Tuesday, February 26, 2013

111.0 Dari Kacamata Mahdzar (1) - Bahagian 2


41        LEBIH BAIK TUTUP MULUT
REMEMBER !! KETAJAMAN LIDAH ADALAH LEBIH DARIPADA PARANG YNG MEMBELAH BATU.
BERCERITA-CERITA TENTANG KELEMAHAN SESEORANG DI DEPANNYA - MENJATUHKAN MARUAHNYA, BERCERITA-CERITA DI BELAKANGNYA - MENGUMPAT.
LEBIH BAIK TUTUP SAHAJA MULUT TU.
7.00 p.m. RABU 3/5/1978
42        ALIM PUN KENA TIPU
REMEMBER SHAIKH!! Jagalah dirimu dari ditipu oleh syaitan dengan berdindingkan “KERANA ALLAH”.

Ingatlah, seorang alim telah ditipu syaitan apabila niat hendak menolong seorang janda yang akhirnya menjadi penzina dan pembunuh ibu dan anak ~ asalnya “KERANA ALLAH”.

11.30 a.m. 13/5/1978

43        BERIMAN HINGGA KE KUBUR
Shaikh! Janganlah engkau fikir engkau telah beriman dan akan terus beriman sehingga jasadmu terbenam ke perut bumi … KERANA … kerana ujian dan dugaan dari Allah, dari wang ringgit, harta, anak isteri telah mengubah ramai sikap alim-alim ulamak kepada taraf yang lebih rendah dari orang-orang jahil TETAPI ada juga dan memang ramai yang dengan kehendak Allah “azza wajalla” telah merubah beberapa sikap dan sifat yang keji pada masyarakat kepada sifat yang terpuji,dari seorang pelacur, groovy, rugget, berbikini, mini skirt kepada seorang yang cuma kelihatan muka dan telapak tangan yang suci ~ dan Allah Maha Pengampun lagi penerima taubat. Selagi hidup dan bernyawa, selama itu pintu taubat terbuka. Dah kaku sejuk - MATI - tidak terbuka lagi.
11.45 a.m. 13/5/1978
44        MANUSIA DUA WAJAH
Shaikh! Misalnya engkau dilantik menjadi Hakim, apakah yang engkau hendak hukumkan kepada orang seperti ini:-
Bila beribadat fardhu, mendirikan solah dan ibadat-ibadat yang lain, dibuatnya bersungguh-sungguh, berpakaian seperti orang-orang alim dan pada zahirnya memang ahli syurga tetapi di luar solah, di luar masjid, di luar bulan Ramazan, dilihat zahirnya berlainan sekali ~ seluar yengki Wrangler, bell bottom, jean, hisap rokok, jalan sana sini, kacau perempuanlah, dating lah, apakah ini juga pakaian seorang alim? Adakah ini diredzai Allah? adakah ini gambaran batin juga? Ada kalanya tak boleh berenggang dengan mendengar ayat-ayat suci, lagu-lagu memuji Allah tetapi ada masanya terkumit-kumit juga mulut dengan lagu-lagu rancak SMOKIE, Boney M dll. ~ party ikut juga. Adakah hati terus berdenyut menyebut ALLAH di kala itu? Hukumkan sendiri.
10.30 p.m. 15/5/1978
45        PENEBUS DOSA
Shaikh! Janganlah engkau mengeluh panjang jika engkau ditimpa bala; misalnya accident motor, penyakit gatal, tak lalu makan ikan, kuruslah dan macam-macam lagi. Apa yang mesti dipersoalkan ialah:-
Satu saat di padang mahsyar pada hari qiamat = beribu tahun di dunia; azab satu saat di akhirat memang tidak upaya ditanggung olehmu. Maka bersabarlah engkau menerima segala PENEBUS DOSA engkau di dunia - lebih baik lagi.
11.45 p.m. 21/5/1978
46        BAHAGIAN DI DUNIA & AKHIRAT
Shaikh! Jika setiap langkah engkau, engkau sertakan niat hendakkan kemewahan dan kenikmatan duniawi, Insya’allah! Allah akan kurniakan TETAPI INGAT! INGAT DAN AWAS! TIADA BAHAGIAN ENGKAU DI AKHIRAT KELAK - RUGILAH ENGKAU. Pohonlah kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan minta berlindung dengan Allah dari azab api neraka - Insya’allah diqabul.
11.50 p.m. 21/5/1978
47        KELEKATU
RABBI ZIDNII ‘ILMAA



