Friday, September 27, 2013

240.0 Khusyuk dalam solat dan doa

Foto: Masjidil Haram semasa dulu.

AMARAN! Dipaparkan petikan dari Kitab Bahrulmazi karangan ulamak terkenal Malaysia, al-Ustaz Idris Marbawi. Kitab lama ini ditulis dalam bahasa Melayu lama, jadi kita sekadar membaca dan faham mengikut kemampuan sendiri. Sebaiknya dirujuk kepada alim ulamak dan guru yang mengajar kitab ini.

247.) Mukasurat 89 Masalah : Khusyuk dan maknanya dan tandanya
Ya saudaraku, bermula makna khusyuk itu adalah tetap anggota dan tiada keluh kesah rupanya. Maka alamatnya dapat dilihat iaitu tidak dilakukan oleh seorang yang sembahyang itu berpaling ke kanan dan ke kiri, dan tiada melampau dua matanya memandang lebih daripada tempat sujudnya.

Maka yang demikian itulah disuruh oleh syarak ke atas seseorang itu, kerana dengan yang demikian seseorang itu beradap kepada Tuhannya. Bukankah sembahyang itu perhubungan hamba dengan Tuhannya ? Maka barangsiapa tahkik ia dengan perhubungan di dalam sembahyang nescaya terang benderang tempat terbit tahbil Allah maka jadi khusyuk dirinya. Dan orang yang khusyuk itu telah disebut oleh Qur'an akan mendapat kemenangan dengan sebab khusyuk. Firman Allah Ta'ala: "Sesungguhnya mendapat kemenangan segala orang yang mukmin yang di dalam sembahyang mereka itu khusyuk mereka itu ertinya yang takut mereka itu akan Allah."

Sabda Nabi SAW: "khusyuk itu adalah dengan merendah diri dan menghinakan diri dan membuat tetap dan tenang hati dan tiada berupa susah dan kacau bilau dan menadahkan tangan engkau. Hendaklah diangkat oleh engkau kedua tanganmu meminta doa kepada Tuhan dengan dihadapkan dua tapak tangan akan muka engkau dan engkau kata 'Hai Tuhanku, hai Tuhanku'."

Adalah menadah tangan itu bukannya di dalam sembahyang bahkan dilakukan kemudian daripada sembahyang. Maka itulah maknanya membuatkan diri khusyuk dan tadaruk di dalam sembahyang. Apabila selesai memberi salam janganlah langsung bangkit dari tikar sembahyang itu. Bahkan pintalah apa-apa yang baik dan yang tidak dilarang kepadaNya dan katalah: Ya Tuhanku, ya Tuhanku hingga doa akhirnya. Maka jangan pula enggan meminta ( berdoa ) kerana yang demikian itu merugikan. Bukankah setelah sudah menyembahNya maka dituntut memohon pula apa-apa kepadaNya. Dan memohon itulah yang disuruhNya. Sabda Nabi SAW: Dan barang siapa tiada memperbuat itu maka iaitu bahagian-bahagian. Dan pada satu riwayat barang siapa tiada memperbuat yang demikian itu ya'ni khusyuk dan khuduk serta tadaruk dan berdoa selepas sembahyang maka ia melakukan sembahyang yang kurang sempurna pahalanya.

Tamat petikan Kitab Bahrul mazi
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah solat para sahabat

Kisah 1:

Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. telah terkena panah. Apabila cuba dicabut, beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat. Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka mencabut panah tersebut. Mereka menjawab ya. Apabila ditanya, apakah beliau tidak merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.

Kisah 2:

Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi Muhammad s.a.w. telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir-gilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju. Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri. Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya. Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi S.A.W., maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.

Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor nyamuk pun boleh merosakkan solat kita. Firman Allah yang bermaksud: "Dan neraka Waillah bagi orang yang lalai dalam solatnya." (Surah Al-Ma'un). Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita tahu dan dapat menyampaikannya di antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment