Saturday, March 2, 2013

114.0 Dari Kacamata Mahdzar (2) - Bahagian Akhir

41)   MUKA MAU SMART, HATI?

Shaikh! apa yang engkau sebok-sebok nak “smart”kan muka dan body. Bukan salah bahkan digalakkan kerana Allah itu cantik dan Dia suka kepada kecantikan. Tetapi segala perbuatanmu adalah bergantung kepada NIAT. Jika engkau “menyemart” kerana hendak “act” sama orang, alamatnya engkau tak selamat di akhirat. Allah tak suka kepada orang yang menyombongkan diri atau merasai dirinya lebih sedikit dari orang ramai. Petikan dari sebuah Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “bahawasanya Allah tidak memandang rupa dan perbuatan mu, akan tetapi Dia memandang HATI dan NIAT mu”.
7.09 a.m. RABU 14/11/1979

42)   HAMBA ABDI

Shaikh! Engkau adalah seorang hamba abdi walau apapun jua jawatan engkau di atas muka bumi ini. Tahukah engkau “taraf” hamba abdi dan kerjanya? Hamba abdi kerjanya mengabdi diri kepada tuannya, melaku-kan apa sahaja suruhan dan tegahan tuannya samada ia suka atau tidak suka melakukannya. Harapan seorang hamba abdi ialah ada sedikit makan minum untuk menyambung hidup harian, pakaian untuk menutup jasadnya dan sebuah bilik berteduh dari hujan panas. Mungkin ada hamba-hamba abdi yang bercita-citakan rumah banglo, pakaian yang cantik-cantik dan makanan yang lazat-lazat ~ maka itu terpulanglah kepada tuannya samada hendak memberikan atau tinggal angan-angan. Tugas hamba tetap mengabdi kepada tuannya, selagi tuan itu memerlukannya. Begitulah keadaannya engkau sebagai Hamba Allah. Engkau jangan melakukan sesuatu demi mengharapkan rumah banglo atau sebagainya tetapi harapkanlah keredzaanNya dengan apa yang engkau perbuat dan lakukan segala-galanya sebagai tugas seorang hamba abdi …. benar-benar abdi!

Di dalam hal ini, Imam Al-Ghazali (Imam tasawuf dan hujjatul Islam) telah menyentuh yang di antara lain:-

“Ubudiyah (menghambakan diri kepada Allah) itu tiga perkara: Pertama, menjaga perintah syarak dengan bersungguh-sungguh; Kedua, rela (tidak keluh kesah) berhadapan dengan qadha dan qadar, aturan dan pembahagian yang ditentukan Allah dan ketiga, menyampingkan pilihan hati dalam menuntut keredzaan Allah”.

Maka Shaikh! Jadikan dirimu hamba se abdi-abdinya kepada Allah.

Pantai Johor, Kedah - 9.39 p.m. RABU 14/11/1979 

43)   MENGENALI WANITA 

Shaikh yang lemah! Sejauh mana engkau mengenali sifat seorang makhluk se bangsamu tetapi berlainan jenis (sex)? Bagaimanakah engkau akan mengubati sesuatu penyakit padahal engkau tidak tahu penyakitnya? Melainkan jika penyakit itu mengenai dirimu sendiri, tahulah apa ubatnya. Tetapi “perempuan” (dari sifat Hawa) berlainan sekali dari lelaki (Adam) ~ berlainan dari segi fisikal dan naluri; perbandingkan api dengan minyak! membakar bila mengena ~ tetapi satu cecair dan satu lagi dalam bentuk haba.

Allah melebihkan sifat malu ke atas wanita. Dan malu berkaitan rapat dengan iman kerana “malu ialah satu dari cabang iman” (maksud Hadith).Jadi, wanita yang tiada malu maka bermakna tiadalah imannya. Wanita dikurnia Allah sifat lemah lembut seperti kulitnya juga berbanding dengan lelaki, kasar. Lelaki biasanya berlemah lembut apabila hatinya lembut serta bertimbangrasa. Tetapi ingat, “garangnya wanita apabila ia marah melebihi seekor singa betina yang lapar”.

Engkau harus berhati-hati di dalam pergaulan dengan wanita. Kenali dirinya se dekat mungkin tetapi berlandaskan hukum syarak supaya engkau mengenali sifatnya yang sebenar bukan pura-pura. Dari situ bolehlah engkau menganggar darjah pencapaiannya menerima nasihat selaras dengan sifatnya. Kerana hati yang akan menerima ilmu boleh diibaratkan sebagai batu atau tanah (hati) dengan hujan (ilmu). Batu yang keras dan licin tidak akan melekatkan air hujan se titik pun. Tetapi ada juga tanah yang subur, menyerap air dan menumbuhkan tunas-tunas hijau supaya orang mendapat faedah dari tumbuhan itu. Ada pula tanah yang menyerap dan menakung air (perigi) supaya manusia boleh menimba air darinya. Dalam hal menasihati wanita, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “beringatlah terhadap satu kaum yang lemah - wanita. Wanita diciptakan dari tulang rusuk kiri Nabi Allah Adam a.s. Tulang ini bengkok dan rapuh. Jika engkau membiarkannya, ia akan terus bengkok tetapi jika engkau terkuat sedikit hendak membe-tulkannya, maka ia akan patah (rapuh)”. Jadi, hati-hatilah Shaikh oi! Satu di antara kelebihan-kelebihan wanita berbanding dengan lelaki ialah wanita lebih mudah masuk ke syurga ~ dengan mendirikan solat (sembahyang lima waktu), berpuasa di bulan Ramadzan, taatkan suami dan menjaga maruahnya. Padahal lelaki pula, jika isterinya melakukan larangan Allah dan ia redza (tidak tegur) maka ia berkongsi sama (share) dosa si isteri. Teruk Shaikh! Teruk Shaikh! Banyak lagi tanggungjawab orang lelaki ….. jangan diam diri, belajarlah!! Sebab, satu masa engkau akan menghadapi semua ini, jika diizinkan Allah. Adakah engkau akan memberi alasan “aku tidak tahu!” apabila disoal oleh Allah kelak. Bagaimana jika Allah berkata, “bukankah Aku telah memberi engkau nikmat yang banyak, kenapa tidak belajar?”

Shaikh! Jangan sentuh perempuan yang tidak halal bagimu walaupun hujung jari. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Lebih baik dicucuk dengan jarum besi di kepala daripada menyentuh wanita (tidak berlapik)”. Ingatlah! Musuh ketat engkau selalu membisik-bisikkan agar engkau menjadi membernya, bersama-samanya dalam api neraka yang bahan bakarnya manusia dan jin, mereka tidak hidup dan tidak pula mati dalam api neraka. Dengan Allah kami berlindung. Peliharalah kami Ya Allah!

“Jadikanlah solat dan sabar sebagai penolong kamu”. Tidak guna Shaikh, engkau mendirikan sembahyang tetapi ia tidak dapat menegah engkau dari melakukan perkara yang munkar dan fahsyar … bermakna engkau tidak sembahyang.
Pantai Johor, Kedah - 10.45 p.m. RABU 14/11/1979 


44)   PENYAKIT JAHIL

SEGALA KATA …. ADA JAWABNYA

SETIAP GAYUNG ….. ADA SAMBUTNYA

SEKELIAN SAKIT ….. ADA UBATNYA

ASALKAN TAK “HASAD” …… POKOK PANGKALNYA.

Shaikh! Penyakit jahil ada yang boleh diubat, ada pula yang tak boleh diubati. Apabila engkau berhadapan dengan orang jahil yang tak boleh diubati, lebih baik diamkan diri atau jauhi diri darinya.

Pantai Johor, Kedah - 1.25 p.m. KHAMIS 15/11/1979 

45)   “FREESHOW” ALLAH 

Shaikh! Pernahkah engkau bertemu dengan satu ayat yang bermaksud: “dan pada hari itu dibukakan segala rahsia”. (Nota: rujuk bil. 20 tentang cara menutup rahsia itu). Engkau tidak akan bertemu dengan ayat ini atau ayat-ayat lain juga jika engkau tidak ada masa hendak membuka, membaca dan meneliti maksudnya isi Al-Qur’an itu. Al-Qur’an bukan di-turunkan untuk dibaca dan diperbandingkan tetapi untuk diamal segala isinya, untuk semua orang, semua generasi di zaman apa sekalipun.