Shaikh! Shaikh! Awatlah hang ni bodoh sangat, dok jadi kelekatu malam; bila hari hujan, keluaq ghamai-ghamai pi teghepa dekat lampu yang bernyala terang - dah tahu lampu tu hangat … dak … dok beghetoh juga, menyiksa diri sendiri tapi cubalah jadi kuda ~ apabila dengaq musuh mengaum dari jauh, dah susun tapak seribu - cabut 100 m.p.h. bukan pengecut tetapi kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri untuk mempertahankan diri berbanding dengan kekuatan musuh ~ jangan dok CUBA TRY, macam kelekatu berani try ~ tak dak ilmu ~ jahil ~ nasihat orang tak mau dengaq. Tu dia laa! Tiap-tiap satu yang Allah jadikan ialah untuk manusia mengambil pelajaran darinya mengatasi kejahilan.
12.10 a.m. 21/5/1978




49        PISAU DAN TIMUN
Shaikh! Oghang kata …. Pisau di tangan kanan dan timun di tangan kiri - tunggu apa lagi, potong sajalah!! Tapi ingat dulu Shaikh …
q  Tajam dah kaa pisau tu supaya timun tak cacat
q  Timun tu pahit ka manis ka - rasa dulu sikit
q  Jangan potong atau hiris tak tentu hala - pisau, timun dan jari pun nanti rosak
q  Pisau bukan se bilah … timun bukan sebiji …. Jangan gopoh
12.15 a.m. AHAD 21/5/1978
50        SOAL JAWAB RUHANI & JASMANI 1
SOAL   :           apa yang engkau takut?
JAWAB :           takut derhaka kepada Allah, Rasul dan ibubapa ku.
SOAL   :           lagi?
JAWAB :          aku takut, aku sanggup bertungkus lumus kerana             oghang, belanja oghang lebih lagi, tetapi tidak sanggup aku menolong kedua orang tuaku .. walaupun tolong hantar bapaku ke masjid atau ibuku ke rumah sakit dengan nikmat Allah yang ada padaku.
SOAL    :          ada lagi tak?
JAWAB :          ada!!
SOAL    :          apa dia?
JAWAB :          aku sayang bini aku, anak aku … harta aku lebih dari kecintaan aku untuk bertemu dengan Allah, dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan ibubapa aku.
SOAL    :          ada lagi kot?
JAWAB :          ada, banyak lagi .. memadailah takat yang besar-besar ni.
SELASA 23/5/1978
51        SOAL JAWAB RUHANI & JASMANI 2
RABBI ZIDNII ‘ILMAA
SOAL   :           apa yang engkau khuatirkan?
JAWAB :           cuba tanya apa yang aku TAK khuatirkan dahulu
SOAL   :           okay lah! Apa yang kau TAK khuatirkan?
JAWAB :          aku tak khuatir kalau aku ditimpa bala, kalau aku tak banyak harta macam Boon Siew, atau jadi papa TETAPI apa yang aku khuatirkan ialah di antaranya … satu masa kerana aku terlalu-lalu very very busy dengan hal duniawi hingga tiada masa aku meletakkan dahiku di atas lantai, sehingga aku tidak tahu apa harus aku lakukan di bulan Ramadzan; tiada masa aku nak mengambil tahu hal keluargaku, lebih-lebih lagi ibubapa aku.
SOAL    :          ada apa-apa lagi tak?
JAWAB :          ada! Aku khuatir satu masa aku tak kenal diriku sendiri dan apa tujuan aku dihidupkan di muka bumi ini.
SELASA 23/5/1978

