab kerana baja banyak di situ. Ditanya pula kepada si alim, dijawabnya itu ialah kuasa Allah; buktinya bulu hidung cukup baja tetapi tidak menjulur keluar. Masalah kedua; mengapa suara angsa kuat? Saintis kata pasal lehernya panjang tetapi si lebai jawab itu kuasa Allah kerana ular paling panjang lehernya tetapi tidak bersuara tetapi katak “ong” tak berleher berbunyi lagi kuat. Matlamat sekarang ialah menggabungkan kedua-dua golongan ini dengan bijaksana, baharulah ekonomi, politik dan hak-hak Islam terjamin.
-------------
menyambut hari jadi anak pada tarikh lahir adalah HARAM kerana firman Allah yang bermaksud “Akulah yang menetapkan tarikh lahir di dalam kandungan seseorang …..” (nota: catetan terjemahan ini mungkin kurang tepat). Boleh jika sebagai memperingati kelahirannya.
Masyarakat Islam adalah seperti jari di tangan - ada jari kurus panjang, pertengahan, pendek gemuk, jari hantu dan jari manis disarung cincin yang cantik dan bernilai tetapi apabila melakukan sesuatu kerja, tiada jari yang memberontak - tiada irihati di dalam Islam. Jika seseorang itu kaya dan berpangkat sebalknya yang kaya membantu yang miskin dan yang miskin bertanggungjawab atas yang kaya.
-------------
Orang yahudi dan kristian tidak senang selagi orang Islam tidak mengikut mereka. Selagi orang Islam berpegang dengan Al-Qur’an dan Hadith Nabi s.a.w. maka ia tidak akan sesat dan ditipu oleh dunia.
-------------
Cinta kepada Rasulullah s.a.w. bukan dengan laungan solawat tetapi disertai dengan maksiat; tetapi melakukan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan yang munkar.
-------------
Rezeki dan ganjaran baik telah dijamin oleh Allah, mengapa masih tidak mahu bersyukur kepada Allah? Allah menghormati makhlukNya, tidak kira Islam atau kafir - tandanya ketika tidur, dihantar Malaikat mengawas dari serangga dan lain-lain. Bila mati tiada lagi Malaikat mengawal. Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian (seperti contoh yang diberi oleh Ustaz Nikmat Yusof).
“Orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (maksud Al-Qur’an, Surah Al-Baqarah ayat 120)”
1.15 a.m. AHAD 11/3/1979

Alhamdulillah! Tamat mengkomputerkan “Dari Kacamata Mahdzar 1” pada 29 Julai 2002 = 18 Jamadil Awwal 1423 jam 12.30 a.m.

[akan menyusul Dari Kacamata Mahdzar 2, Insya'allah]

No comments:

Post a Comment