Berbalik kepada ayat tadi, tidakkah engkau berasa gentar, takut, gembira dan malu besar apabila rahsia-rahsia perbuatan engkau yang telah, sedang dan akan dilakukan dibuka di hadapan khalayak ramai, di hadapan ibubapa, keluargamu, Tok-tok gurumu, para anbiyak, di depan Nabi Muhammad s.a.w., di hadapan Malaikat-Malaikat dan sehabis besar malu ialah di hadapan Allah Azza wajalla? Bukankah Allah telah memberikan garis-garis penghidupan yang selamat di dunia dan akhirat melalui NabiNya, mengapa engkau cari jalan lain yang membinasakan diri sendiri?

Shaikh! Jangan engkau jawab engkau tidak tahu. Jangan engkau kata: “itu rasukan syaitan laknatullah” - engkau tahu ia musuh yang nyata kenapa diturut lagi cakap musuh?

Jangan pula engkau menjadi se orang dungu (bodoh) yang memohon kepada Allah; “Ya Allah, hidupkanlah semula aku ke dunia, nescaya aku buat amal kebajikan yang banyak”. Allah akan jawab: “hai dungu! Bukankah engkau datang dari sana?”. Bagaimanakah perasaan engkau jika badanmu penuh kurap dan engkau berjalan di hadapan orang ramai dengan mendedahkannya, lebih-lebih lagi di hadapan orang-orang yang terhormat dan dihormati. Berlainan pula dengan gadis-gadis sekarang, kerana betisnya elok, tidak berkudis (parut) maka itulah peluang baginya membuat “show” - free show kepada orang ramai. Tidakkah sepatutnya ia bersyukur kerana ada gadis yang kudung, cacat dan cedera betisnya. Adakah “free show” satu cara bersyukur walaupun dengan kemurkaan Allah?

Jangan jawab engkau “tak tahu” atau “ibubapa aku tak melarang pun”. Yang si lelaki pula, lambat ada “free show” menenggeklah matanya. Inilah yang dinamakan “mata yang khianat”. Jangan jawab, “salah si anulah yang membuka free show” tetapi salahkanlah diri. “Mengapa tengok?”, jangan pula jawab “aku tak tahu itu tegahan Allah”. Tuhan kurniakan dan hadiahkan engkau dua biji mata, ditambah lagi dengan spactacles power 200 lebih supaya jelas dan terang lagi penglihatan engkau. Maka tengoklah segala-galanya yang ada di langit, bumi, dasar lautan hingga sel-sel yang seni melalui teropong pembesar (mikroskop), TETAPI JANGAN SEKALI-KALI MENOLEH KEPADA YANG HARAM. Kadang-kadang syaitan nanti bisik, “tengoklah sikit-sikit bukan apa, nak tengok kebesaran Tuhan, lagipun Tuhan Maha Pengampun”. Dengan bisikan ini entah berapa ramai pemuda masuk ke neraka. AWAS!!

Pantai Johor, Kedah - 10.37 p.m. KHAMIS 15/11/1979 

46)   LAWAN LEMBU GUNA BOM?

Shaikh! Engkau mungkin pernah melihat kegagalan panglima-panglima di medan peperangan ~ yang lengkap dengan senjata mengikut zaman. Ada lembing, pedang, panah - itu dahululah. Sekarang ada bom atom, nuklier, jet supersonic dan macam-macam lagi. Forget it!! Yang aku nak ambil contoh ialah panglima zaman Hercules; zaman kegagahan manusia menentang singa yang garang dan jenis makan manusia macam dalam komik Tarzan (aku minat juga cerita Tarzan). Adakah dinamakan “Hero” jika panglima tadi dilengkapkan dengan macam-macam senjata dari jenis pisau, standgun, meriam katak dan bom tangan pun boleh juga (timing bom lagi bagus), kemudian dilepaskan kepadanya se ekor lembu jantan Mexico dalam gelanggang rodeo, yang kerjanya menanduk dan menyerang sampai kojol (lagi garang daripada singa Tarzan). Sekarang, jika hero tadi cuma berpeluk tubuh dengan bangga dan megahnya dengan senjata-senjata di kelilingnya tanpa menggunakannya, maka alamat hero tinggal nama; bahkan mendapat title “coward” (pengecut)!

Samalah halnya; jika engkau menuntut ilmu tetapi tidak mengamalkan-nya, alamat ilmu tinggal ilmu dan jadilah engkau “hero yang pengecut”. Jika lembu tadi tidak endah dengan panah engkau dan masih menyerang, gunalah senjata yang lebih efficient dan jangan sekali-kali give-up atau frust, terus engkau pasang timing bomb biar sama-sama kojol ~ maka engkau akan mendapat title “hero yang pengecut lagi dungu”. Ingatlah, senjata engkau adalah ilmu. Musuh engkau, lembu, iaitu dugaan dunia. Engkau tidak akan berjaya menewaskan musuh tanpa menggunakan senjata (ilmu).

Ilmu = Senjata — musuh = dunia = lembu — zaman ~ formula apa ni? Senjata yang Allah beri (Al-Qur’an) telah cukup untuk menewaskan se- barang musuh dengan syarat engkau menggunakannya.

Pantai Johor, Kedah - 11.16 p.m. KHAMIS 15/11/1979 

47)   MENGHIBUR SATU KEWAJIPAN 

Shaikh! Engkau boleh bahkan digalakkan (mungkin wajib) untuk “menggembirakan” atau “menghibur” saudara se Islammu - baik lelaki atau perempuan, tua muda, sebaya atau anak kecil. Di dalam hiburanmu itu biarlah selaras dengan peringkat umur yang dihibur. Janganlah pula dihiburkan sesuatu kerana mengharapkan keredzaan orang tetapi engkau mendapat kemurkaan Allah. Hiburkan mereka dengan jalan syarak. Jika orang tua, hiburkan dia dengan budi pekertimu yang baik, sopan santun dan hormat tanda engkau menyayangi orang-orang tua, lebih-lebih lagi ibubapamu dan saudara mara. Kepada yang sebaya denganmu, hiburkan dengan percakapan dan tuturkata yang manis, tidak menyinggung perasaan; sekurang-kurangnya memberi senyuman atau salam kepada member yang belum dikenali. Jangan hiburkan mengikut kehendak mereka yang menyeleweng, misalnya duduk tepi tembok usik girl lalu, main judi (walaupun tak letak $) atau membuang masa menceritakan kes-kes yang tidak memberi faedah samada di dunia maupun di akhirat. Jangan hiburkan dengan bermain gitar dan lagu-lagu disko ~ seolah-olah engkau menggalakkan mereka dan menggemukkan iblis l.a. Kepada saudara peringkat muda persekolahan menengah atau rendah, hiburkanlah mereka dengan engkau sendiri mempraktik tingkahlaku yang elok di hadapannya, tidak bercakap kasar atau kata-kata kesat, peringatkan waktu sembahyang di dalam gelak ketawamu. Peradaban engkau samada elok atau sebaliknya menjadi tauladan kepada mereka secara langsung atau tidak langsung. Kepada anak-anak kecil yang baharu boleh berjalan dan menyebut “mama”, sayangilah ia dan hiburkannya dengan sentiasa bermain dengannya, mendukung, latih ia mengenal benda dan bercakap. Jangan ditegah jika ia meniru engkau ketika sembahyang, bahkan itu satu petanda baik dan nur dari Allah. Jangan marah apabila ia melakukan atau merosakkan barang-barangmu; sebab itu bukan kehendaknya. Di dalam Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w. terdapat banyak anjuran kepada memberi hiburan atau menggembirakan saudara Mukmin yang di antaranya bermaksud:-

“Tidak beriman seorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri”,

“Barangsiapa menyejukkan mata seorang Mukmin (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di hari Qiamat”,

“Di antara amalan-amalan yang paling disukai Allah s.w.t. ialah menimbulkan kegembiraan di dalam hati seorang Mukmin, melapang-kan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar”.

Tetapi jaga-jagalah Shaikh! Pernah terjadi seorang ulamak Yahudi yang niat asalnya hendak menghiburkan hati seorang “janda” dan dengan hasutan iblis laknatullah membisikkan kata-kata manis dengan “menghibur” sebagai mentaati perintah Allah, telah menjatuhkan ia ke lembah zina seterusnya takut rahsianya terbongkar dibunuh pula janda tadi bersama anak zinaan itu dan dirinya sendiri.

