Sunday, March 24, 2013

121.0 Betulkan sebutan bahasa Arab

Assalaamu'alaikum para sahabat dan saudara mara se Islam.  Saya bukanlah pakar di dalam bahasa Arab atau sebutan Arab walaupun tok wan berasal dari Tarim, Hadhramaut, Yaman tetapi adalah belajar sikit-sikit tentang tajwid dari beberapa orang tok guru tempatan. Saya ni Arab-Malaysian macam teh celup, dah masuk generasi ke berapa tah, dah ceroi dah tak ori lagi..... cakap arab pun tak reti. Hingga sekarang masih lagi dok belajar. Lagi lama kita belajar, lagi banyak kesalahan di dalam sebutan atau bacaan Al-Qur'an akan terdedah. Kita kena belajar Bahasa Arab ikut sleng Arab, kena bagi "sengau" sikit kata orang utara. Tak bolehlah cakap Arab dalam bahasa Melayu baku.

Apabila kita belajar tajwid, kita akan mengetahui sesuatu bacaan itu betul atau tidak.  Jika kita berimam di masjid atau surau, kena mufaraqah (keluar dari solat jemaah) kerana bacaan Al-Faatihah tok Imam tak betul.  Tapi kita teruskan jugalah dan berharap Allah s.w.t. mengampuni kita dan tidak mensia-siakan pahala berjemaah kita, Insya'allah.  Bahasa Arab atau bahasa lain juga, jika tersilap sebutan boleh memberi makna yang berbeza.  Misalnya, "Allaahu akbar" maknanya Allah Maha Besar, jika disebut "Allaahu akbaar" iaitu tambah huruf Alif pada akbar (i.e. alif kaf ba alif ro) maknanya menjadi Allah gendang yang Maha Besar. Satu lagi contoh, Saiyidina (Tuan) jika disebut Saidina menjadi maksud Singa jika sebutan "yi" hilang.

Saya ambil kesempatan ini untuk mendedahkan beberapa sebutan yang selalu kita salah sebut. Agak sukar untuk menerangkan tentang sebutan di dalam tulisan, tetapi Insya'allah, saya cuba sebaik mungkin menerangkannya dalam tulisan yang mudah difaham, selebihnya saudara kenalah berguru.

1) Azan

Di dalam azan kadang-kadang lagunya sedap tetapi sebutannya salah dari segi tajwid.

Pertama: tentang Allaahu Akbar - matikan di Akbar, jangan disambung seperti Allaahu Akbarullaahu Akbar.

Kedua: Akbar ejaannya Alif kaf - bunyinya Ak bukannya Ek, selalu kita dengar azan, Allaahuwekbar.

Ketiga: Asyhadu allaa ilaa ha illallaah - kita selalu dengar "Asy syadu allaa ......" sebutan "ha" tidak kedengaran.  Kemudian, "illallaah" selalunya kita dengar muazzin membuat dengung panjang pada "lam" sampai bergulung lidah i.e. ha iil lallaah. Sepatutnya tidak boleh dengung (tiada dalam hukum tajwid, lam didengungkan)

Keempat: Haiya 'alas solaah - dipenghujungnya berbunyi "solaaa" bukan "solaah", ha (tebal) tidak kedengaran.

Kelima: Haiya 'alal falaah - dipenghujungnya ha tipis (atau kami kenali sebagai 'ha' itik nila, atau ha pedas) perlu didengarkan. Jika disebut Haiya alal Falaah dengan Ha tebal dihujung, maknanya dah jadi lain, "Marilah kita menyembah matahari"?

2) bacaan Al-Faatihah.

Al-Faatihah di dalam solat adalah rukun, jika tak betul, solat tidak sah dan sia-sialah mendirikan solat bertahun-tahun tetapi tidak memperoleh apa-apa. Belajarlah membaca Al-Qur'an secara berhadapan dengan guru yang arif supaya ia dapat membetulkan bacaan kita secara langsung. Kita boleh melayari web yang mengajar bahasa Arab dan hukum2 Tajwid dari TV tetapi one-way communication, dan dia tidak dapat menegur kecuali Life.


Begini bacaan Al-faatihah mengikut lidah dan sebutan Arab



1)   Bismillaa - selalu kita sebut "bissemillaah ..."

2)   Bismillaa hirrahmaa nir rahiim - selalu disebut Bismillaah hirrahman nirrahiim, i.e. rahmaa bukan rahman (tidak ada syaddah i.e. tanda seperti huruf rumi "w" pada nun), rahiim - huruf ha nipis atau ha pedas (di hujung tekak) bukan ha tebal yang keluar dari dada.

3)   Alhamdulillaah .... nipiskan "ha" (ha pedas atau macam bunyi itik nila) jangan tebalkan

4)   iiyaaka na' budu wa iiyaaka nasta'een .... sebutan 'ii" (eee) tekankan bukan inyi yaka ....