52        KAUM CINA
Shaikh! Renungkanlah tentang kehidupan satu kaum i.e. Cina; sebabnya istimewa juga tau; seorang atau sekeluarga Cina biasa hidup walaupun terhimpit di kelilingi oleh orang-orang Melayu tetapi kalau seorang Melayu tidak pernah hidup dikelilingi oleh kaum Cina. Mengapa jadi begini? Selidik dan banyak soal ~ akhirnya akan dapat jawapan.
SELASA 23/5/1978
53        BUKTI KEPADA DUNIA
Shaikh! Apakah yang engkau hendak buktikan kepada masyarakat dan dunia Islam?
Aku nak buktikan bahawa Islamlah agama yang benar dan diredzai Allah; akulah orang Islam dan agama Islam adalah maju dalam setiap zaman. Umat Islam adalah umat yang digeruni di atas muka bumi ini; digeruni kerana kebenarannya bukan ketakburannya atau wang ringgit.
Aku nak buktikan bahawa tiada sebab yang boleh menghalang seorang umat daripada mendirikan solah walaupun di mana jua ia berada, dalam keadaan apa sekalipun. Aku nak buktikan bahawa agama Islam ialah agama yang mudah tidak memberatkan umatnya.
10.30 p.m. SELASA 23/5/1978
54        THE BEST!
RABBI ZIDNII ‘ILMAA
NEVER THINK YOU’RE THE BEST! BUT YOU HAD TRIED THE BEST.
Manusia cuma berupaya berikhtiar menyempurnakan dirinya … dan tidak pernah ujud manusia yang paling sempurna selain dari Rasul-Rasul dan siapa-siapa yang bersifat seperti yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan Al Hadith.
10.30 p.m. SELASA 23/5/1978
55        HORMATI SAHABAT IBUBAPA
Shaikh! Hormatilah sahabat-sahabat kedua ibubapamu walaupun ketika keduanya masih hidup ataupun telah maati. Jika mereka (sahabat kepada ibubapa) suka membawa mulut, mengumpat dan buat perkara-perkara yang tidak menyenangkan, maka tutup sahaja mata dan telinga engkau ~ jangan putuskan tali silaturrahiim sesama Islam lebih-lebih lagi sahabat kepada kedua ibubapamu. Ingatlah akan “Hablum minallaah” dan “hablum minannaas”; walau bagaimanapun keadaan mereka, mereka tetap lebih tua dan sewajarnya dihormati. Mudah-mudahan dengan tingkahlaku engkau yang baik boleh mengubah sikap mereka. Jika mereka memuji akan tingkahlaku engkau, maka asuhan, didikan serta nama kedua ibubapamu yang disebut-sebut.
2.30 p.m. KHAMIS 25/5/1978
56        JANGAN BURUK SANGKA
Shaikh! Janganlah memburuksangkakan sesama manusia apatah lagi sesama saudara mara kerana kemungkinan yang diburuksangkakan itu lebih baik, entah berpuluh malah beratus-ratus kali dari engkau, dari kebajikan yang dilakukannya yang tidak engkau ketahui.
8.30 p.m. SABTU 27/5/1978
57        UBAT PENYAKIT JIWA
Shaikh Oi! Bukanlah dengan wang ringgit dapat mengubati “Penyakit Jiwa” tetapi kelakuan yang menyenangkan hati orang yang sakit jiwa itu boleh membunuh sehingga kuman-kuman penyakit itu tak dapat hidup.
8.30 p.m. SABTU 27/5/1978

58        HATI = MULUT
Shaikh! Hati dan mulut adalah dua unsur yang sama sifat tetapi manusia membezakannya dengan disalahgunakan. Apa yang keluar dari mulut boleh didengar tetapi apa-apa yang tersimpan di dalam hati, Allah jua yang mengetahui.
Jahat mulut tetapi baik hati tidak aku takut tetapi jahat hati, manis di mulut paling ku khuatiri.
Orang yang jahat mulut mungkin tidak sampai hati untuk membunuh tetapi orang yang jahat hati, manis mulut memang berani membunuh.
Itulah beza di antara hati dan mulut. Bentukkan dirimu supaya baik mulut dan baik hati.
9.20 p.m. SABTU 27/5/1978
59        SUMPAH DENGAN NAMA ALLAH
Shaikh! Ingatlah ketika bapa manusia, Nabi Allah Adam a.s. ditipu oleh syaitan dengan buah “khuldi” yang menjadi larangan Allah. Di ketika itulah, Nabi Adam a.s. lapar, dahaga dan lupa, mungkin. Iblis l.a. bersumpah dengan nama Allah, akan niatnya yang baik kononnya.
Jadi, di masa engkau hidup ini, awaslah dengan orang-orang yang seperti engkau tetapi terasuk syaitan yang tak kelihatan pada mata manusia, yang mungkin bermulut manis dan bersumpah dengan nama Allah pula supaya engkau mengikut jalannya yang serong dan sesat.
AWAS! AWAS! Syaitan nampak engkau, engkau tak nampak dia. Itulah musuh ketat engkau yang paling dangerous.
10.23 p.m. ISNIN 12/6/1978