Awas Shaikh! Awas Shaikh! Janganlah menghibur sampai melibatkan dirimu ke lembah neraka jahannam. Dengan Allah aku berlindung dan kepadaNyalah kami memohon pertolongan, petunjuk serta hidayah ke jalan yang diredzaiNya sehinggalah ke akhir ajal kami juga di dalam kebaikan.

AMIIN, YAA RABBAL 'AALAMIIN
Pantai Johor, Kedah - 12.05 a.m. SABTU 17/11/1979 

48)   LUKISAN RASULULLAH S.A.W. 

Petikan Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

Berkata Ibnu Mas’ud: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. membuat garis lurus di atas pasir, lalu berkata: “inilah jalan Allah, jalan yang lurus”. Kemudian baginda membuat banyak garis bersimpang-siur ke kanan dan ke kiri, ke utara dan ke selatan, lalu berkata; “Ini semua adalah jalan-jalan syaitan, setiap garis atau jalan itu ada syaitan yang menyeru kepadanya. Dan sesungguhnya ialah jalanku yang lurus, maka ikutilah olehmu akan dia, janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang ber-simpang siur itu yang akan memisahkan kamu dari jalanNya itu. Demikianlah Allah memerintahkannya kepadamu, mudah-mudahan kamu berbakti”.

Jadi Shaikh! Carilah jalan yang lurus itu dengan ilmu dan tawakkal.

(Nota: lakaran di atas adalah gambaran oleh Penulis sendiri; Allah jua yang mengetahui bagaimana lakaran Rasulullah s.a.w. yang sebenar).
126, Jalan Patani, P. Pinang 9.21 p.m. SABTU 17/11/1979 


49)   LESEN / TEKET KE SYURGA 

Shaikh! Tak teringinkah engkau hendak masuk ke syurga? Tanyalah kepada budak kecil sekalipun, ia memang ingin masuk ke syurga walau pun belum pernah terbayang dan terlihat syurga. Tetapi ingat! Nak masuk satu-satu tempat istimewa, teketnya pun istimewa dan mahal. Teket atau permit ke syurga ialah TAQWA. Macam mana yang dikata-kan TAQWA? “Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya dalam keadaan suka dan duka (dalam kelapangan dan kesempitan), orang-orang yang menahan rasa marah dan suka memaafkan terhadap manusia (yang bersalah). Allah cinta terhadap orang-orang yang berbuat baik. Dan orang-orang yang bila terlanjur melakukan kejahatan atau berlaku aniaya terhadap diri mereka, mereka ingat akan Allah, lalu segera minta ampunan atas dosa-dosa mereka; dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Allah; mereka tidak berterusan melaku-kan dosa-dosa itu, sedang mereka mengetahuinya …” (rujuk Al-Qur’an, surah Ali Imran ayat 133 - 136).

Maka Shaikh! Cerminlah diri sendiri. Adakah engkau sudah berhak dan cukup syarat untuk mendapat TEKET KE SYURGA?
9.41 p.m. SABTU 17/11/1979 

50)   PAYUNG ALLAH

Shaikh! Engkau tentu mengeluh apabila jasadmu terdedah kepada teriknya matahari yang jauhnya beribu-ribu batu dari bumi. Bagaimanakah kelak jika matahari beberapa kaki di atas kepala dan berenang di dalam lautan peluh sampai ke pertengahan telinga? Ini bukan cerita bohong tetapi gambaran sebenar di akhirat kelak. Di hari itu tiada payung atau topi atau sebarang benda untuk dibuat tudung kepala dari panasnya terik matahari. Tahankah engkau dengan keadaan se demikian? Ingat, pada hari itu cuma terdapat satu sahaja payung iaitu “Payung Ilahi” yang dihadiahkan kepada tujuh golongan manusia sahaja. Maka persiapkanlah dirimu untuk memperoleh hadiah itu.

Tujuh golongan itu ialah:-

1. lelaki yang hatinya lekat kepada masjid.

2. lelaki yang diajak oleh seorang wanita cantik untuk melakukan kerja yang keji tetapi ditolaknya dengan berkata “aku takut kepada Allah”

3. dua orang lelaki yang berjumpa, bersahabat dan berpisah kerana Allah

4. orang (lelaki) yang menangis di malam yang sunyi mengenang dan menyesali kesalahannya di depan Allah

5. Imam (kepala negara) yang adil

6. lelaki yang memberikan sedekah dengan cara sembunyi sehingga (seakan-akan) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekah oleh tangan kanannya

7. pemuda yang dari lahirnya dalam beribadat kepada Allah.

Shaikh! Adakah engkau termasuk di antara salah satu dari golongan itu? Jika ada, Alhamdulillah! Jika belum, maka berusahalah ke jalan itu supaya engkau tidak sesal kemudian hari.

11.09 p.m. AHAD 18/11/1979 = 28 Zulhijjah 1399 

51)   KESULITAN HIDUP 

Shaikh! Selalulah (jika boleh pada setiap denyutan jantung engkau) ingatkan Allah s.w.t. (zikir) di masa lapangmu supaya Allah pula mengingati engkau di masa engkau menghadapi kesempitan dan di dalam kesulitan hidup yang serba menduga ini. Di dalam sebuah Hadith riwayat At-Tarmizi, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Peliharalah akan Allah, nescaya akan berdiri Dia di hadapan engkau. Ingatlah akan Allah di waktu dalam kelapangan, supaya Dia ingat akan engkau di waktu engkau kesempitan. Ketahuilah bahawa apa yang tidak menyalahkan engkau tidaklah akan membetulkan engkau dan apa yang membetulkan engkau, tidaklah akan menyalahkan engkau …. Dan ketahuilah, bahawasanya pintu kelapangan terbuka ialah kerana kesulitan dan bahawasanya bersama-sama dengan kesusahan senantiasa ada kemudahan”. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepadaNya. Bahawasanya aku sendiri (Nabi s.a.w.) bertaubat kepadaNya 100 kali sehari” (hadith riwayat Muslim).

11.09 p.m. ISNIN 19/11/1979 = 29 Zulhijjah 1399 

52)   ALLAH SAKIT … LAPAR … DAHAGA 

Shaikh! Sesungguhnya Allah sakit, mengapa engkau tidak menziarah Allah? sesungguhnya Allah lapar, mengapa engkau tidak beri Allah makan? Sesungguhnya Allah dahaga, mengapa tidak diberinya minum? Betullah engkau ini zalim. Siapakah yang memberi rezeki kepadamu? Dan anggota yang tidak cacat? Mengapa tidak digunakan untuk mencari keredzaan Allah sebagai tanda ucapan terima kasihmu kepadaNya? Mengapa engkau membazir ke jalan lain? Allah tidak melihat kepada rupamu dan perbuatanmu tetapi ia melihat pada hatimu dan niatmu ~ itu yang akan kembali kepada Allah, bukan “body”mu - itu cuma makanan ulat-ulat dan haiwan di dalam tanah.

Ikhlaskan perbuatanmu dan niatmu supaya Allah beserta denganmu di mana-mana sahaja kamu pergi bukan diiringi dengan iblis yang kena laknat. Carilah “member” sebanyak yang mungkin. Dekatilah mereka dengan wajah dan pekerti yang indah dengan cara dan jalan apa sekali pun selagi tidak bertentangan dengan syarak. Engkau tidak mungkin mendekati mereka dengan wang ringgit dan kemewahan yang ada pada tanganmu. Memadailah senyuman di bibir sebagai sedekah. (atau pun dengan se batang rokok ! tetapi makruh; se cawan kopi - seorang member - pass!!

(2.00 p.m. melawat Allah @ Busu Sariah, emak Salamiah Mat Sah baru balik dari kerja Haji di Makkah (kemalangan) tetapi sedang tidur).

(GENERAL HOSPITAL, K.L.) 2.30 p.m. SABTU 24/11/1979 

53)   LAGU DAKWAH UNTUK SIAPA?