5)   ... kanas ta 'een - selalu disebut "tak 'een" (tidak ada syaddah / "w" pada huruf 'ain)

6)   sirootol mustaqiim - kadang2 bila huruf Qaf tidak cukup dalam di hujung tekak, ia akan jadi huruf Kaf - bunyinya jadi mustakiim ....

7)   sirootollazii ... bunyi "si" dari huruf sod bukan siin. Tetapi jangan pula kita katakan salah apabila ada Imam membaca sirootol .... dengan huruf siin kerana ia dibolehkan di tempat2 tertentu.

8)   sirootol ....... na an 'amta 'alaihim.  Selalu kesilapan yang kita dengar ialah .... na an 'amtak 'alaihim

9)   .... ghairil magh dzuubi ..... Pada bunyi "ril" selalunya menjadi "rel"

10) .... ghairil magh dzuubi. Pada "magh dzuubi" tidak ada gegaran/getaran (qalqalah) pada "magh" kerana ia (ghen) bertemu dengan huruf "dzot" berikutnya.  Pada keadaan ini, hujung lidah ditekan pada gigi geraham atas.

11)  ...waladz dzool liin. Pada sebutan panjang 4/5/6 harakat "dzoo", hujung lidah ditekan pada gigi geraham atas dan pada penghujung sebutannya ditekan huruf Lam i.e. dzool  (ada tanda syaddah pada huruf lam - guru saya selalu mengatakan "huruf dzot tu kena tendang lam.... baru diikuti dengan "liiiiii .....n"). Selalu yang kita dengar ..waladz dzoo liin.

12)  di antara bacaan Fatihah dengan sebutan Aamiin (aa .... cuma 2 harakat, miin boleh panjang sampai 6 harakat, selalunya terbalik) jangan terus disambung, beri jarak beberapa saat.

Demikian sedikit sebanyak teguran tentang bacaan Fatihah dan sekiranya terdapat kesilapan sila maklumkan saya. Diharap mendapat petunjuk dan hidayah Allah.

Satu lagi teguran, jika kita menjadi Imam di dalam solat, pilihlah surah-surah yang pendek selepas bacaan Al-faatihah seperti Qulyaa ... dan Qulhuallah (ini adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.).  Tetapi jika bersolat bersendirian bacalah surah-surah yang terpanjang yang kita hafal, selalunya terbalik!

ALLAH MENJAWAB AL-FATIHAH KITA 
(rujukan: https://www.facebook.com/amniestory/posts/4771952660722)

Ramai orang yang cara membacanya tegesa-gesa, dan seakan-akan ingin cepat menyelesaikan solatnya. Padahal di saat kita selesai membaca satu ayat dari surah Al-Fatihah tersebut, ALLAH menjawab setiap ucapan kita.

Dalam Sebuah Hadits Qudsi Allah Subhaanahu Wata'aala berfirman:

"Aku membagi solat menjadi dua bagian, untuk Aku dan untuk Hamba-Ku."

■ Ertinya, tiga ayat di atas Iyyaka Na'budu Wa iyyaka nasta'in adalah Hak Allah, dan tiga ayat kebawahnya adalah urusan Hamba-Nya.

■ Ketika Kita mengucapkan "Alhamdulillahi Rabbil 'alamin". Allah menjawab: "HambaKu telah memujiKu."

■ Ketika kita mengucapkan "Ar Rahmanir-Rahim", Allah menjawab: "HambaKu telah mengagungkanKu."

■ Ketika kita mengucapkan "Maaliki yaumiddin", Allah menjawab: "HambaKu memujaKu."

■ Ketika kita mengucapkan “Iyyaaka na’ budu wa iyyaaka nasta’in”, Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hambaKu.”

■ Ketika kita mengucapkan “Ihdinash shiratal mustaqiim, Shiratalladzina an’amta alaihim ghairil maghdhubi alaihim waladdhooliin.”- Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hambaKu. Akan Ku penuhi yang ia minta.” (HR. Muslim dan At-Tirmidzi)

■ Berhentilah sejenak setelah membaca setiap satu ayat. Rasakanlah jawaban indah dari Allah kerana Allah sedang menjawab ucapan kita.

■ Selanjutnya kita ucapkan "Aamiin" dengan ucapan yang lembut, sebab Malaikat pun sedang mengucapkan hal yang sama dengan kita.

■ Barangsiapa yang ucapan “Aamin-nya” bersamaan dengan para Malaikat, maka Allah akan memberikan Ampunan kepadaNya.” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

Penerangan lanjut dan lebih terperinci tentang bacaan Al-Faatihah dengan betul, boleh lihat di website ini: http://www.youtube.com/watch?v=mw8sxpaRv_o


Wassalam. Allah merahmati kita semua.










1 comment: