Lone Ranger dengan Silvernya.
Tonto
TONTO? ya, masa aku kecil dulu tahun 60han, aku minat tonton t.v. (black & white) filem Lone Ranger, koboi tunggang kuda putih (Silver), dia pakai topeng tak mau bagi orang kenal dia. Lone Ranger ni kerja dia cari kerja tolong orang dalam kesusahan. Kawan baik dia seorang red indian bernama Tonto, sebagai pembantu.
Alkisah, aku nak cerita pengalaman bertemu dengan TONTO di era masakini. Tonto yang ku maksudkan bukan Tonto dalam Lone Ranger tetapi T.O.N.T.O = Tolong Orang n Tipu Orang. Diringkaskan cerita, pada suatu malam, aku sekeluarga balik dari Bertam Indah ke rumah kami di Taman Pekaka. Jam lebih kurang pukul 11.00 mlm. Apabila sampai di TOL Jambatan Pulau Pinang, jamb panjang dan tiba-tiba meter suhu/temperature enjin naik mendadak sampai level merah merbahaya. Selepas bayar Tol terus aku berhentikan kereta di stesen bas berhampiran pejabat Tol. Aku pergi ke kaunter Tol dan minta nombor telefon bantuan kecemasan. Kereta dah berasap kerana air radiator dah kering agaknya, aku buka hood. Aku telefon nombor yang diberikan dan seorang mekanik menjawab, ia akan datang. Aku juga menelefon Hj. Ibrahim, seorang rakan mekanik di Lorong Kulit. Katanya, mungkin kipas auto rosak dan tidak berfungsi. Untuk sementara waktu boleh dibuat "by-pass", i.e. potong wayar auto dan sambung wayar terus ke kipas radiator i.e. kipas akan jalan apabila enjin dihidupkan. Tidak lama kemudian, datanglah hamba-hamba Allah ni 5 orang pemuda Melayu bermotosikal - katanya mekanik suruh datang. Hamba Allah ini aku panggil "gagak" kerana kerja mereka menunggu berlakunya kemalangan di jalanraya dan akan segera membantu kerana mendapat upah dari bengkel repair kereta. Kelima-lima mereka pun seboklah membuka dan mengeluarkan kipas radiator, tangki radiator dan macam-macam lagi. Kami menunggu di tempat duduk stesyen bas, sambil menanti mereka pergi mendapatkan alat-alat ganti. Jam hampir pukul 1.00 pagi. Datang lagi seorang mekanik (lelaki yang aku telefon), ia memasang sesuatu pada bahagian enjin dan datang semula gagak memasang kembali kipas, radiator dan lain-lain. Kemudian mereka mengenakan bayaran RM350.00 kerana alasan menukar beberapa alatganti dan kesulitan mendapatkan alatganti pada waktu begini. Aku bernasib baik kerana wang aku dan isteriku mencukupi untuk membayar mereka. Apabila, enjin dihidupkan, kipas radiator terus "on", aku tanya mekanik itu, kenapa begitu? Ia kata kerana enjin masih panas.
Tahukah anda, apakah yang sebenarnya yang dilakukan mereka? Gagak ini yang hanya layak memakan bangkai, cuma membuka dan memasang semula segala tangki radiator, kipas dan lain-lain, kemudian datang mekanik yang betul, membuat "by-pass" (seperti yang diterangkan di atas). Kos memotong wayar auto dan pasang wayar direct mungkin 4 inci panjangnya RM350.00? Inilah yang dikatakan T.O.N.T.O. Penipu!
Besoknya, aku bawa kereta bertemu Hj,. Ibrahim mekanik. Sah mereka membuat by-pass wayar dan aku terpaksa membayar RM300.00 lagi kerana menukar beberapa alatganti dan tambahan kerosakan pada tangki radiator kerana gagak bagi rosak. Aku telefon semula mekanik penipu dan bertanya kepadanya kenapa awak tipu saya? Selamba saja jawabnya, "nak buat camana Abang, cari makan."
Kadang-kadang aku tertanya, apakah kerana hendak mencari sesuap nasi, manusia sanggup mengambil kesempatan ke atas orang yang ditimpa musibah? Di mana letaknya keiklasan? Tidakkah timbul rasa bersalah, atau rasa berdosa, di mana letaknya agama? Dan kadang-kadang jiwa yang marah ini, rasanya mau aku berdoa agar Allah timpakan bala' ke atas setiap mereka dan berita mereka dilanggar kenderaan cedera terok atau mati terus, sampai kepada aku seorang demi seorang. Tapi aku berfikir pula, biarlah Allah sahaja yang mentakdirkan apa sahaja yang wajar kepada mereka, sekurang-kurangnya berilah petunjuk dan hidayah agar mereka berhenti menjadi "TONTO".
Semoga kisah benar ini menjadi iktibar dan kita sentiasa berwaspada.
Inilah kereta aku yang menjadi mangsa TONTO!
No comments:
Post a Comment