Berkumandanglah lagu-lagu yang berunsur seruan (dakwah) kepada mengerjakan yang disuruh dan menjauhi yang ditegah, tetapi adakah yang menyanyi itu melakukan apa yang dikatakannya? Berapa ramai pula para pendengar yang mengambil pelajaran dan mentaati apa yang didengar? Bagaimana dengan engkau? Adakah mendengar sekadar menghibur? Ingatlah Shaikh! Allah benci kepada orang-orang yang tidak melakukan apa yang diperkatakannya. Bila Allah membenci seseorang …… T.S.T lah!!

12.10 p.m. AHAD 25/11/1979 

54)   KATAK DAN TEMPURUNG 
Shaikh!! Pernahkah engkau melihat “katak di bawah tempurung”? disangkanya tempurung itulah langitnya dan rumput yang dipijak itulah buminya. Alangkah bodohnya si katak itu. Jadi janganlah engkau menjadi seperti dia. Bumi Allah ini luas untuk diterokai dan dijelajahi. Bukan Penang ni sahaja duniamu. Engkau tidak akan mendapati sesuatu yang baharu jika selama ini engkau asyik berkurung di Penang. Ayat-ayat Allah terdapat di mana-mana juga tetapi berlainan tempat berlainan pula penglihatan dan pandangan. Tetapi awas! HARAM TETAP HARAM walau di mana juga engkau berada. ALLAH SENTIASA MENGINTAI TINGKAHLAKU DAN PEKERTI, PENGLIHATAN DAN NIATMU walaupun engkau berada di malam yang gelap gelita. Allah Maha Mendengar walaupun bisikan si kuman kepada membernya menceritakan rezeki yang diperolehnya pada hari itu. Allah juga mendengar bisikan hatimu yang halus. AWAS! Setiap niatmu biarlah membawa kepada kebajikan dan ikhlas kerana Allah.

GENAB USIA 23 TAHUN 9.55 p.m. RABU 28/11/1979 

55)   SAJAK - “NADI 2 DAN 3” 

23 ……
SELAMAT DATANG
22 TELAH BERLALU
DENGAN SERIBU SATU KENANGAN
SEJUTA UJIAN ……
APA MUNGKIN MENJADI 24?

23 TAHUN YANG LALU
9.30 PAGI HARI RABU
AKU LAHIR DENGAN JERITAN
TAKUT … GENTAR. ..
HENDAK MENGHADAPI DUNIA ….
YANG MENCABAR
WALAU KELOPAK MATA BELUM TERBUKA?

LAHIR AKU BERSAMA DARAH
AKHIR AKU …. ENTAHLAH!

9 BULAN DALAM GULITA
TAK KENAL DUNIA ATAU SESIAPA
23 USIA SUDAH
DUNIA GULITA MASIH TERSUA ….
NAMUN CAHAYA TERUS MEMANCAR
WALAU AKU SUDAH TIADA ………..

JASADKU … RUHANIKU …. AKU
SIAPA AKU?
SEGALA-GALANYA
YANG KASAR … JUGA SENI
BERUSIA 23 TAHUN

BAGAIMANA AKU MENGGUNAKANNYA
UNTUK APA KU GUNA …….
MATLAMAT DAN NIAT
AKAN DITANYA … JAWABLAH!!

GENAB USIA 23 TAHUN
10.50 p.m. RABU 28/11/1979 = 8 Muharram 1400 

56)   AKU DAN USIA 

Shaikh! Bangunlah engkau dari tidurmu. Engkau sekarang hidup di alam perjalanan ke 24, Insya’allah. jika itu menjadi kebajikan dan lebih baik bagimu. Jasadmu, nadimu, perbuatanmu dan segala-galanya berusia 23 tahun. Bukalah semula Diary mu selama ini dan buatlah kesimpulan sendiri. Engkau mungkin akan ketawa sedikit dan menangis banyak apabila terbayang perbuatan-perbuatanmu. Dalam tilikan akulah (pandangan kasarku), tiada anggota dan elemen-elemen dari sekecil-kecil hingga se besar-besarnya pada anggotamu yang tidak dihinggapi oleh debu maksiat dunia.

Cuba engkau bayangkan ………

Engkau menyonteng dengan pensil di atas kertas putih yang bersih. Kemudian engkau cuba padamkan dengan pemadam. Walaupun tidak ketara contengan itu tetapi kesan atau bekasnya tetap lekat pada kertas itu. Bagaimana jika engkau menyonteng dengan pensil yang keras ( H atau 3H) atau dengan Markent Pen (pen minyak) ~ sukar sekali dipadam. Demikian juga ruhanimu yang bersih asalnya telah engkau contengkan dengan dosa-dosa kecil dan besar samada engkau ketahui atau tidak, sengaja atau tidak sengaja.

Ingatlah Shaikh! Walaupun engkau memadamnya dengan amalan-amalan kebajikan atau bertaubat, namun kesan-kesannya pasti ada … dan engkau akan melihatnya kelak di akhirat. Sekarang usiamu 23 tahun …. Mungkin dilanjutkan Allah atau tidak bergantung kepada takdir, qadha dan qadar Allah. Jangan engkau meminta mati kerana engkau tidak tahu adakah bekalanmu sudah cukup. Jangan pula memohon umur terlampau lanjut sampai anak cucu membenci dan meminta engkau cepat mati. Jadi, sebaik-baiknya memohonlah kepada Allah agar usiamu bermula dengan kebaikan dan berakhir dengan kebajikan. Mohonlah kematian (kembalimu) dengan jiwa yang tenang (nafsul mutma’innah) dan meninggal di dalam “Husnul khaatimaah” (yang baik) … di dalam keadaan berbaik sangka dengan Allah. Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah memohon agar usianya jangan terlalu lanjut. Ingatlah! Jika engkau dimasukkan ke syurga bukanlah kerana amalan ibadatmu tetapi kerana RAHMAAN dan RAHIIM Allah. Jika ditakdirkan ke neraka, itu adalah kerana perbuatanmu, kejahilanmu, keangkuhanmu dan sifat-sifat keji mu …. Dengan Allah aku berlindung.
11.35 p.m. RABU 28/11/1979 = 8 Muharram 1400 

57)   TRAGEDI 1 MUHARRAM 1400 H 

Shaikh! Engkau melihat ramai saudara-saudaramu yang menjadi TETAMU ALLAH menunaikan fardhu Haji, rukun Islam kelima bagi yang berupaya. Selepas kerja Haji baru-baru ini, sejarah buruk dalam dunia Islam berlaku ~ pencerobohan di tanah suci Makkah pada awal Muharram 1400. Cuba engkau fikirkan dalam tahun Gajah, sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w., tentera Abrahah cuba hendak menceroboh dan merobohkan Ka’abah, apa yang telah berlaku? Tenteranya menjadi seperti daun-daun kering dimakan ulat akibat lontaran batu-batu kecil dari neraka yang dilontar oleh burung-burung - tentera Allah. Mengapa pula pada 1 Muharram 1400, Allah mengizinkan berlakunya pertumpahan darah di sekeliling Ka’abah? Pelik juga memikirkannya. Pada pandangan aku, ini satu amaran Allah kepada penghuni-penghuni sekitar tanah haram khasnya agar tidak merosakkan aqidah Islam di dalam kerja-kerja Haji. Memang kalau dipandang secara kasar, pengaruh barat telah masuk ke tanah haram, ada di antaranya menghilangkan nikmat dan maksud sebenar mengerjakan Haji. Mungkin juga Allah ingin memberi amaran agar nikmat-nikmat yang dikurniakanNya seperti kemewahan minyak dan wang ringgit diguna pada jalan yang diredzaiNya, bukan untuk melonggokkan harta dunia, anak pinak dan kenikmatan dunia. Mungkin juga Allah hendak menduga dan menguji keimanan seluruh umat Islam. Aku harap Allah memberi petunjuk kepada semua umat Islam, mengampunkan ketelanjuran kami. Semoga tidak berlaku lagi perkara yang sama.

Engkau lihat, ada tetamu-tetamu Allah yang kembali ke tempatnya dengan lebih alim, lebih sihat dan merasa puas dan ada pula yang balik bersama-sama kecacatan anggota, sakit demam dan lain-lain. Janganlah timbul buruksangka terhadap Allah! itu adalah kehendak Allah. Allah hendak menguji keimanan hambaNya ~ si sakit dan saudara yang menziarahinya. Tidak beriman jika tidak mengalami ujian Allah. Kesakitan juga satu cara Allah menebus dosa hambaNya di atas bumi supaya ia terlepas dari azab di akhirat yang beribu kali lebih hebat dan maha dahsyat. Mana yang lebih baik?

