Mungkin profesion yang akan diperkatakan ini agak ngeri untuk sesiapa sahaja dan hanya mereka yang benar-benar sanggup sahaja yang akan mampu melakukannya. Paparan kisah dari Mekah ini menceritakan bagaimana seorang lelaki menjadikan kerjaya memancung kepala pesalah sebagai punca pendapatannya. Lelaki Arab yang bernama Abdallah bin Said Al-Bishi ini mengambil alih tugas bapanya, Sa’ad Al-Bishi dengan mewarisi pekerjaan ngeri iaitu sebagai tukang pancung di Arab Saudi. Beliau merupakan antara tukang pancung paling masyhur di negara itu. Bukan calang-calang orang yang sanggup dengan tugas berat ini.
Abdallah memegang pedang khas yang digunakan untuk memancung kepala pesalah
Tiada Belas Kasihan
Menurut Abdallah, dengan menggunakan sebilah pedang bernama ‘Sultan’ yang digunakan untuk memenggal kepala setiap pesalah, beliau berkata tukang pancung tidak boleh berasa belas kasihan terhadap orang yang akan dipancungnya. Tukang pancung seperti Abdallah yang bertugas mencabut nyawa pesalah, termasuklah seorang warga Indonesia iaitu Ruyati Satubi, yang dipancung di Arab Saudi tidak lama dahulu. Pelaksanaan hukuman mati itu yang dijalankan di kota Makkah dan mencetuskan bantahan di Indonesia.
Masihkah anda ingat akan peristiwa tersebut? Warga Indonesia itu dipancung setelah sabit kesalahan membunuh majikan perempuannya dengan pisau potong daging. Si pesalah tersebut, Ruyati Satubi, 54 tahun menemui ajalnya di mata pedang sebagai hukuman atas perbuatannya.
Tunjuk perasaan diadakan di Indonesia sebagai bantahan terhadap hukuman ke atas Ruyati
Istimewanya, Abdallah sendiri mengakui bahawa dialah yang ditugaskan untuk memenggal kepala Ruyati ketika ditemubual oleh stesyen TV Lebanon. Beliau juga tidak keberatan ketika wajahnya dirakamkan kerana baginya tugas adalah tugas. Dan yang utama adalah untuk melaksanakan undang-undang Islam.
Kali Pertama Memenggal Kepala
Abdallah memulakan tugas pertamanya pada 1991, kira-kira seminggu setelah ayahnya meninggal dunia. Beliau yang berusia 32 tahun ketika menerima tugas berat itu di mana pada hari pertama bertugas, beliau telah diamanahkan untuk memancung tiga orang pesalah!. Abdallah mengakui agak gugup saat pertama memenggal kepala orang kerana takut gagal.
Abdallah ketika ditemubual oleh TV Lebanon
Pedang bernama ‘Sultan’ warisan ayahnya itu melengkung seperti bulan sabit dan panjang setengah meter. Abdallah turut membuat pengakuan bahawa telah memancung lebih 100 kepala.
Menyingkap sejarah lalu, sewaktu kecil Abdallah pernah menyaksikan ayahnya memenggal kepala seorang pembunuh di depan pintu gerbang Raja Abdul Aziz. Ketika itu, beliau mengikuti ayahnya menjalankan tugas kerana ingin melihat organ pencernaan, sebagaimana dipelajari di sekolahnya.
“Namun, apa yang saya lihat ialah kepala manusia melayang. Dari lehernya darah mengalir seperti telaga. Cukup dan saya tak tahan lagi melihatnya,” ujarnya. Seterusnya, pada sebelah malam beliau susah tidur dan turut bermimpi ngeri.
Memenuhi Tuntutan Syari’at Islam
Arab Saudi mengenakan hukuman pancung ke atas pesalah kes bunuh. Hukuman pancung ini biasanya dibatalkan jika keluarga mangsa memaafkan pesalah. Namun, keluarga si pesalah diharuskan membayar diyat (wang pengganti) yang ditetapkan keluarga mangsa. Menurut ahli psikologi daripada Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Dr Turki Al-Atyan, syariat Islam memerintahkan hukuman mati dilaksana dengan cara memenggal kepala, bukan gantung atau tembak sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara lain di dunia.
Gambar sekadar hiasan…cara pelaksanaan hukuman pancung dijalankan
Hukuman pancung di khalayak ramai
Bagi melancarkan tugasnya, Abdallah memakai hanya pedang buatan Jowhar yang diperbuat dari besi keras agar tidak mudah patah dan memang khusus bagi memancung kepala. Jowhar sebuah kota kecil di Somalia, sekitar 90 kilometer sebelah utara ibu kota Mogadishu.
Bapa kepada tiga anak itu berkata beliau tidak berasa apa-apa perbezaan ketika memancung pesalah lelaki atau perempuan. Bahkan, beliau mengaku pernah memenggal kepala temannya sendiri yang dikenakan hukuman mati.
Gambar menunjukkan pelaksanaan hukuman pancung di Arab Saudi
Selain memenggal kepala, Abdallah juga melaksanakan hukuman potong tangan atau kaki. Pesalah yang akan dipotong tangan akan dibius terlebih dahulu bahagian yang akan dipotong itu. Jika hukuman pancung kepala, tiada sebarang ubat bius akan diberikan kepada pesalah.
Abdallah memberitahu bahawa syarat utama menjadi tukang penggal adalah seseorang itu tidak boleh berasa belas kasihan terhadap orang yang akan dipancung kerana katanya “Jika saya kasihan akannya, dia akan menderita. Apabila hati ini berasa kasihan, tangan ini bakal gagal,” katanya tegas.
Abdallah Al-Bishi tidak menganggap pekerjaannya sesuatu yang kejam, malah beliau merasa selesa dengan profesionnya itu, dan menganggapnya sebagai bentuk pengabdian untuk Allah SWT. Bahkan, dia sedang melatih anak pertamanya, Badr untuk menggantikannya kelak, sebagaimana dia menggantikan ayahnya dahulu.
Begitulah, demi melaksanakan undang-undang Islam segala bentuk hukuman yang ditetapkan harus ditaati. Jika hukuman seperti ini dilaksanakan di Malaysia, mungkin juga kadar jenayah mampu dibendung. Fikir-fikirkan…
No comments:
Post a Comment