60        RETURN TO SENDER
Perhati dan renungilah! Dengarlah nasihat ini.
Orang yang hidupnya teraniaya di permukaan bumi ini janganlah terlalu bersedih hati, bersabarlah. Tuhan sanggup membalikkan penganiayaan itu ke alamat asalnya (orang yang membuat aniaya itu). Orang yang menganiayanya, jangan terlalu bergembira dalam hidup, pasti akan merasakan sakit dan pedihnya penganiayaan yang dia lakukan itu. (rujuk Kesah Nabi Adam a.s. dari buku “Rangkaian Cerita Dalam Al-Qur’an” oleh Bey Arifin, m.s. 23).
Jadi, kalau engkau teraniaya, BERSABARLAH tetapi jika engkau pernah menganiaya sesiapa, BERTAUBATLAH dan mohonlah keampunan Allah banyak-banyak.
10.38 p.m. ISNIN 12/6/1978
61        QABIL VS HABIL
Shaikh! Ingatkah lagi kesah pembunuhan atau pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini? I.e. ketika Qabil (abang) membunuh Habil (adik kandungnya sendiri), di hatinya dengan dorongan nafsu terselit hasad dengki yang memberi titian bagi iblis merasuk dan menghasut sehingga ia tergamak membunuh. Setelah berjaya, gembiralah syaitan yang kena laknat Allah itu dan Qabil menyesal dengan sebenar-benar sesalan - suasana dan keadaan Qabil memang sama dengan apa yang berlaku sekarang kepada kebanyakan manusia - buat maksiat - sesal; ada di antaranya sempat bertaubat dan disucikan Allah segala dosanya kerana ia berilmu pengetahuan. Bagai-mana pula dengan yang JAHIL, yang tertutup pintu hati dan meninggal dalam keadaan MAKSIAT? Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
10.47 p.m. ISNIN 12/6/1978