Jadi Shaikh! Dari apa yang engkau lihat itu, janganlah sedikitpun merubah cita-citamu ingin menjadi TETAMU ALLAH apabila terdaya olehmu kelak. Bertawakkallah kepada Allah! jadilah tetamu Allah ketika engkau masih muda dan kuat supaya sempurna kerja Hajimu, memperolehi Haji yang mabrur.

INSYAA'ALLAAH
2.07 a.m. RABU 5/12/1979 = 15 Muharram 1400 

(Nota tambahan 2002: pada Feb - Mac 2002, Penulis telah berpeluang menjadi Tetamu Allah bersama-sama isterinya Salamiah binti Mat Sah)

58)   SEMUA MUKMIN PENDAKWAH

Shaikh! Lihatlah sekelilingmu. Dahulu ~ “Assalaamu’alaikum” ialah ucapan bagi peminta sedekah. Sekarang bila engkau memberi salam demikian - satu perkataan akan keluar dari penjawab salam itu ialah “dia itu pendakwah”. Apakah akan terjadi? Apa yang aku risau, setiap perbuatan akan dikatakan “dakwah” padahal hukum sebenar akan lenyap. Engkau sembahyang - dakwah, puasa - dakwah, bercakap dan memberi nasihat - dakwah, tegah buat jahat - dakwah, makan mengikut sunnah Nabi s.a.w. - juga dakwah, mendengar syarahan Maulidurasul - dakwah. Entahlah semua dakwah. Yang lebih merisaukan ialah dakwah dianggap sebagai kerja satu badan tertentu untuk orang yang tertentu. Jadi ia tidak terlibat. Maka kelak, puasa, sembahyang, zakat untuk orang-orang dakwah. Tanpa disedari, setiap Mukmin adalah PENDAKWAH. Seorang ibu melarang anaknya mencuri, main judi - itu dakwahlah namanya i.e. mencegah yang munkar. Apabila kita menyapu halaman rumah supaya bersih - dakwah namanya, biar orang semua tahu Islam mementingkan kebersihan dan bukan pula kerana aku seorang Melayu. Seorang bapa bekerja mencari rezeki yang halal untuk keluarganya - dakwah juga kerana memberi contoh tauladan yang baik kepada anak-anaknya dan masyarakatnya bahawa Islam tidak menyuruh duduk di penjuru masjid menanti rezeki turun dari langit. Banyak lagi perkara yang dinamakan “dakwah” tetapi kita yang jahil memandang dakwah dengan pandangan yang sempit sekali - mengakibatkan Islam menjadi berpuak-puak dan berpecahbelah walau-pun sama warna kulit.
2.23 a.m. RABU 5/12/1979

~ ERA 1980 ~ 
59)   APA KATA SAL (1)
(Ditulis di dalam tulisan Jawi)

Bahawa takut anda kepada Allah Ta’ala dalam setiap suasana hidup dan anda jadikan keredzaan Allah itu tumpuan pandangan anda dan anda akan ikuti undang-undangNya dan anda tolak setiap maksiat yang anda perolehi dengan memaksiatkannya dan anda sabar atas setiap mudharat yang menimpa anda atau mungkin menimpa anda dengan mentaatinya.

SALAMIAH MAT SAH
21 SAFAR 1400 

60)   APA KATA SAL (2) 

SHAIKH, APA JUALAH YANG DAPAT HAMBA CATITKAN DI KERTAS YANG SEPUTIH DAN SE BERSIH INI, KELAK AKAN MENGKOTORINYA PULA…. LANTARAN PENGETAHUANKU YANG CETEK, SERTA DIRIKU YANG SERBA SERBI KEKURANGAN, APALAH YANG ADA UNTUK AKU GORISKAN LANTARAN HATI INI JUA SENTIASA TANDUS DAN SERING KARAM DI DASAR LAUTAN PENDERITAAN DAN PERLUKAN PETUNJUK DARI INSAN YANG SEMPURNA ….

NAMUN UNTUK TIDAK MENGHAMPAKAN HARAPANMU, KU GAGAH JUA PENA INI BAGI MENCORETKAN SE PATAH DUA KATA BUAT RENONGANMU DI HARI YANG BAKAL MENAMPAKKAN RUPA ….

APA YANG ADA DI SISIMU DI DUNIA AKAN LENYAP JUA….. APA YANG ADA DI SISI ALLAH YANG KEKAL SELAMANYA ….. KEKASIH YANG UTAMA IALAH AMAL SALLEH …. KERANA IA TEMANMU SELAMANYA … JIKA KEKASIHMU ADALAH INSAN ... IA HANYA UNTUK DI DUNIA SAJA….. JIKA HARTA ADALAH KEKASIHMU ….… IA AKAN TINGGAL DAN DIREBUT OLEH WARISMU.

KEDEKUT DAN BAKHIL JANGAN DITURUT…. BELANJAKANLAH UNTUK YANG HAK MAKA AMBILLAH SE BAHAGIAN HARTAMU.. BAHAGI-BAHAGIKAN ANTARA FAKIR DAN MISKIN … SUPAYA JADI SIMPANANMU DI SISI ALLAH ….

KEMULIAAN ITU DICAPAI DENGAN ILMU DAN AGAMA ….. BUKAN TERLETAK PADA KETURUNAN DAN DARJAT. YANG PALING UTAMA DI SISI ALLAH IALAH TAKWA.. MAKA JADIKAN-LAH TAKWA ITU TEMANMU

MUSUH YANG PALING UTAMA IALAH SYAITAN …. TAPI BUKAN SE SAMA INSAN

REZEKI ITU DITENTUKAN OLEH TUHAN ….. DIPEROLEHI DENGAN IKHTIAR DAN SUSAH PAYAH ….. LANGIT TIDAK MENURUNKAN HUJAN EMAS ….. MAKA CARILAH REZEKI DI- MUKA BUMI DENGAN HALAL .. JANGAN LUPA KEPADA ALLAH KERANA SIBUK DENGAN DUNIA ….. BERUSAHALAH DAN BERTAWAKKAL PADA ALLAH DAN BERDOA KEPADA ALLAH KERANA ALLAH JUA YANG MELAKSANAKAN.

t.t. SALAMIAH MAT SAH
KHAMIS 14th feb 1980 JAM: 8.00 MALAM

61)   NAFSU DAN ORANG

Shaikh! Ada orang mengaku yang ia boleh membuang nafsu ~ maka dia adalah pembohong dan pendusta yang nyata, apa dia Malaikatkah? Tetapi jika ia mengatakan ia boleh mengawal atau mengalahkan nafsu ~ itu benar. Manusia tanpa nafsu bukanlah manusia sebenarnya. TETAPI manusia yang gagal mengawal kehendak nafsu, boleh ter-golong di dalam kumpulan haiwan bahkan kadang-kadang lebih dari itu.
18 Feb 1980 

62)   TAUBAT DAN TERUS DOSA 

Shaikh! Bagaimana engkau rasa jika engkau tidak berhenti bertaubat kepada Allah di atas ketelanjuran perbuatanmu, samada dzahir atau batin, terang-terangan atau tersembunyi, sengaja atau tidak sengaja tetapi engkau masih teringat-ingat atau bercita-cita akan melakukannya - itu bukan Taubat Nasuha namanya tetapi berolok-olok dengan Allah.

Ingatlah! Allah benci kepada orang yang “CAKAP TAK SERUPA PERBUATAN” - nanti Allah sudah jemu padamu dan berpaling darimu - jauh dari petunjuk dan hidayat. Cuba bayangkan, di suatu simpang empat, jika tiada lampu isyarat atau lain-lain papan tanda “AWAS” sudah tentu kelam kabut dan perlanggaran terus berlaku dan ber-tambah. Samalah dengan dirimu, apabila Allah berpaling darimu kerana perbuatanmu sendiri, maka hidupmu akan terus bergelumang dengan dosa sehingga akhir hayatmu kerana gurumu bukan lagi Allah atau Al-Qur’an atau Hadith Nabi s.a.w. tetapi syaitan celaka yang memang gembira apabila engkau terus dengan dosa. Engkau mungkin akan berasa perbuatanmu itu baik tetapi sebenarnya tidak kerana niat yang ikhlas sudah tidak ujud lagi. Engkau akan terus bergembira dengan perbuatanmu yang disangka kebajikan.

