Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas
(Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Syeikh_Idris_al-Marbawi)
Potret Syeikh Muhammad Idris Abdul Ra'uf Al-Marbawi Al-Zahari
@ Idris Marbawi
@ Idris Marbawi
Foto semasa menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah di Kuala Lumpur.
Kembali ke rahmatullah pada 13 Oktober 1989, usia 93 tahun
Allah merahmati ruhnya dan ditempatkan bersama ruh para solihin. Al-Faatihah.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan ilmu.
Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Dzulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafal kitab suci Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.
Butiran Kitab Bahrul Mazi(Sumber: http://groups.yahoo.com/group/bahrulmazi/)
Muka hadapan kitab Bahrul Mazi Jilid 21 -22
Kitab Bahrul Mazi adalah salah sebuah kitab karangan beliau kira-kira pada tahun 1940. Terdapat sebanyak 22 jilid kesemuanya dalam bahasa Melayu lama yang menjadi syarah kepada hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang dikumpulkan oleh Imam Abu Isa Al-Termizi rmt.
Bahrul Mazi membawa maksud 'lautan madu'. Seperti maksud namanya, maka bila kita 'menjamah' kitab ini maka terasa kemanisan nikmatnya.
Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.
Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.
Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.
Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.
Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.
Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.
Contoh: INDEK BAHRUL MAZI 9
59.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan meninggalkan syubhat
60.) Masalah : Halal itu bagaimana rupa terang dan nyata ?
61.) Masalah : Haram itu bagaimana nyata dan terang rupanya ?
62.) Masalah : Pekara-pekara yang syubhat itu bagaimana mengenalnya ?
63.) Masalah : Pekara-pekara yang syubhat itu bagaimana misalnya yang terang ?
64.) Masalah : Syubahat itu boleh jadi pada apa-apa barangnya
65.) Masalah : Meninggalkan syubhat itu adakah faedahnya ?
66.) Masalah : Kelepasan bagi kehormatan itu daripada cela orang bagaimana rupanya ?
67.) Masalah : Kecelakaan orang yang masuk dalam syubhat
68.) Masalah : Menuntut yang halal itu apa hukumnya pada syarak ?
69.) Masalah : Menuntut yang halal itu bagaimana mendapatnya ?
70.) Masalah : Menuntut yang halal itu fardhu - apakah maksudnya ?
71.) Masalah : Yang halal itu adakah kelebihannya ?
72.) Masalah : Yang haram itu apakah kecelakaannya ?
73.) Masalah : Yang halal daripada harta itu beberapa macam ?
74.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan yang makan riba
75.) Masalah : Apakah makna riba pada lughrah dan pada syarak?
76.) Masalah : Yang memakan riba dan yang memberi makan riba itu bagaimana rupa keterangannya
77.) Masalah : Saksi orang yang memakan riba dan yang memberi makan riba itu bagaimana rupa orangnya?
78.) Masalah : Jurutulis bagi orang yang memakan riba dan yang membuat riba itu bagaimana pula ?
79.) Masalah : Orang yang mengerjakan riba itu adakah besar celakanya ?
80.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang menunjukkan atas mengeraskan seksa pada bohong dan dusta dan seumpamanya
81.) Masalah : Menyekutukan Allah itu terbilang daripada dosa yang besar
82.) Masalah : Derhakakan dua ibu-bapa itu terbilang dalam dosa besar
83.) Masalah : Bala dan dera yang menimpa ke atas orang yang derhaka kepada dua ibu-bapanya banyak sangat
84.) Masalah : Membunuh orang itu terbilang ia daripada jumlah dosa besar
85.) Masalah : Bohong itu satu pekara dosa yang besar
86.) Masalah : Saksi bohong itu pun satu daripada dosa besar juga
87.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan saudagar-saudagar dan dinamakan demikian akan mereka itu oleh Nabi SAW
Kuliah Mengupas Isi Kitab Bahrul Mazi
Di sebelah utara tanah air, Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad adalah salah seorang guru yang masih boleh membaca dan mengupas kitab Bahrul Mazi ini kerana kebanyakan guru tidak memahami bahasa Melayu lama. Ustaz Shamsuri mengadakan kuliah maghrib di beberapa surau dan masjid di utara. Kadang-kadang beliau dijemput berceramah di seluruh negara.
Ustaz Datuk Shamsuri bin Ahmad
Mengupas kitab Bahrul Mazi dan sunnah Nabi s.a.w.
Topik: Hukum mengangkat tangan ketika doa di dalam khotbah Jumaat kedua.
Lain-lain Video Kuliah oleh Ustaz Shamsuri boleh dibuka di sini:
Contoh kandungan kitab:
244.) Mukasurat 87 Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis tegah mengumpulkan rambut di dalam sembahyang
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, telah dikeluarkan oleh Imam Termizi hadis yang menunjukkan tegahan mengumpulkan rambut seperti disanggul atau lainnya didalam sembahyang. Bahkan yang disuruh itu adalah lepaskan dari sanggulnya dan biarkan berjurai.
Maka dengarlah hadisnya ini, katanya: Diriwayatkan daripada Abi Raf'ah bahawasa-nya beliau melalui di samping Al-Hasan Ibn Syaidina Ali r.a pada halnya ia (Al-Hasan) di dalam sembahyang dan sesungguhnya ia telah menyanggulkan rambutnya yang berdandan pada belakang lehernya dan tiada dirumbakkan sebagai disuruh syarak, apakala dilihat oleh Abu Raf'ah sembahyang Syaiddina Hasan yang demikian maka datang ia merumbakkan rambut Al-Hasan supaya sembahyang Al-Hasan bin Ali di dalam kelakuan yang baik dan disuruh. Maka berpaling Al-Hasan kepada Abi Raf'ah dengan marahnya serta dikatanya: Mengapa kamu mengacau orang sembahyang dan mengapa kamu rumbak rambutku yang bersanggul dengan bagusnya ? Bila didengar oleh Abu Raf'ah akan Syaiddina Hasan yang marah ia pun lalu memberi jawab kepadanya. Maka katanya : Ya Hasan berhadaplah engkau atas sembahyang engkau dan tak usahlah marahkan perbuatanku merumbak rambut engkau itu. Bukannya aku buat main-main pada engkau di dalam sembahyangmu. Dan aku perbuat demikian itu bukannya dengan reka-rekaan dan fikiran sendiri bahkan dengan pengetahuan yang aku ambil daripada Rasulullah SAW kerana bahawasanya telah aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Bermula sembahyang dengan bersanggul rambut itu ialah habuan syaitan kerana datang riwayat iaitu akan menjadi tempat duduk syaitan di dalam sembahyang. Maka dengan kerana itu aku rumbakkan rambutmu.
Kata Abu Isa Al-Termizi ~ dan pada bab ini ada riwayat daripada Ummu Salamah dan Ibn Abbas. Kata Abu Isa bermula hadis Abi Raf'ah itu hadis hasan.
Ringkasnya, saya ingin menasihati saudara saudari agar JANGAN MEMBELI KITAB BAHRUL MAZI DAN BACA SENDIRI TANPA GURU. Hadirkan diri di kuliah-kuliah yang diadakan. Pelajarilah secara berguru kerana jika tidak berguru, takut-takut syaitan laknatullah mengambil tempat guru.
Wabillaahi taufiq wal hidayah.
Tuan dimana saya bisa membeli kitab ini, saya dari Indonesia
ReplyDeletesungguh besar manafaat utk oràng lain...moga Allah memberi ganjaran Syurga...
ReplyDelete