62        QABIL VS HABIL 2
Shaikh! QABIL menanam mayat HABIL setelah ia melihat peristiwa perkelahian burung-burung gagak yang menanam mangsanya yang dibunuh. Jadi, dengan apa yang Allah kurniakan seperti mata dan lain-lain, lihatlah keadaan alam sekeliling dan pelajarilah darinya semoga engkau lebih mensyukuri dan membesarkan Allah.
10.51 p.m. ISNIN 12/6/1978
63        DICISION MAKING
Dari dahulu sampai sekarang, aku masih belum cekap (tidak tahu bertin-dak dalam masa yang singkat sekali) di dalam membuat keputusan (decision making) ~ aku masih berharap dan bergantung kepada ide-ide dan pertolongan orang seolah-olah aku ketinggalan di dalam mengejar sesuatu. Apakah aku tidak berupaya memberi jawapan terhadap masalah yang ujud pada diriku sendiri? Ya, itu saja jawapannya.
Berbahagialah apabila keputusan yang diambil itu disertai dengan Rahmat Allah s.w.t. dan binasalah apabila nafsu dan syaitan sudah mengatasi jalan yang sepatutnya engkau lalui. Orang yang paling dekat dengan aku ialah aku dan aku sendiri memang lemah untuk menyelesai-kan masalah diriku sendiri, boleh jadi kerana kejahilan diriku dan kekalahan aku berhadapan dengan kehendak nafsu syaitan.
Tertanya aku pada diriku; adakah otak aku sudah uzur untuk membuat keputusan sebelum bertindak? There must be something wrong, some-where! Memang benar firman Allah yang bermaksud: “sesungguhnya Kami (Allah) tunjukkan dua jalan (baik dan jahat)”, jadi manusia akan berkemudi dengan akalnya yang waras serta patuh kepada undang-undang Allah dan selamat, atau mengikut nafsu, patah kemudi, perahu kecil akan ditelan ombak ganas dan jadi mangsa batu keras. Bertawakkallah kepada Allah. Never say “give-up”.
Semua kejadian yang sudah berlaku, sekarang dan yang akan datang sudah tertulis di Luh Mahfudz (DIARY ALLAH), tiada sesuatu yang boleh merubah atau memadamnya melainkan dengan DOA.
11.55 p.m. KHAMIS 6/7/1978
64        KE SYURGA ATAU NERAKA
Berbagai-bagai malah berjuta-juta sebab, suasana, perkataan, kata-kata, yang boleh memasukkan seseorang hamba Allah samada alim, jahil, warak, jahat dan sebagainya ke dalam syurga dan begitulah pula sebaliknya berjuta-juta perkara boleh memasukkannya ke dalam neraka jahannam tidak kira siapa dia. Setengah perkara itu jelas kelihatan dan memang ketara kepada orang. Tetapi sesetengah perkara itu tidak engkau sedari samada ia membawa ke syurga atau ke neraka. Jadi, berhati-hatilah setiap langkah dan perbuatan engkau, langkah kesemua gerakgeri anggota kecil atau besar, zahir atau batin, terutama akal fikiran dan mulut. Akal boleh membawa kepada kebajikan atau kemaksiatan ~ dan mulut kalau kurang dijaga membawa kepada kebinasaan. Jadi, tuntutilah ilmu keagamaan se dalam-dalamnya.
10.00 p.m. 17/7/1978
65        PAKAIAN PENDAKWAH
Shaikh! Engkau ada mata dan akal. Cuba engkau lihat dengan mata zahir engkau terhadap ahli-ahli dakwah dan para mubaligh serta guru-guru agama ~ maksudku lihat pada pakaian mereka. Ada yang berpakaian serba hijau dari serban sehingga ke cincin, sapu tangan, jubah dan lain-lain; ada pula yang serba putih, ada pula yang berkupiah hitam tetapi berbaju Pakistan, ada pula yang tidak berkupiah tetapi berpakaian kemeja dan seluar seperti pakaian majoriti Cina, India, Melayu, Mat Saleh dll. Ada pula yang berkupiah, cukup ilmu tetapi berpakaian Menteri-Menteri Kabinet (i.e. suit baju bush jacket dan seluar) serta bermafla. Jadi, demi Allah bukanlah tujuan aku hendak mengata-ngata, terutama di bulan Ramadzan al-Mubarak ini, cuma ingin aku peringati ~ walau apapun pakaian yang dipakai, sebaik-baik pakaian ialah TAQWA, tidak kira walaupun serba hijau atau serba putih atau baju Melayu atau Mat Saleh, tidak berguna (sia-sia) jika tidak disertakan dengan pakaian batin i.e. TAQWA kepada Allah.
No date or time
66        PALING JAHAT
(ditulis dengan Tulisan Jawi)
Shaikh! Ingatlah, orang yang paling jahat ialah orang yang tetap dengan maksiatnya walaupun di dalam bulan Ramadzan yang suci kerana syaitan semua dirantai di bulan ini.
JUMAAT 18/8/1978 = 13 Ramadzan 1398
67        SEGERAKAN KEBAJIKAN
Shaikh! Lakukan dan bersegeralah kepada membuat sesuatu yang kau fikirkan “kebajikan” dan kebaikan di dunia dan akhirat; lebih-lebih lagi terhadap saudara mara engkau yang hampir dan kedua ibubapa engkau. Lakukan apa sahaja, asalkan ia mendatangkan kedamaian, keharmonian dan kebahagiaan sesama ahli famili engkau. Elakkan permusuhan, kebencian, kedengkian di antaramu … tetapi ingat! Setiap sesuatu ada batasnya. Jangan lakukan sesuatu yang melanggar batasan atau limit yang ditetapkan Allah demi menjaga keharmonian famili. Engkau dituduh malah dijatuhkan hukuman “bersubahat” jika kemungkaran ahlimu berlaku di hadapan matamu dan engkau terus ketawa riang tanda rela. AWAS!
 11.00 p.m. SABTU 19/8/1978
68        ORANG TUA KAFIR
Aku lihat dua orang tua perempuan berehat di bawah pohon ketapang, bukan Islam, uzur sungguh-sungguh. Sekilas pandang, hatiku bertanya; “apakah faedahnya Allah menghidupkan orang se demikian rupa; dah tua, uzur, kafir pulak!?”. Lantas aku bertanya lagi; “jika aku sampai ke umur itu, ke keadaan itu, apakah faedahnya kepada dunia? Anak cucu mendoakan agar cepat sedikit aku menghembus nafas”.
Aku beristighfar banyak-banyak kerana setiap makhluk Allah yang dikurniakan nyawa dan rezeki adalah menunjukkan “Rahmaan” dan “Rahiim”nya Allah kepada makhlukNya walaupun ia kafir atau Muslimin. Allah biakkan semut, anai-anai malah kuman diberi rezeki, untuk apa? Itulah tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. tetapi yang ambil perhatian sedikit sangat jumlahnya. Kebanyakan, bukan semua, memikirkan apa yang harus ku lakukan besok, 10 tahun lagi dan lain-lain. Masuklah ke dalam golongan orang yang memikir.
2.30 p.m. AHAD 20/8/1978
69        SABAR
(MUSABAQAH 1398 / 1978)
Shaikh! Sesungguhnya Allah beserta dengan orang yang sabar.