YA ALLAH! ILHAMKANLAH KEPADA KAMI KETAQWAAN BUKAN KEFASIKAN. TILIKILAH KAMI DAN KASIHANILAH KAMI. BUKANLAH KAMI BEROLOK-OLOK DENGAN MU TETAPI KAMI TAK KUASA DAN DHAIF.
12.15 p.m. SELASA 8/4/1980 


63)   INDAH SEKALI RUPANYA

Shaikh! Adakah engkau menyedari apa yang telah, sedang dan akan engkau lakukan? Engkau kata engkau beriman dengan Allah tetapi mengapa engkau berani melakukan sesuatu yang membawa kepada kemurkaanNya? Engkau beriman dengan Malaikat-Malaikat Raqib dan ‘Atib (pencatet amalan baik dan buruk manusia) tetapi mengapa engkau masih bergembira apabila dosa-dosamu dicatet dan mungkin tak akan dipadam lagi? Engkau kata engkau beriman dengan Al-Qur’an dan Hadith tetapi sejauh mana engkau mengamal dengan apa yang engkau ketahui? Engkau menepuk dada mengatakan beriman dengan itu dan ini tetapi sanggupkan engkau menghadapi ujian-ujian yang telah ditentukan Allah dengan menghasilkan kejayaan?

Engkau mengaku engkau sebagai seorang Islam, setiap Islam adalah pendakwah, betapakah keadaanmu menyuruh orang buat kebajikan tetapi menyuruh dirimu berbuat maksiat? Ke mana arah akan engkau bawa dirimu di akhirat kelak? Engkau membenci apabila melihat orang membuat kemunkaran di depanmu, tetapi mengapa engkau tidak mengutuk apabila engkau sendiri melakukannya? Engkau tahu, syaitan itu musuh ketatmu yang tak dapat engkau lihat tetapi mengapa engkau turutkan bisikan-bisikan jahatnya? Engkau tahu dunia ini ibarat “tahi anak Adam” tetapi mengapa hal itu yang didahulukan daripada amal-amal akhirat?

Ingin aku gambarkan keadaan engkau dahulu dan sekarang dengan satu cerita yang menarik. Ada seorang hamba Allah berpakaian cantik dan bersih (mungkin pada Hari Raya); waktu itu musim hujan, jalanraya agak lecah dan becak . Dia terpaksa melalui jalan itu untuk sampai ke rumah sahabatnya hendak menziarahnya. Dia pun hati-hati melangkah se tapak demi se tapak supaya tidak kotor baju barunya. Entah bagai-mana ditaqdirkan kakinya terpicak se ketul batu yang licin dan terjatuh. Oleh kerana geram dan marah, ia pun bangun semula dan melangkah dengan lebih cepat lagi dengan ingatan “padan muka aku, alang-alang kotor sedikit biar kotor semua!”. Maka baju barunya tadi habis melekat selut-selut dan lumpur akibat marahnya. Adakah sanggup ia meneruskan perjalanannya dan berhari raya di rumah sahabatnya, di hari yang mulia menyambut kemenangan di dalam keadaan demikian? Inilah akibat dari marah dan geram yang dirasuk syaitan. Bukankah lebih elok jika ia bangun semula terus kembali ke rumahnya ~ mandi dan salin baju baru yang lain ataupun kalau tiada, cuci semula baju itu dan pergi semula ke rumah kawannya tetapi kali ini mestilah lebih berhati-hati lagi atau kalau boleh cari jalan lain yang tidak lecah ~ biarpun jauh sedikit dan memerlukan tenaga yang lebih sedikit. Jadi jika sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan, jangan terus juga berjalan dan perjalanan menjadi lebih sukar dan lebih jauh sesatnya.

Shaikh! Sayangilah dirimu yang satu-satu ini dan sedarilah, insaflah dan bertaubatlah segera dengan sebenar-benar taubat sebelum baju barumu tidak terus kotor!
12.41 a.m. AHAD 6/7/1980 


64)   ENAM KONSEP KETAWA!

1. Banyak ketawa, orang menganggap / berkata “dia gila kot?”

2. Ketawa ibarat garam dalam gulai mami Penang, kalau sedikit tak sedap (tawaq) kalau lebih pun tak sedap (masin) ~ garam = ketawa dan gulai = penghidupan ini.

3. Kata Nabi Muhammad s.a.w. semasa mengalami Israk dan Mikraj tentang neraka yang bermaksud: “jika engkau melihat apa yang aku lihat, engkau akan ketawa sedikit dan menangis banyak”.

4. Jika banyak ketawa di dalam pergaulan harian, kita boleh peroleh ramai kawan tetapi jika terlalu banyak ketawa, orang akan kurang menghormati kita dan mudah memperbodoh-bodohkan kita - kedudukan kita diletak di bawah sekali.

5. Dua bahasa kanak-kanak se dunia di mana-mana sahaja: “ketawa” bila hatinya senang, “menangis” bila apa yang diminta tidak dapat atau sesuatu yang tidak disenangi.

6. Ketawa 24 jam tanpa se minit bersedih boleh dijumpai di Wad orang gila di Tanjong Rambutan dan Tampoi.
1.00 a.m. AHAD 6/7/1980 

65)   BALA DAN RAHMAT 

Shaikh ! sedarilah apa yang sedang berlaku ke atas dirimu, engkau dalam kegundahan apabila engkau menghadapi berbagai kesulitan dalam hidup, samada zahir atau batin. Itulah nikmat dan atas setiap nikmat itu hendaklah engkau bersyukur walaupun terpaksa menderita supaya senang kemudian (di akhirat kelak).

ALHAMDULILLAAHI 'ALAA KULLI HAAL

Allah turunkan kegundahan dan ketidakafiatan itu bukan sengaja atau sia-sia tetapi kerana beberapa sebab; i.e. yang utama sekali hendak menguji ketabahan imanmu; adakah engkau terus bersyukur walaupun diturunkan (diberikan) sesuatu yang tidak engkau ingini. Sebab yang lain ialah semata-mata Allah hendak mengajar engkau cara beradab sopan dan tata kesusilaan dengan Allah, kerana dalam perjalanan hidupmu setiap hari dan detik terdapat perbuatanmu yang terkeluar dari suruhan dan tegahan Allah, samada sengaja atau tidak sengaja. Sebab lain ialah Allah mahu menyuci dirimu dari segala kekotoran maksiat dosa yang engkau lakukan selama ini secuci-cucinya supaya engkau kembali kelak kepada Allah dalam keadaan bersih seperti keadaan engkau lahir ke dunia ini.

Jika engkau menyedari hakikat ini se sedar-sedarnya maka jauhilah perkara-perkara yang akan menyebabkan engkau menderita di dunia ini atau jika engkau sengaja tak mahu sedar, teruslah engkau dengan perbuatan engkau dan bala akan terus menimpa engkau sehingga engkau masuk ke dalam tanah. Dengan Allah kita berlindung dan kepadaNyalah kita berharap pertolongan dan rahmat.

8.45 p.m. SABTU 12/7/1980 

66)   IMAN LALANG 

Shaikh! Shaikh! Tahukah engkau iman apa yang sedang engkau miliki? Aku nak bagi contoh tentang iman hang. Iman hang lani betoi-betoi macam iman pokok lalang; bila mai angin dari kiri, hang pon melentok ke kanan dan bila mai angin dari kanan hang melentok ke kiri, bila mai angin straight dari atas, hang terterap atas tanah, kalau mai angin puting meliung, terbanglah hang bergulong-gulong dengan tofan sekali. Apa hang ingat hukum-hukum Allah ni boleh dok ikut angin kaa? Mai angin bayu, angin dakwah, amboi hang pon dudok macam alim-alim sangat, kosyok tawadoq; tapi bila mai angin ribot, hang punya ribot lebih dari binatang 4 kaki, 1 ekoq! Apa ni? Lagu ni yang nak mengaku orang Islam konon, umat Muhammad s.a.w. …. Pooooraaah! Hang tipu diri sendiri tapi hang tak sedaq pon. Iman hang lani, tak lain tak bukan macam misai dengan janggot hang jugak. Kadang-kadang hang simpan misai, hang cukoq janggot; hang simpan janggot, cukoq misai; kadang-kadang hang cukoq licin dua-dua tapi kadang-kadang hang simpan dua-dua. Adakah Tuhan nak terima iman orang yang ada akai macam ni? Di mana nak letak kalau orang macam ni?

WALLAAHU WA'ALAM

Ingatlah, Allah takkan simpan atau pakai kalau lampu sat pejam, sat celek, lama-lama blow troeh ~ kalau lampu hari raya tak pa jugak, ni lampu nite club disco, buat rosak mata, fikiran dan punca segala maksiat! Pikiaqlah dalam-dalam sikit. Lampu macam ni kalau, tempatnya bukan di ateh siling tapi dalam tong sampahlah, kemudian ganti dengan lampu kalimantang, lagi bagueh, cahaya siang malam sama. Bak kata oghang, daripada lampu tu blow, pejam celek sikit pun tak paa lah. Mana tau kot satu hari (Insya’allah) dia kena cas sikit atau pasang karan lebih sikit, terus dia menyala dengan baik terang dan tak padam-padam.

12.17 a.m. AHAD 13/7/1980 

67)   SYETAN CUCUK HIDUNG? 

Shaikh! Hang tahu kan, tiap-tiap Nabi ‘alaihissalam ada mukjizat mereka sendiri supaya manusia nampak jelas akan kebesaran Allah dan terus menuju kepada cahaya kebenaran dan keimanan. Salah satu Mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Qur’anul Kariim.

Tahukah engkau, apakah pula mukjizat syetan sampai pengikutnya menjadi semakin ramai? (silap-silap hang pun sama ~ dengan Allah aku berlindung). Mukjizat syetan laknatullah ialah ia tidak kelihatan kepada manusia, senjata dia bukan macam tongkat Nabi Allah Musa a.s. atau kekuatan Nabi Daud a.s. dengan besi, atau rupa cantik macam Nabi Yusuf a.s. ~ senjata syetan ialah cuma bisikan-bisikan dan seruan lemak merdu yang menyebabkan manusia hilang akal dan mendaftar diri menjadi members Kelab syetan. Bukan payah guna bom atau apa-apa, cuma cucuk kat mata, telinga, mulut, dada, punggung, kaki, tangan dan lain-lain; last sekali cucuk kat hidung macam kerbau bawa masuk ke neraka. Settle kerja.

12.28 a.m. AHAD 13/7/1980 = 30 Sya’ban 1400 

68)   KING 

Shaikh! Ketahuilah, sebab suatu masa kau mungkin menjadi bapa, suami dan “King” dalam rumahtangga.

AWAS! King boleh bawa rakyatnya ke syurga tapi kadang-kadang rakyatnya menarik King masuk ke neraka.

Macam mana ni? King yang kena “Queen Control” takut kat bini, bangun subuh sorang-sorang diri, pelan-pelan sembahyang, takut disturb Queen nak tidur ~ itulah yang membawa ia ke neraka kelak. King sayang anak dia, bagi apa saja yang dia hendak, layan bukan main, hantar overseas biar jadi Engineer, Lawyer tetapi tak sembahyang tak apa, forget it! Lawyer ini kelak membawa ia ke neraka. King yang gagal membawa Queen dan putera puterinya ke syurga akan berakhir nasibnya di neraka.

Tahankah tinggal dalam api dalam keadaan tak mati dan tak hidup?. Pilihlah satu di antara dua:- SUSAH DULU SENANG KEMUDIAN atau SENANG DULU SUSAH KEMUDIAN.

Pandai-pandailah King mengguna diplomasi supaya “ular dipukul, tongkat tak patah, tanah tak berlekok”!

12.39 a.m. AHAD 13/7/1980 

69)   IBUNDA 

Shaikh! Janganlah jadi seperti semangat muda mudi sekarang “Hidup untuk membela tanahair, nusa dan bangsa” tetapi habok pun tak dak! Jangankan nak bela tanahair, nak bela diri dia dengan rumahtangga dia pun tak sanggup. Kata-kata semangat dan ikrar tinggal ikrar sahaja. Tok sah tanya lain, tanya satu soalan …. “banyak mana dah jasa mak bapak dia yang bela dia dari kecik, menyusu, bagi ubat bila sakit, tampaq nyamok di betih, paha dan lain-lain? Mai besaq sikit, dah mula nak menyemat (smart), masok sekolah, cerewet pulak nak pakai kasut BATA, koman-koman tak mau, semua ni duit dan duit tak akan datang dengan menadah tangan ke langit ~ duit diperolehi dengan usaha, bila dah usaha, setitik peluh mesti keluar …. Banyak mana dah jasa-jasa ni yang dah dibalas? Harapan mak bapak nak mendidik sampai hampa besaq dan jadi manusia yang sempurna. Apa hang ingat, dengan huloq duit $50 atau $100 sebulan tu dah besaq sangat? Kalau pun depa dah tua dan hang pelihara, harapan hang bahawa depa ni tak akan hidup lama berbeza langsung dengan harapan mereka terhadap hang. Ingat-lah! Walaupun hang bagi semua duit gaji hang sebulan pun sampai orang tua tu meninggal, masih tak terbalas lagi jasa mereka. Jadi janganlah dok rasa megah dengan menghuloq duit $50 atau $100 tu - NOTHING. Yang paling berharga dan bernilai ialah tingkah laku, pekerti yang baik terhadap keduanya dan benar-benar kasih dan simpati terhadap jasa kedua-duanya. Cubalah bayangkan, bila dah kerja, ada duit, nak kahwin, dah kahwin, beranak - berfamili ~ tanggungjawab lebih berat, jadi masa mana nak balas jasa mak bapak? Jadi tok sahlah dok berikrar terok-terok “nak bela nusa dan bangsa” kalau mak bapak sendiri letak di sebelah. Dari satu Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “engkau dan hartamu adalah untuk bapamu” - apakah erti sebenar Hadith ini? Fikirlah dalam-dalam ya Shaikh!
12.11 a.m. RABU 16/7/1980 

~ ERA 1981 ~ 

70)   5th REVIEW
(setelah sekian lama berhenti menulis!)

Shaikh! Selama lima tahun engkau di U.S.M. ini, apakah pengajaran yang terbesar yang telah engkau dapat? Flashback sebelum engkau masuk U.S.M. bagaimana keadaan jasmani dan ruhani engkau dan bagaimana pula sekarang? Apa yang jelas bahawa walaupun terdapat kemajuan di dalam pelajaranmu tetapi sebenarnya kemerosotan di dalam pembangunan ruhanimu, ibadatmu, pegangan agamamu, pengajian bab akhirat dan yang paling dikhuatirkan ialah engkau semakin jauh dari Allah s.w.t. walaupun berbagai-bagai jalan telah engkau ambil untuk mendekatiNya. Engkau tunduk kepada nafsu jahat-mu, engkau ikut seleramu, engkau ketepikan undang-undang Allah dan tegahanNya, engkau sibok dengan hal-hal dunia dan ilmu Allah engkau jauhi, moral engkau jatuh, maruah engkau entah di mana letaknya, namun engkau terus mengeluh tidak puas dengan itu dan ini. Apakah ini namanya kemajuan dan pembangunan ruhaniah? Itulah keruntuhan di masa hadapan walaupun gambaran kemenangan di kacamata ramai. Apa itu matlamat hidupmu? Apa itu yang dikejar? Apa itu kebahagiaan? Rosak, binasa, hancurlah dirimu jika keadaan berterusan seperti ini di masa muka. Selama 5 tahun engkau tinggal di dalam istana ilmu yang penuh dengan kebebasan, ujian, dugaan, moral dan gelagat manusia. Bukan sahaja ilmu yang engkau timba tetapi gelagat manusia yang tak senonoh juga engkau cedok bersama. Bukan tiada kumpulan-kumpulan yang sentiasa mengingati Allah dan berusaha mendekatkan diri kepada Nya tetapi mengapa engkau tidak menimba keperibadian mereka? Engkau telah tertipu dengan duniawi dan isinya. Engkau memilih sesuatu yang nilainya rendah di sisi Allah dan membuang harta kekayaan yang paling berharga. Itukah cerdik, pandai dan bijaksana namanya?? Itulah dungu!!