Jadi, kalau engkau tidak bersabar atas satu-satu perkara maka Allah tidak beserta dengan engkau dan engkau dikawal oleh nafsu jahat dan syaitan yang kena laknat. Akibatnya, rosak amalan kebajikan yang engkau dah lakukan.
10.48 p.m. AHAD 20/8/1978
70        ANAK BAWA IBUBAPA KE NERAKA
Akan berlaku di akhirat kelak, anak-anak muda hendak diheret ke neraka kerana melanggar perintah Allah. Tetapi sebelum ia dilempar, ia meminta izin kepada Allah agar dilempar kedua ibubapanya dahulu ke dalam neraka kerana ibubapanya yang menggalakkan mereka walau-pun melakukan perkara yang munkar tidak melarang kerana pentingkan harta kekayaan dunia yang sedikit sekali. Maka Allah pun menjemput kedua ibubapa itu ke hadapanNya dan dengan penuh penyesalan. Azab Allah adalah PEDIH!
Shaikh, mahukah engkau masuk ke neraka kerana kelalaian engkau terhadap orang-orang bawahan engkau? Jika engkau tidak menegah seseorang melakukan munkar, bermakna engkau redza dan bersubahat dengannya. FIKIRLAH DALAM-DALAM.
11.15 p.m. ISNIN 28/8/1978
71        AMANAH ALLAH
(hampir dengan Exam I, 1978/79 USM)
Shaikh! Jadikanlah dirimu tergolong di dalam golongan orang-orang yang dikasihi Allah; orang yang patuh setiap perintahNya dan menjaga amanah Allah.  Setiap nikmat samada anggota badan engkau atau pakaian yang engkau pakai atau benda yang engkau makan adalah AMANAH Allah s.w.t. Maka gunakanlah ia pada jalan yang sebenarnya dengan adil ~ adil bolehlah diertikan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar. Adalah tidak adil, misalnya, kasut dipakai di kepala dan songkok dipakai di kaki. Engkau dikurniakan mata ~ lihatlah kepada kebesaran Allah yang tidak terdapat pada orang-orang buta tetapi ada batasannya; ada benda-benda tertentu yang diharamkan Allah atas hak mata. Cuba tutup kedua-dua belah mata - dunia menjadi gelap walaupun siang hari. Tutuplah matamu lama-lama dan engkau akan rasakan betapa besarnya nikmat mata yang dikurniakan Allah. engkau katakan kepada seorang hamba Allah yang buta - “bunga raya warnanya merah”. Ia akan mengangguk tetapi bolehkah engkau menerangkan bagaimanakah yang dikatakan “merah” itu? Itulah kebesaran Allah dan nikmat mata. Telinga engkau busuk - itulah nikmat Allah. Ketika engkau tidur, siapakah yang menjaga telinga engkau dari dimasuki serangga dan lain-lain? Tiada lain melainkan Allah yang menjadikan telinga engkau busuk dan serangga tidak suka kepada bau busuk. Ingatlah! Allah telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Dijadikan tangan kamu panjang dan berensel di bahu, siku, pergelangan tangan dan jari-jari. Cuba engkau bayangkan jika tiada ensel di siku ~ bolehkah engkau menyikat rambut, menyabun badan ketika mandi atau menggaru? Itulah tanda-tanda kebesaran Allah yang kebanyakan hambaNya tidak menyedari. Dan kerana tidak sedar dan mungkin sibok dengan nikmat dunia maka ia lalai dan tidak bersyukur kepada Allah. Kalau hendak dikira dan ditulis nikmat-nikmat Allah maka telah terdapat di dalam Al-Qur’an yang bererti; “jika air lautan di dunia ini dijadikan dakwat dan ditambah lagi sekali gandapun tak tertulis nikmat Allah”. Itulah kebesaran Allah. Allaahu akbar!
1.30 a.m. 12/10/1978
72        PENDAKWAH SONGSANG
Shaikh! “Mendakwah” adalah fardhu ‘ain dan wajib atas setiap orang yang mengaku dirinya Muslim dan bertuhankan Allah. Tiada lain Tuhan yang disembah melainkan Dia (Allah). Tidaklah berguna kiranya di hadapan khalayak ramai, engkau berlaku baik, sopan santun, alim dan sebagainya tetapi di belakang orang engkau berkelakuan tidak senonoh, jahat, buat maksiat dan lain-lain. Itulah pura-pura namanya dan engkau bukan menipu sesiapa tetapi engkau menipu diri sendiri, menzalimi diri engkau sendiri. Allah mengetahui setiap perkara yang engkau lakukan walaupun tersembunyi dari mata manusia. Tiada guna engkau bijak bercakap mendakwah orang itu ini tetapi diri engkau gagal engkau dakwah dan engkau berkelakuan lebih jahat dari orang yang jahil ~ itu bukan pendakwah namanya tetapi peruntuh akhlak agama Islam. Allah Maha Adil lagi Maha Mengasihani. Mohonlah perlindungan dari Allah sahaja. Jika engkau berada dalam golongan pendakwah maka engkau telah mengotorkan badan dakwah itu dengan perbuatan engkau. Orang menaruh kepercayaan kepada engkau dan engkau mensia-siakan - itulah zalim namanya - binasa kelak.
1.46 a.m. 12/10/1978
73        PEMBERONTAKAN
SHAIKH! PERNAHKAH ENGKAU MERASA KELUH KESAH, BUAT ITU TAK KENA, INI TAK KENA DAN SEBAGAINYA? KELUH KESAH ITU IALAH HASIL DARI HATI NURANI ENGKAU YANG MEMBERONTAK DENGAN DOSA-DOSA YANG ENGKAU DAH LAKUKAN. TIADA JALAN LAIN MELAINKAN ENGKAU SEMAK SEMULA APA-APA DOSA YANG KAU BUAT DAN TERUS BERTAUBAT.
11.37 p.m. 13/10/1978
74        IKAN SESAK NAFAS
BILA ALLAH TIDAK INGIN MENGENDAHKAN ENGKAU, MAKA ENGKAU ADALAH IBARAT IKAN SESAK NAFAS DI ATAS DARAT.
BILA ENGKAU MELANGGAR PERINTAH ALLAH, MAKA ALLAH TIDAK MEREDZAINYA DAN ENGKAU AKAN TERUS DI BAWAH TELUNJUK NAFSU MU. BUATLAH SESUATU YANG DIREDZAI ALLAH WALAUPUN MENYAPU SAMPAH.
9.00 p.m. 14/10/1978
75        NAJIS DI BADAN
Shaikh! Jika najis melekat pada tubuh engkau dan engkau mendirikan sembahyang, adakah sembahyang engkau diterima Allah, Khalid engkau, Tuhan seru sekelian alam? Ingatlah! Setiap dosa yang engkau lakukan samada terang-terangan atau bersembunyi dari mata makhluk adalah najis yang kotor. Najis itu sentiasa terlekat pada ruhani engkau dan dengan ruhani yang kotor itulah engkau mengadap serta beribadat kepada Allah. Maka tidak hairanlah jika engkau bersembahyang atau melakukan amal-amal kebajikan tetapi solat itu tidak menegah engkau melakukan munkar dan fahsyar. Yakinlah dengan sebenar-benar yakin bahawa Allah Maha Pemurah, Pengasihani dan Maha Menerima taubat hamba-hambaNya selagi pintu taubat belum tertutup. Maka kikislah najis itu dengan sebenar-benar taubat ~ taubatan nasuuha. Insya’allah, ruhani engkau akan suci bersih dari dosa seperti bayi yang baharu dilahirkan ke muka bumi. Bertaubatlah segera!!
12.10 a.m. JUMAAT 27/10/1978
76        NYOK @ KELAPA