Tahukah engkau di mana kedudukanmu sekarang? Engkau adalah seorang pejuang di tahap yang gagal tetapi tidaklah tewas terus. Engkau masih punya harapan untuk beroleh kejayaan jika engkau bertaubat dan menyesali segala perbuatanmu yang lalai, sengaja atau tidak sengaja, lahir dan batin. Engkau masih diingati oleh Allah walau-pun perbuatanmu dah cukup untuk membuat Allah membenci mu. Ingatlah! Rahmat Allah mendahului kemurkaanNya dan Dia sedia mengampun hamba-hambaNya yang selalu menangis mengenangkan kebodohan dirinya dan menyesal. Alangkah bahagianya jika beroleh rahmat Allah.

2.57 a.m. JUMAAT 24/4/1981 
(Di saat-saat akhir menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda U.S.M) 

71)   FORECASTING 

Shaikh! Sekarang alam penuntut mu berakhir (mungkin buat seketika waktu) dan engkau akan terlibat di dalam alam pekerjaan yang mana polisi dan coraknya adalah jauh berbeza dari alam penuntut..

Di alam pekerjaan, engkau akan menemui berbagai-bagai dugaan dan ujian yang lebih hebat dan akan menggugat keimananmu kepada Allah. Maka di sinilah akan menentukan kehidupanmu di dunia dan akhirat. Di sinilah kebijaksanaan dan keadilan dirimu memainkan peranan penting untuk menentukan satu-satu perkara.

Petikan Al-Qur’an yang bermaksud: “YA ALLAH! MASUKKANLAH AKU KE DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR DENGAN NIKMAT ENGKAU, BERSABAR MENERIMA DUGAAN ENGKAU DAN MENOLONG WALI-WALI ENGKAU”.

Alam pekerjaan penuh dengan tipu helah, putar belit, rasuah, bodek-membodek dan segala macam rupa bentuk yang di luar ramalan dan pengetahuan engkau dan tidak pula diajar di Universiti.

Cara engkau menggauli orang ramai dan fahaman saikologi manusia adalah penting sekali. Keperibadian Islam tulin jangan diketepikan demi menjaga nama se siapa atau kedudukan jawatanmu. Engkau mungkin puas beroleh wang dari titik peluhmu tetapi ingat setiap sen, kupang, ringgit akan disoal kelak. Dari mana engkau perolehinya, ke mana eng-kau belanjakannya. Awas Shaikh dengan mulut-mulut manis yang akan membodek engkau tetapi punggung engkau cuba dicocok dengan onak. Janganlah engkau mengira sesuatu perkara yang salah walau-pun kecil itu “tidak mengapa”, tiada siapa tahu atau sebagainya. Ingat-lah, engkau bertanggungjawab di atas segala perkataan, perbuatan dan gerak langkahmu. Akibatnya mungkin akan diterima sekarang di atas muka bumi ini atau “bring forward” di akhirat kelak. Alam pekerjaan ibarat alam sungai yang penuh dengan buaya-buaya yang laparkan bangkai. Sebelum engkau terjun ke dalamnya, buatlah keputusan yang wajar dahulu. Cuma ada dua pilihan:-

1. engkau terjun ke dalamnya dalam keadaan seperti mereka juga bahkan lebih lapar dan dahaga dan

2. engkau menjadi buaya putih (keramat) yang lain dari yang lain dan menolak segala bangkai kegemaran mereka.

Jadi buatlah decision sekarang dan fikirkanlah kaedah serta cara-cara yang akan membawa engkau kepada mencapai matlamat itu dan berjaya seterusnya.
3.257 a.m. JUMAAT 24/4/1981 


72)   SYARAHAN ISRAK DAN MIKRAJ (Nota catetan Syarahan sempena Israk dan Mikraj oleh Al-Ustaz Nikmat Yusuf dan Al-Ustaz Haji Yusuf Rawa di Masjid Hashim Yahaya)

Pengajaran dari peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w.

Peristiwa tersebut iaitu dari perjalanan ke Baitul Muqaddis hinggalah ke Sidratul Muntaha, keseluruhannya menggambarkan penghidupan manusia menuju kepada Allah.

1. perjalanan dari masjid ke masjid ~ boleh ke syurga

2. perjalanan yang penuh dugaan dari semua arah yang melalaikan matlamat asal.

3. sebelum mengadap Allah Rabbul’aalamiin, hati harus dibersihkan dahulu dari titik-titik dosa

4. Israk dan mikraj menguji keimanan umat Islam tentang pegangan aqidah dan memisahkan mereka yang memeluk agama Islam secara taqlik (ikut-ikutan)

5. membuktikan kekuasaan dan kebesaran Allah kepada pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w.

6. istilah fitnah di dalam Islam yang sebenarnya ialah menegah orang-orang yang menyeru kepada kebaikan

7. cuma hamba-hamba Allah sahaja yang berhak masuk ke syurga (rujuk surah Al-Fajr)

8. ILMU - ISLAM - IMAN; tiga perkara fardhu ‘ain yang harus dituntuti terlebih dahulu sebelum mengadap Allah Taala

9. manusia (Nabi Muhammad s.a.w.) lebih dimuliakan dari Jibrail a.s. (menembusi Sidratul Muntaha)

10. peristiwa Israk dan mikraj bukanlah sesuatu yang mustahil sebab Nabi s.a.w. “diisrak dan dimikrajkan”; seperti kesah semut di dalam kocek baju yang dibawa berjalan ke England misalnya; bukan semut itu yang berjalan sendiri.

11. Abu Jahal bermegah dengan menyebarkan fitnah tetapi sebenar-nya dia telah membantu Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan cerita yang sebenarnya; yang benar tetap benar tetapi kadang-kadang musuh membantu menegakkan kebenaran itu tanpa di-sedarinya. Samalah kisah Fir’aun yang mendidik Nabi Musa a.s. walaupun ia tahu Nabi Musa a.s. akan meruntuhkan kebesarannya. Keimanan Masyithoh, suami dan anaknya yang beriman dengan Allah. Peranan wanita adalah besar di dalam mendirikan kebaha-giaan rumahtangga.

12. gambaran-gambaran azab memberi amaran dan peringatan kepada umat-umat Islam

13. orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengannya lebih dahulu masuk ke neraka dari orang-orang kafir

14. seseorang tidak dikatakan beriman melainkan setelah menerima ujian atau dugaan dari Allah Taala.

~ TAMAT TULISAN DARI KACAMATA MAHDZAR 2 ~ 

1.00 pagi SABTU 6 JUN 1981 

Alhamdulillah! Tamat mengkomputerkan “Dari Kacamata Mahdzar 2” pada 5 Ogos 2002 = 25 Jamadil Awwal 1423 jam 9.40 malam 


PENGHARGAAN

Ucapan setinggi penghargaan dan Jazakallaahu bikhair kepada sekelian guru-guruku yang telah mendidik dan mencurahkan ilmu pengetahuan keagamaan kepadaku selama ini termasuklah para ustaz dan alim ulamak yang mengajar di surau-surau maupun masjid-masjid. Tidak ketinggalan kepada pengarang-pengarang, penterjemah dan penerbit-penerbit buku agama samada yang masih hidup ataupun yang telah kembali ke rahmatullah. Jasa mereka tidak akan ku lupakan dan semoga Allah s.w.t. tidak mensia-siakan usaha mereka. Merekalah ulamak pewaris Nabi Muhammad s.a.w. yang akan memastikan syiar Islam terus menyinar di muka bumi ini dan tidak akan padam sehingga bumi menemui kemusnahan total i.e. qiamat.

Setinggi ucapan syabas dan terimakasih kepada Al-Marhum dan Al-Marhumah kedua orang tuaku (Allah mencucuri rahmat ke atas ruh kedua-duanya) yang kerana didikan dan bimbingan merekalah, aku mengecapi nikmat hidup di dunia ini dan berada seperti di dalam keadaanku sekarang ini. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa mereka dan memberi ganjaran pahala yang besar di atas segala usaha kebajikan mereka.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Menyayangi 

YA ALLAH! BERIKANLAH AKU KEIMANAN YANG SEJATI DAN KEYAKINAN YANG TIDAK DISUSULI OLEH KEKUFURAN DAN BERIKANLAH AKU RAHMAT YANG DENGANNYA AKU MEMPEROLEHI KEMULIAAN KEBESARAN MU, DI DUNIA DAN DI AKHIRAT.

No comments:

Post a Comment