(gambarajah keratan rentas sebiji kelapa)

Shaikh! Tahukah engkau apa benda yang dilukis di atas tu? (Nota: lukisan asal cuma lakaran pena- Penulis)

Itulah keratan rentas se biji buah kelapa (orang Penang kata, “nyok”). Ia terdiri daripada:- 

1. sabut (porous) 

2. tempurung (keras solid) 

3. isi (separuh keras, sedap) 

4. air nyok (cecair, sedap) 

Tidakkah pernah engkau menanya diri engkau ~ bagaimana air menembusi sabut, tempurung keras dan isi? Kemudian tinggal diam-diam di dalam ruang kosong tu. Inilah tanda kebesaran dan kesenian Allah, juga ayatullah yang tidak tertulis seperti Al-Qur’an. 1, 2, 3 dan 4 di atas masing-masing ada peranan sendiri; samada peranan dalam penyebaran benih supaya nyok tetap cukup stok sampai qiamat atau-pun untuk kegunaan manusia setelah isinya diperah buat sayor, sabut untuk buat sabun, tempurung buat senduk atau perhiasan, tapi sesetengah makhluk mengambil kesempatan mencari kemurkaan Allah - dibuatnya “nira cola” (tuak). Kalau dikaji hal pokok nyok tentang faedah-nya, dari akar ke batang, buahnya, daun, pelepah dan lain-lain tentu banyak. Itu baru pokok nyok di belakang rumah engkau, belum lagi pokok “fur” di Kanada atau “oak” di Amerika. Itu baru pokok, belum dikaji lagi haiwan yang melata dalam laut, atas angin dan lain-lain. Jika dikaji lebih mendalam, maka engkau akan mendapati lebih seni lagi ciptaan Allah dan kebesaran Allah. 

Jadi, daripada engkau duduk di kedai kopi bergebang setengah jam, lebih baik memikir sebentar tentang keagungan Allah di sekeliling engkau supaya engkau lebih hampir kepada Allah. Insya’allah. 

12.30 a.m. JUMAAT 27/10/1978

77        CINTA OH CINTA!
Shaikh! Kalau seseorang menyatakan cintanya kepada engkau, apa yang harus engkau buat? Sudah tentu engkau balas cintanya dengan lebih lagi. Engkau akan mencuba membuat ia gembira selalu dan engkau benci terhadap sesuatu yang membencinya. Jika boleh, engkau tidak mahu berpisah dengannya. Engkau berharap dapat bertemu dengannya.
Allah telah menyatakan cintaNya kepada setiap makhluk yang dijadikan-Nya sebab semuanya cantik dan indah belaka samada dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, termasuk engkau sendiri di antaranya. Kenapa tidak engkau balas cinta Allah kepada engkau? Tidakkah engkau bercita-cita untuk bertemu dengan orang yang mencintaimu? Maka adat bercinta, engkau akan lakukan apa sahaja yang diarah oleh orang yang engkau cintai dan engkau jauhkan apa yang dibenci dan yang ditegahnya. Cintailah Allah dengan sepenuh hatimu.
7.00 p.m. SABTU 11/11/1978
78        ENJOY
Shaikh! Sedarlah! Bahawa engkau dilahirkan ke dunia bukan untuk enjoy dengan apa yang ada di atas muka bumi ini tetapi … “dan tiada Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah akan Aku (Allah)” dan “Aku tidak meminta rezeki daripada mereka, dan Aku tidak ingin mereka memberi makan Aku” (maksud dari Surah Az-Zaariyaat, ayat 56 dan 57).
7.30 p.m. SABTU 11/11/1978
79        TAK KENAL, TAK CINTA
(ditulis dengan tulisan Jawi)
Dari suatu Hadith Qudsi yang bermaksud:
“Aku (Allah) suka mengenal diri Aku sendiri. Lalu Aku jadikan segala makhluk ini, lalu Aku memperkenalkan diri Aku kepada mereka. Lalu mereka (makhluk) pun mengenal Aku”.
Kata orang, “tak kenal maka tak cinta”. Jadi, kalau engkau hendak menyintai (balas) Allah, hendaklah terlebih dahulu engkau mengenal Allah dengan cara mengguna segala pancaindera, mengecap segala yang engkau dengar, lihat, rasa dan lain-lain selama engkau berjalan di atas jalan keredzaan Allah, engkau akan mengenal seterusnya menyintai Allah. Allah menyintai engkau selagi engkau tidak menyintai sesuatu melebihi cintamu terhadapNya. Allah menyintai engkau selama engkau melayani (tidak disia-siakan) cinta Allah. Jika tidak engkau hargai, maka cinta Allah akan bertukar menjadi marah dan dendam? Tetapi Allah tidak se demikian, Cuma ia tidak akan menolong engkau pada masa hadapan.
7.45 p.m. SABTU 11/11/1978
80        TABAH BILA GAGAL
Shaikh! Janganlah engkau berdukacita atau gelisah atau berputus asa apabila apa yang engkau serukan walaupun ke jalan keredzaan Allah tidak diendahkan oleh sesiapa walaupun dari keluarga engkau sendiri. Teruslah bertawakkal kepada Allah, beribadat dan memohon agar Allah melimpahkan petunjuk dan hidayatNya kepada mereka.
Rasulullah s.a.w. sendiri gagal membawa Pak Ciknya, Abu Lahab untuk sujud kepada Allah. Kita manusia sekadar berusaha kemudian menyerah segala-galanya kepada Allah Azza wajalla. Tidak berguna bertikam lidah dan bertegang urat leher yang akhirnya dihasut oleh syaitan dan membawa kepada kemurkaan Allah pula. Bersabar dan jangan berputus asa.
11.10 p.m. SELASA 14/11/1978


[Insya'allah, akan menyusul Dari Kacamata Mahdzar (1) - Bahagian 2]


No comments:

Post a Comment